Rabu, 7 November 2018 | 11:02am
KEBEBASAN melaksanakan aktiviti perniagaan bukti orang Melayu tidak lokek berkongsi ekonomi dengan bangsa lain. - Foto hiasan

Ketuanan Melayu dan kesaksamaan

BARU-BARU ini hangat diperkatakan isu ketuanan Melayu, kesaksamaan dan “tidak lagi membangkitkan gah Melayu”. Ketiga-tiga isu ini dibangkitkan oleh Syed Saddiq Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan. Sepintas lalu isu ini boleh dianggap sensitif kerana menyentuh kepentingan orang Melayu di negara ini.

Tuduhan agak kasar ialah menteri muda ini cuba membuang hak dan kedudukan istimewa orang Melayu yang sedia dikanun dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ternyata suhu politik Malaysia di bawah kerajaan baharu benar-benar mencabar. Tidak boleh dicuit sedikit ‘keistimewaan’, ada sahaja yang bangkit bagaikan harimau sedang tidur. Berbekalkan semangat ‘Melayu pantang dicabar dan jangan pijak kepala’, beliau diserang melalui media sosial seolah-olah menteri muda ini sedang melakukan kesalahan yang sangat besar dan tidak boleh dimaafkan.

Hakikatnya, Syed Saddiq bukanlah orang Melayu terawal yang mengkritik bangsanya sendiri.

Sebelum itu, Munsyi Abdullah (1850) pernah membicarakan kemiskinan orang Melayu melalui karyanya Kisah Pelayaran Abdullah, Za’aba (1920) menggambarkan orang Melayu begitu “malap, muram dan sugul” melalui rencananya The Poverty of the Malays dan penyelesaiannya dalam rencana The Salvation of the Malays, manakala Dr Mahathir Mohamad pula menimbulkan kelemahan orang Melayu dalam karyanya Malay Dilemma (1970-an) antara yang lantang.

Mungkin Syed Saddiq adalah legasi kepada tokoh-tokoh ini yang sentiasa berfikir ‘terbalik’ sebagai jalan membangunkan bangsa dan negaranya.

Persoalannya, apakah kenyataan beliau itu benar-benar menjejaskan ‘keistimewaan’ orang Melayu? Atau, wujud segelintir pihak yang sedang menangguk di air keruh demi kepentingan agenda politik?

Berbalik kepada isu ketuanan Melayu, sejarah mencatatkan negara ini dibina berteraskan bangsa Melayu yang juga penduduk asal di rantau ini. Bukan sahaja nama negara merujuk kepada istilah Melayu, malahan institusi kesultanan Melayu juga dikekalkan secara perundangan melalui Perlembagaan Persekutuan. Bahkan, raja dan sultan terus berada di puncak kekuasaan sebagai ketua negara dan ketua negeri.

Konsep Raja Berperlembagaan membuktikan raja atau sultan ialah ‘tuan’ yang dimaksudkan, manakala rakyat ialah ‘hamba’. Segala-galanya sudah jelas iaitu orang Melayu dan bukan Melayu ialah rakyat kepada baginda. Konsep ini juga jelas melalui prinsip kedua Rukun Negara iaitu ‘Kesetiaan kepada Raja dan Negara’.

Seharusnya isu ketuanan Melayu sudah selesai dan tidak perlu diungkit, apatah lagi diprovokasi lantaran telah disepakati sejak negara mencapai kemerdekaan.

Saksama dan adil

Adapun saksama seperti yang disebut beliau memang wajar diberi keutamaan. Saksama ini bukanlah bererti sama rata, sebaliknya menjurus kepada keadilan.

Saya sering memberi analogi begini. Keluarga A dan B masing-masing mendapat bantuan RM100 sebulan kerana berpendapatan RM500 sebulan. Keluarga A mempunyai lima orang anak, manakala keluarga B mempunyai dua orang anak. Jika sama rata pasti dianggap adil, tetapi jika kesaksamaan ia tidak boleh sedemikian kerana anak keluarga A mendapat RM20 seorang, manakala anak keluarga B mendapat RM50 seorang.

Jika saksama menjadi pegangan, pengagihan itu perlu mengambil kira bilangan anak bukan pendapatan bulanan sahaja. Maka, sudah pasti bantuan keluarga A perlu ditambah atau jika ingin kekalkan purata RM20 bagi setiap anak, bantuan keluarga B dikurangkan. Inilah yang dimaksudkan sama rata tidak semestinya saksama atau adil.

Jika begitulah saksama yang dimaksudkan beliau, maka ia wajar dipandang positif. Tidak perlu kita cepat melenting apatah lagi mengelirukan situasi sebenar hingga menggugat keharmonian masyarakat. Berpada-padalah kita dalam membangkitkan semangat perkauman dalam konteks masyarakat majmuk. Bersifat terbuka dan telitilah setiap pandangan yang dikemukakan. Sekali pun mungkin ada cacat cela, janganlah terlalu emosi dan bertindak melulu hingga natijah buruk jatuh ke muka sendiri.

Sejarah membuktikan sifat terbuka orang Melayu terhadap bangsa lain telah lama wujud. Orang Melayu sebenarnya tidak pernah lokek berkongsi rezeki. Sebelum bangkit Empayar Melaka lagi orang Melayu telah berkongsi sumber ekonomi maritim dengan orang India, Cina dan Arab.

Kongsi ekonomi

Ketika penjajahan British yang terkenal dengan dasar ‘pecah dan perintah’, orang Melayu masih berkongsi ekonomi dengan bangsa lain. ‘Pengurniaan’ kampung-kampung baharu oleh British kepada orang Cina tidak pernah dibantah melalui demontrasi.

Tragedi 13 Mei 1969 yang antara sebabnya ialah ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, namun berjaya ditangani melalui Dasar Ekonomi Baru. Sehingga kini, kerajaan tidak pernah alpa mewujudkan keseimbangan dan kesaksamaan ekonomi melalui pelbagai dasar dirancang tanpa mengetepikan hak bukan Melayu.

Berkaitan ‘tidak lagi membangkitkan gah Melayu’, ia telah menjadi catatan sejarah. Sebelum kejatuhan Empayar Melaka pada 1511, bangsa Melayu memang terkenal di serata dunia. Bangsa Melayu bukan sahaja menguasai jalan maritim, malah kaya dengan pelbagai kemahiran berkaitan kelautan.

Jika berhasrat melarang daripada berbicara keagungan bangsa Melayu, mungkin tidak adil kepada generasi seterusnya. Mereka berhak mengetahui sejarah ‘kepandaian’ nenek moyang mereka.

Seharusnya pihak kerajaan berusaha membangkitkan kesedaran generasi kini mencontohi ‘keagungan’ Melayu masa dahulu agar ‘diterjemah’ dalam kehidupan masa kini.

Sebagai contoh, jika orang Melayu dahulu mahir membina kapal tanpa sebatang paku pun, generasi kini juga perlu didorong menceburi teknologi perkapalan dan mampu membina kapal seperti nenek moyangnya itu.

Jika nenek moyangnya mampu menjalin hubungan perdagangan yang baik di serata dunia ketika kemuncaknya Empayar Melaka, ada baiknya orang Melayu hari ini ditiup kembali semangat itu, agar kembali menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan.

Bahkan, jika datuk nenek moyang mampu bermuafakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama, alangkah baiknya generasi majmuk baharu ini ‘disorong dan dipapah’ agar kembali mengikuti jejak langkah nenek moyang mereka itu.

Jika semua ini diteliti dan dimasukkan dalam kerangka positif, tidak salah memaling ke belakang agar tidak tertipu dengan fakta sejarah yang dipesongkan. Pendek kata, bukan semua perkara perlu dipandang buruk, kerana di sebalik keburukan itu tersirat banyak pengajaran apatah lagi sebagai panduan mengemudi pentadbiran negara.

Penulis adalah Pensyarah Pengajian Malaysia dan Hubungan Etnik, UniKL Royal College Of Medicine Perak

527 dibaca
Berita Harian X