Sabtu, 24 November 2018 | 11:00am

Semakin banyak persoalan selubungi Najib isu 1MDB

Laporan media bahawa Datuk Seri Najib Razak membuat pengakuan bahawa beliau mungkin ditipu oleh Jho Low, ahli perniagaan kontroversi di sebalik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebenarnya menghadirkan lebih banyak persoalan.

Dalam wawancara FB Live Sinar Harian kelmarin, bekas Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan melantik peguam, juruaudit dan bank pelaburan Goldman Sachs Group (Goldman) untuk memantau syarikat pelaburan strategik negara, namun sebaliknya berlaku apabila ia tidak dikawal selia dengan baik.

Ketika ditanya sama ada perkembangan berkenaan bermakna beliau kini mengaku Malaysia ditipu oleh Jho Low, Najib menjawab: “Ya, itulah kesimpulan jika kita mengambil kira apa yang kita tahu hari ini, maka itu adalah kebenaran”.

Biarpun kelihatan seperti masih mahu mempertahankan diri, persepsi umum sebenarnya sudah lama ‘menjatuhkan hukuman’ terhadap Najib dan selepas mendengar jawapannya kelmarin, pasti lebih ramai yang bertambah yakin berbanding ketika mula-mula skandal 1MDB terbongkar tiga tahun lalu.


Wawancara eksklusif Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali. - Foto ihsan FB Sinar Harian

Pada wawancara sama, bekas Perdana Menteri juga memberi penjelasan mengenai peranan dan urusan 1MDB dengan konglomerat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar BVI bersama aliran wang dari syarikat pelaburan strategik negara itu.

Bagi yang mengikuti perkembangan skandal berkenaan, mungkin ada yang beranggapan Najib sepatutnya sudah lama membuat pengakuan berkenaan, apatah lagi ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya dulu pernah membuat dua perjanjian penyelesaian dengan IPIC pada 2015 dan 2017.

Perjanjian itu bagi mendapatkan kembali wang dilaporkan hilang dari 1MDB, didakwa didalangi Jho Low yang berpakat dengan pengurus atasan IPIC dan Abu Dhabi serta Goldman Sachs. Baru-baru ini, IPIC dilaporkan menyaman Goldman Sachs untuk mendapatkan ganti rugi kerana dituduh bersuhabat menipu syarikat Abu Dhabi itu.

Dalam wawancara dengan Sinar Harian juga, Najib mendakwa beliau tidak tahu dan tidak pernah dimaklumkan oleh Goldman Sachs mengenai kepincangan dalam urusan berkaitan 1MDB.

Jawapan diberikan Najib bagaimanapun mengundang persoalan yang lebih bersifat peribadi, bagaimana beliau menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Pengerusi 1MDB ketika itu.

Adakah beliau tidak cukup ‘karisma’ selaku Perdana Menteri untuk menghadirkan ‘gerun’ sehingga ada pihak yang begitu berani mengambil kesempatan atas sikapnya yang dikatakan lemah lembut, sukar marah dan mudah bertoleransi itu.

Mengapa isu penuh kontroversi yang turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa dan dirujuk sebagai skandal kewangan terbesar dunia boleh terlepas daripada pandangannya atau bagaimana begitu mudah beliau ditipu oleh dalang skandal berkenaan, malah dilihat masih ‘berdegil’ walaupun ada pihak yang sudah menegur.

Semua tahu apa yang terjadi kepada bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Naib Presiden parti merangkap bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas mereka membangkitkan isu berkenaan.

Tidakkah tindakan dua bekas pengarah SRC International, iaitu anak syarikat 1MDB menghilangkan diri sejurus skandal 1MDB terbongkar pada 2015 memberi makna apa-apa dan mengapa pasukan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat skandal SRC pula yang dibubar.

Persepsi awam juga mempersoalkan adakah Najib juga tidak nampak bagaimana isteri beliau mampu berbelanja mewah dan mengapa anak tirinya, Riza Aziz mendapat wang begitu banyak sehingga AS$100 juta dengan mudah untuk membikin filem di Hollywood.

Hakikatnya, masih banyak persoalan perlu diperjelaskan oleh Najib atau mungkin ada pihak berminat menganjurkan dialog #Nothing2Hide untuk bekas Perdana Menteri itu mendedahkan semuanya selepas program yang sepatutnya diadakan pada Jun 2015 itu tertangguh tiga tahun lamanya.

2687 dibaca
Berita Harian X