Jumaat, 23 November 2018 | 11:00am
- Gambar hiasan/bacalahmalaysia.com

Agenda bela masyarakat luar bandar

Ikrar kerajaan untuk terus membantu golongan luar bandar, terutama petani, pekebun kecil, pesawah dan nelayan diterjemahkan dengan pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kelmarin apabila skim subsidi harga padi akan dinaikkan daripada RM300 satu tan kepada RM360.

Yang turut diumumkan, harga siling getah dinaikkan daripada RM2.20 sekilogram menjadi RM2.50 sekilogram, sekali gus menolak kritikan beberapa pihak bahawa Belanjawan 2019 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini, hanya menguntungkan golongan bandar.

Ini tentunya satu berita gembira bagi golongan yang bergantung hidup secara langsung dalam sektor pertanian yang turut terpalit dengan kejatuhan harga komoditi utama dunia, termasuk getah dan kelapa sawit. Rata-rata mereka mengeluh kerana harga getah yang merudum sehingga RM2 sekilogram.

Lantaran pengumuman dua insentif khas ini - Skim Subsidi Harga Padi (SSPH) dan penetapan paras harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bukan saja tepat pada masanya, malah membantu melonjakkan pendapatan golongan terbabit serta menambahkan lagi pengeluaran. Kita harus menyedari meskipun dalam keadaan dibebani dengan masalah hutang negara, kerajaan tidak sekali-kali lari daripada tanggungjawabnya memastikan golongan miskin dan berpendapatan rendah terbela, selain memastikan mereka mampu menambah pendapatan harian.

Meskipun kadar insentif atau pemberian subsidi itu dianggap masih rendah, sekurang-kurangnya ia mampu menjadikan kehidupan harian selesa kepada masyarakat luar bandar yang bergantung kepada hasil pertanian yang tidak menentu. Selain itu, kita juga menanti-nanti apakah pelan menstabilkan harga atau inisiatif baharu kerajaan bagi membantu golongan pekebun sawit, termasuk peneroka FELDA yang turut terhimpit berikutan harga komoditi itu yang kini jatuh pada paras RM290 satu tan.

Apa yang dibimbangi, setiap kali ada pengumuman kerajaan mengenai kenaikan harga komoditi, pihak penjual terutama barangan berasaskan makanan mula mengambil kesempatan dengan menaikkan harga.

Justeru, pemantauan agensi dan kementerian yang berkaitan harus dipertingkatkan kerana pemberian subsidi atau penetapan harga siling tidak akan dinikmati sepenuhnya kumpulan sasar sekiranya kos barangan turut meningkat. Malah, sekurang-kurangnya pemberian insentif dan kenaikan subsidi ini boleh menampung petani dan nelayan untuk menyediakan keperluan pendidikan anak-anak terutama bagi sesi persekolahan baharu, awal tahun depan.

Sementara kerajaan menghulurkan pelbagai bantuan, insentif dan subsidi, kita juga tidak mahu sebahagian rakyat hanya mengharapkan ‘tongkat’ tanpa berusaha untuk berdikari.

Gesaan agar pekebun kecil mempelbagaikan pendapatan mereka dengan menceburi penanaman bercampur, wajar disambut baik kerana ia mampu membantu mereka ketika harga komoditi mengalami kejatuhan atau pengurangan hasil tuaian akibat faktor alam atau cuaca. Namun ketika waktu kesukaran dan himpitan ekonomi yang tidak menentu hari ini, janganlah ada pihak yang melabelkan golongan ini masih mengharapkan ‘tongkat’ atau bergantung kepada subsidi semata-mata.

Ia tidak wajar dipandang negatif kerana mengambil kira keadaan kos hidup yang tidak pernah turun, kita perlu berpihak kepada realiti semasa untuk terus membela masyarakat di luar bandar atau sekurang-kurangnya mengimbangi apa yang dinikmati sebahagian besar rakyat di bandar.

Agenda membela masyarakat luar bandar dan pinggir bandar seharusnya terus menjadi agenda utama negara dalam pelan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

250 dibaca
Berita Harian X