Sabtu, 17 November 2018 | 11:00am

Minda Pengarang: Kekangan, risiko sabotaj pengundian dalam talian

Perkembangan teknologi menuntut kaedah terkini diterapkan dalam sistem pemilihan kepemimpinan di negara ini, namun status kebergantungan amalan pengundian secara dalam talian masih diragui, begitu juga kemampuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengendalikannya.

Di sebalik keghairahan mengejar teknologi, kaedah pengundian secara konvensional masih kekal relevan. Tidak dinafikan ada menganggap proses itu memerlukan pemilih berdaftar beratur panjang di pusat mengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai renyah dan wajar ditambah baik.

Pengundian secara dalam talian mungkin memudahkan, tetapi pelaksanaannya bukan semudah mencadangkan ia dilaksanakan. Banyak faktor perlu diambil kira, termasuk risiko sabotaj, selain memerlukan pembangunan sistem dan teknologi yang mantap. Tidak hairan kaedah pemilihan sedia ada walaupun dianggap konvensional, masih kekal diamalkan, termasuk di negara maju.

Sehubungan itu, cadangan melaksanakan pendaftaran pemilih secara dalam talian oleh pelbagai pihak wajar dipertimbangkan. Alasan yang diberikan ialah memudahkan, selain dianggap berkesan menyelesaikan isu kegagalan mendaftar sebagai pemilih dalam kalangan warga negara yang layak, khususnya pengundi baharu.

SPR sebelum ini mendedahkan 3.6 juta orang muda berusia 21 tahun ke atas, termasuk mahasiswa, belum mendaftar sebagai pemilih untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Jumlah itu mewakili 20 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar iaitu lebih 14 juta orang, berdasarkan data diguna pakai sehingga suku ketiga 2017.


Laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya di http://www.spr.gov.my/

Angka 3.6 juta bukan kecil, malah peratusan tinggi warga negara tidak mendaftar sebagai pemilih, walaupun layak membimbangkan, sedangkan penyertaan mereka amat diperlukan untuk memastikan keputusan pemilihan benar-benar mewakili suara rakyat. Kelemahan ini perlu dikenal pasti, termasuk sama ada kegagalan mendaftar sebagai pemilih itu berpunca daripada sistem pendaftaran yang sudah lapuk, kurang mesra dengan golongan sasar atau mungkin ada faktor lain.

Pendaftaran pemilih secara dalam talian adalah sebahagian cadangan yang dibangkitkan pelbagai pihak ke arah reformasi pilihan raya negara, selain pendaftaran secara automatik sebagai pemilih bagi mereka yang cukup umur 21 tahun.

Apa pun cadangan yang dikemukakan, sasaran utama ialah untuk menarik warga negara yang layak mendaftar sebagai pemilih supaya tidak terlepas peluang memilih kerajaan yang difikirkan layak.

Tidak kira sama ada umur layak mengundi ditetapkan akan dikekalkan pada usia 21 tahun atau mungkin diturunkan kepada 18 tahun, kaedah dalam talian terbukti mesra dengan kelompok itu.

Tidak dinafikan ada risiko penipuan dan penyamaran, khususnya apabila ada individu mengemukakan pendaftaran bagi pihak orang lain. Isu berkaitan ketelusan menjadi antara kekangan utama menyebabkan SPR tidak melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara dalam talian.

Sehingga kini sistem Pendaftaran Sepanjang Tahun (SPPST) dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran pemilih) 2002, yang menetapkan seseorang warga negara yang layak ingin mendaftar sebagai pemilih, perlu hadir di kaunter pendaftaran SPR yang ditetapkan di seluruh negara.

48 dibaca
Berita Harian X