Rabu, 28 November 2018 | 12:17pm

Minda Pengarang: Henti main sentimen agama, kaum

Sudah 61 tahun kita merdeka, bebas hidup dalam negara demokrasi, bebas ke mana sahaja, bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing, namun adakah ia bermakna kita juga bebas melakukan perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan yang sudah enam dekad dipupuk?

Belum cukupkah pengajaran daripada tragedi 13 Mei 1969, insiden rusuhan kaum yang sepatutnya sudah banyak mengajar kita erti perpaduan dan seharusnya menjadi iktibar bagi mengelakkan negara kacau bilau dan musnah akibat sengketa sesama kita, rakyat Malaysia.

Rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25 di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, kelmarin yang berlarutan sehingga awal pagi semalam, menunjukkan masih ramai yang tidak belajar daripada tragedi pertumpahan darah 49 tahun lalu.


Kesan retakan pada cermin kereta yang dirosakkan di Galeri MCT, One City ekoran daripada rusuhan di Kuil Sri Mariamman, USJ 25. - Foto Sairien Nafis

Apa yang menyedihkan, ada individu bergelar pemimpin yang pantas ‘menuang minyak ke api’, tidak sabar-sabar menyebarkan di laman sosial menuduh kumpulan penganut agama tertentu menyerang kuil berkenaan, sedangkan kemudian polis mengesahkan punca insiden bukan pun kerana isu agama atau kaum.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor V Ganabatirau misalnya secara sewenang-wenang mendakwa kejadian berpunca akibat serangan orang Islam sehingga memaksa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari membuat penjelasan.

Tindakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kelmarin ayang mendesak kerajaan bertegas dalam menangani isu rumah ibadat haram juga tidak wajar dizahirkan ketika suasana tegang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy juga kita harap tidak keterlaluan dalam usahanya membela kepentingan kaum India. Sebagai Menteri, beliau perlu lebih rasional dalam memberikan pandangan dengan tidak menyinggung kaum dan penganut agama lain.

Kenyataan beliau di Belanda bertahun lalu kononnya wujud diskriminasi terhadap kaum India dan penganut agama lain sebenarnya tidak tepat kerana jika benar, mana mungkin beliau sendiri diberi jawatan menteri sekarang.

Begitu juga pemimpin kaum Cina. Jangan sesekali mempersoalkan hak istimewa Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kerana ia telah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada mewakili kaum atau agama, tidak kira sama ada agama Islam atau Hindu, sewajarnya mengutamakan perpaduan kaum dan bukan mementingkan keperluan penganut agama atau kaum masing-masing sahaja.

Pertubuhan seni mempertahankan diri pula jangan sesekali ‘masuk campur’ dalam urusan keagamaan orang lain kerana ia hanya akan mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan, sekali gus memanaskan lagi keadaan.

Dalam negara pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia, tolak ansur perlu diutamakan, bukannya mementingkan masa depan politik parti atau mahu menjadi hero kerana bimbang kalah dalam pilihan raya.

Kepada rakyat pula jangan menaip sesuka hati dan menularkan fitnah, berita dan maklumat palsu serta kata-kata penghinaan berbaur perkauman dan agama di media sosial, kononnya atas alasan menjaga agama dan kaum masing-masing.


MUHAMMAD Adib kini tidak lagi menggunakan mesin sokongan jantung.

Kita sebaliknya wajib membantu menenangkan keadaan dengan seluruh rakyat perlu bersatu menolak sebarang anasir yang cuba menangguk di air keruh, terutama demi kepentingan politik, selain terus mempertahankan perpaduan.

Kepada polis, kita mahu ketegasan dalam menangani perkara ini. Dalang dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung perlu dikenakan tindakan dan perlu dilakukan segera.

Tiada tolak ansur. Kita pasti tidak mahu ada polis, bomba atau rakyat biasa dimasukkan ke hospital seperti yang menimpa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, akibat diserang perusuh, malam semalam.

1299 dibaca
Berita Harian X