Isnin, 26 November 2018 | 11:01am

Senarai semak bantu ibu bapa pilih pengasuh, TASKA berdaftar

SATU demi satu kes jenayah penderaan kanak-kanak tidak berperikemanusiaan membabitkan pengasuh di rumah dan pusat jagaan kanak-kanak (TASKA) dilaporkan oleh media, sekali gus menggambarkan kepincangan institusi sosial dalam masyarakat kita yang tidak berkesudahan.

Penguatkuasaan undang-undang, kempen, pelbagai saranan dan pendekatan sudah dibuat untuk memperkasa institusi kekeluargaan dan bidang pengasuhan kanak-kanak untuk membendung kejadian dera terus berleluasa.

Dua kes kejam dilaporkan tahun ini, membabitkan Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan ditemui mati di dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya, manakala suami seorang pengasuh didakwa atas tuduhan membunuh bayi berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal, dipercayai didera secara fizikal dan seksual.

Seperti tiada kesudahan kes dera di negara ini walaupun tindakan keras, termasuk dipenjara sudah dikenakan ke atas pelakunya sebelum ini.

Langkah memberi amaran atau nasihat sudah berakhir dan sudah sampai masa pihak berwajib mengambil tindakan paling keras, termasuk dikenakan hukuman mati bagi membendung perlakuan dan tindakan segelintir pengasuh yang sudah hilang pertimbangan akal atau tidak waras.

Kita menyambut baik langkah proaktif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyediakan Senarai Semak/Panduan Pemilihan Pengasuh Di Rumah bagi mendepani dan mengekang jenayah dera, khususnya membabitkan kanak-kanak.

Senarai semak berbentuk infografik itu boleh menjadi rujukan awal untuk ibu bapa memerhati persekitaran rumah, peribadi pengasuh, pengalaman, jumlah isi rumah dan perkhidmatan yang ditawarkan pengasuh.


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh hadir pada majlis pelancaran Senarai Semak/Panduan Pemilihan Pengasuh Di Rumah. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pastinya ramai ibu bapa yang bekerja dapat menghela nafas lega dengan jaminan Hannah Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika majlis pelancaran senarai semak berkenaan, dengan komitmen kementerian akan memastikan ibu bapa di negara ini dapat terus bekerja dan pada masa yang sama, anak mereka selamat ketika dalam jagaan pengasuh.

Malah, mereka boleh mendapatkan cadangan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) untuk membantu memilih pengasuh yang sesuai.

Bagi ibu bapa kejadian kes dera boleh dielakkan jika tidak mengambil mudah ketika menyerahkan anak mereka kepada pengasuh.

Dalam dunia tanpa sempadan, semua maklumat boleh dicapai di hujung jari dan tidak sepenuhnya boleh dipercayai.

Tidak semua iklan khidmat pengasuh yang ditawarkan secara atas talian bagus.

Sewajarnya mereka mengkaji atau menyiasat latar belakang pengasuh dan bukan tangkap muat sesiapa sahaja boleh menjaga anak mereka.

Jangan disesalkan jika nasi sudah menjadi bubur dan menangisi kematian anak akibat kecuaian sendiri.

Hakikatnya, pengurusan TASKA patut mengelak daripada menawarkan khidmat penjagaan tidak berkualiti dan perlu mendaftarkan premis itu mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) 1984.

Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun ini sahaja, kira-kira 2.3 juta kanak-kanak berusia kosong hingga empat tahun dihantar ke rumah pengasuh dan TASKA oleh ibu bapa yang bekerja.

Pada masa sama, kebanyakan pengasuh dan TASKA terbabit tidak berdaftar dengan kementerian, sekali gus timbul permasalahan seperti premis beroperasi dalam suasana tidak kondusif, kotor, sempit dan sesak dengan jumlah kanak-kanak yang ramai serta menjadi punca penyebaran wabak penyakit.

190 dibaca
Berita Harian X