Selasa, 27 November 2018 | 11:01am

Minda Pengarang: Heret pesalah skandal 1MDB ke mahkamah

Pendedahan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pindaan dibuat terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) beberapa tahun lalu kerana dianggap kerajaan terdahulu sebagai satu krisis, memang mengejutkan.

Dakwaan bahawa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low pernah menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB, namun fakta berkenaan bersama status akaun kewangan syarikat pelaburan strategik negara itu diminta disembunyikan atas arahan Najib, adalah sesuatu yang sangat serius.

Seperti biasa, dari sebelah pihak yang dituduh, hadir desakan supaya Madinah mengemukakan bukti kukuh atas dakwaannya jika tidak mahu ia dianggap sebagai satu lagi mainan politik serta manipulasi oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Najib dalam reaksinya pula menjelaskan Kementerian Kewangan pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu di Parlimen pada 2015, antara lain mengesahkan Jho Low pernah menghadiri mesyuarat 1MDB, namun ketika itu mewakili syarikat PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) dan seorang putera Turki.

Firma guaman mewakili bekas Perdana Menteri pula, mendakwa kenyataan Madinah itu bersifat politik dan dibuat atas arahan Kabinet kerana tidak disokong sebarang dokumen atau testimoni berhubung 1MDB, sekali gus dilihat cuba untuk mempengaruhi pendapat awam dan prejudis terhadap Najib.

Ahli Parlimen Pekan yang juga bekas Presiden UMNO itu kini berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung skandal 1MDB selepas didakwa pada Julai dan September lalu.

Dari sebelah kerajaan, hujah diberikan adalah pendedahan mengenai pindaan laporan terbabit yang sepatutnya bebas serta berkecuali tanpa menyebelahi mana-mana pihak, adalah kerana rakyat berhak tahu apa sebenarnya berlaku. Jika benar dakwaan Madinah, tiada penyelesaian lain yang lebih wajar kecuali segera heret setiap individu di sebalik tindakan tidak beretika berkenaan ke mahkamah jika siasatan pihak berkuasa mendapati mereka benar-benar terbabit.

Dalam kes ini, tindakan pantas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terus membuka kertas siasatan dengan memanggil bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberi keterangan perlu dipuji.

Pasti menyusul ke Ibu Pejabat SPRM selepas ini adalah Najib sendiri bersama beberapa individu lain yang dinamakan, termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda dan bekas pegawai kanan Najib, Tan Sri Shukry Salleh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pula dilaporkan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah mulakan siasatan dalam beberapa aspek, iaitu pembabitan penjawat awam dalam pemalsuan rekod atau tulisan bagi maksud hendak menipu.

Kita berharap siasatan pihak berkuasa berkaitan diselesaikan seberapa segera dan jika ada kes kukuh, segerakan pula proses tindakan undang-undang di mahkamah agar keadilan dapat ditegakkan secepat mungkin.

Sehingga tiba hari itu, perkara penting yang harus dihormati oleh semua pihak adalah tidak membicarakan kes berkenaan di mahkamah umum, membuat pelbagai spekulasi yang pastinya tidak adil kepada mereka yang dituduh.

Kita juga berharap semua pihak menghormati prinsip asas undang-undang, iaitu ‘tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah’.

576 dibaca
Berita Harian X