Khamis, 8 November 2018 | 11:01am

Minda Pengarang: Subsidi, insentif dorong pesawah lebih produktif

INDUSTRI padi dan beras antara aspek yang amat penting dalam jaminan makanan negara. Dalam konteks negara ini, beras menjadi makanan ruji kepada semua kaum. Bekalan beras mesti sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat, senang didapati orang ramai dan mampu dibeli oleh kebanyakan anggota masyarakat.

Dari segi pengeluaran, penanaman padi di Malaysia kebanyakan masih dijalankan secara tradisional dengan keluasan sawah yang agak kecil. Petak sawah yang kecil, tetapi membabitkan ribuan petani menjadi jelapang yang menyumbang kepada sejumlah penting bekalan beras tempatan. Justeru, pesawah perlu terus dibantu dari segi bekalan benih padi, pengairan, baja dan bantuan penuaian.

Untuk menambah baik industri ini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam proses merangka semula kaedah menyalurkan subsidi dan insentif kepada industri padi dan beras negara. Mekanisme baharu sedang disusun supaya pemberian bantuan itu dilakukan dengan lebih bersasar dan mengelakkan salah guna bantuan. Subsidi dan insentif bersasar ini membolehkan pesawah terus menanam padi secara lebih produktif dan memastikan bekalan beras yang mencukupi pada setiap masa.

Bagi memastikan jaminan makanan negara, kementerian terbabit dijangka menerima dana berjumlah RM4.417 bilion dalam Belanjawan 2019, iaitu RM3.057 bilion bagi tujuan mengurus dan RM1.36 bilion untuk pembangunan. Kita harap, peruntukan berkenaan membolehkan sektor tanaman, ternakan dan perikanan tempatan berkembang dan menyediakan bekalan makanan pada jumlah yang sepatutnya serta mencapai kualiti yang ditetapkan.


- Foto Hiasan

Subsidi dan insentif pula akan menentukan harga makanan daripada hasil pertanian pada kadar yang mampu dibeli oleh masyarakat terbanyak dan tidak membebankan mereka.

Ini selaras dengan standard antarabangsa yang disyorkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). Empat petunjuk yang diberikan oleh agensi itu untuk mengenal pasti jaminan makanan sesebuah negara ialah kesediaan bekalan makanan, kemampuan harga membeli, kemudahan akses di pasaran dan bekalan makanan berkhasiat.

Dari sesi jumlah bekalan negara ini, data Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menunjukkan tahap sara diri bagi beras ialah 71.4 peratus, bermaksud selebihnya beras diimport dari luar negara.

Tahap sara diri bagi daging lembu dan kerbau pula hanya 23.4 peratus, tetapi bagi ayam, itik, telur dan ikan, tahap sara diri negara melebihi 90 peratus. Justeru, pelbagai tindakan masih perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan bekalan makanan terjamin, termasuk kerjasama kerajaan negeri menyediakan tanah sebagai tapak pertanian.

Pemodenan industri pertanian menerusi mekanisasi dan penyelidikan dapat menyediakan bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat untuk rakyat. Insentif dan subsidi pula memastikan petani kecil-kecilan terus produktif dan mengeluarkan hasil pada harga yang mampu dibeli oleh pengguna.

Langkah seterusnya ialah mempergiat automasi dalam industri agromakanan supaya terus berdaya maju dan bersifat komersial pada skala besar. Reformasi pertanian ini akan membawa kepada kebaikan untuk orang ramai dalam segenap lapisan.

107 dibaca
Berita Harian X