Khamis, 8 November 2018 | 11:02am

Wanita, PKS bantu jana ekonomi

BELANJAWAN 2019 di bawah Strategi 6 bermatlamat Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan dan Perlindungan Kebajikan Sosial. Kementerian Kesihatan akan meneruskan program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan pap smear di hospital dan klinik kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 70,000 wanita.

Bagi wanita dalam tenaga kerja, kerajaan juga akan merangka dasar untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja sebanyak 30 peratus supaya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencapai peningkatan antara 7 hingga 12 peratus.

Beberapa peruntukan sudah dicadangkan, antaranya memberi RM10 juta bagi menambah 50 taman asuhan kanak-kanak di bangunan kerajaan untuk memudahkan ibu yang bekerja. Bagi syarikat swasta pula, kerajaan akan memberikan insentif kepada sektor swasta agar kemudahan yang sama dapat diberikan kepada wanita.

Belanjawan 2019 juga menyatakan komitmen kerajaan untuk menambah jumlah wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan sebanyak 30 peratus. Selain itu, kerajaan juga berhasrat membabitkan wanita pada peringkat pembuat keputusan sektor swasta kepada 30 peratus.

Bagi suri rumah pula, kerajaan memperkenalkan skim caruman yang akan dikelola oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-SURI dengan peruntukan sebanyak RM45 juta. Melalui skim itu, kerajaan akan menyediakan geran padanan RM40 setiap bulan sebagai tambahan dan sokongan kepada suami yang memilih untuk mencarum kepada isteri dengan kadar minimum RM5 sebulan ke arah simpanan persaraan isteri.

Wanita tonggak ekonomi

Laporan yang disediakan oleh Khazanah Research Institute pada Oktober lalu menunjukkan pembabitan wanita dalam tenaga kerja pada 2017 berada sekitar 53.5 peratus, berbanding lelaki yang menyumbang sebanyak 77.7 peratus.

Pembentangan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng Jumaat lalu menyatakan tinjauan mendapati 60 peratus mengakui bahawa bebanan kerja di rumah ialah penghalang terbesar penyertaan mereka dalam pasaran kerja.

Namun, kerajaan menyediakan inisiatif yang adil kepada wanita yang bekerja dalam bidang profesional dan golongan wanita yang memilih untuk menjadi suri rumah. Melalui skim caruman yang diperuntukkan sebanyak RM45 juta, wanita yang memilih untuk mendidik dan memajukan keluarga akan mempunyai masa depan persaraan yang lebih baik.

Wanita tidak harus dilihat bekerja dengan produktif hanya kerana mereka memasuki pasaran kerja, tetapi bagi mereka yang memilih tidak bekerja juga harus dilihat sebagai produktif dan tidak harus dipinggirkan daripada mengecapi kemakmuran ekonomi.

Hal ini demikian kerana mereka juga menyumbang kepada KDNK secara tidak langsung. Skim i-SURI akan menggalakkan suami untuk bersedia ke arah hari tua bagi diri sendiri dan juga isteri yang memilih membantu keluarga. Pada masa yang sama, suri rumah juga akan mempunyai tabungan yang cukup apabila melepasi umur persaraan suami.

Begitu juga diskriminasi tidak harus dikenakan kepada wanita yang berada dalam sektor kerajaan dan swasta. Syarikat swasta perlu berusaha dan menggembleng tenaga bagi mendokong aspirasi dalam Belanjawan 2019.

Kemakmuran ekonomi

Sumbangan tenaga wanita sebagai pembuat dasar dan keputusan tidak dapat dinafikan kerana mereka menawarkan perspektif yang berbeza dan penting dalam pelbagai situasi. Oleh itu, dasar yang bakal dilaksanakan akan menjadi lebih mesra ibu atau wanita.

Sebagai contoh, cuti bersalin bergaji yang lebih panjang, kontrak pekerjaan yang tidak mendiskriminasikan wanita yang mempunyai anak dengan had cuti akibat jumlah anak sewaktu bekerja dalam sesebuah syarikat dan penyediaan fasiliti bilik laktasi. Dalam bahasa yang lebih mudah, penyertaan wanita sebagai pembuat dasar dapat menjanjikan reformasi institusi yang lebih menyeluruh.

Selain itu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) jelas menjadi antara pemacu untuk pembangunan ekonomi negara dengan usahawan Bumiputera banyak terbabit dalam bidang ini. Tumpuan kepada PKS akan memperhebat usahawan ini agar lebih berdaya saing dalam pasaran negara.

Usaha mengukuhkan PKS akan membolehkan ekonomi negara terus berkembang. Penambahbaikan dalam bidang ini diakui dalam Belanjawan 2019 dengan penyediaan dana dan juga urus setia yang lebih baik.

Manfaatkan tenaga kerja tempatan

Syarikat juga harus memanfaatkan tenaga kerja tempatan dan Menteri Kewangan menegaskan majikan seharusnya kurang bergantung pada pekerja asing. Justeru, kerajaan akan memperkenal sistem levi berperingkat bagi memastikan majikan yang mempunyai pekerja asing membayar jumlah levi yang lebih tinggi.

Akhir sekali, perhatian yang diberi oleh kerajaan terhadap PKS dapat memberi ruang kepada peniaga yang semakin meningkat jumlahnya. Pembiayaan kepada PKS sesungguhnya dapat memajukan pakar dari segi inovatif dalam hal perniagaan sehingga ke persada antarabangsa. Pembabitan peniaga muda harus dibina dan diberitahu bahawa ekonomi keusahawanan boleh memacu perubahan yang konstruktif pada negara.

Golongan belia sangat berharap perancangan Kementerian Kewangan dapat dilaksanakan menerusi kuasa eksekutif semua agensi kerajaan dengan penuh akauntabiliti. Bukan sahaja agensi kerajaan yang harus berusaha sebaik mungkin bagi menjadikannya kenyataan, tetapi juga setiap orang harus mengambil langkah bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dilakukan dengan lancar.

Penulis adalah Naib Presiden kelab Bunga Raya New Zealand

142 dibaca
Berita Harian X