Isnin, 15 Oktober 2018 | 11:00am
ANWAR Ibrahim bersama isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meraikan kemenangan selepas diisytiharkan memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan Port Dickson. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Langkah PD langkah kanan Anwar

DAKWAT pada hujung hari telunjuk yang turut menarikan catatan ini pastinya pudar bersama masa, namun apa yang terhasil daripada pilihan 43,489 pengundi Parlimen Port Dickson, kelmarin bakal terakam sebagai sejarah negara selama-lamanya.

Banyak jangkaan tersasar pada 13 Oktober itu, cuaca diramal hujan ternyata cerah dan menyamankan, trafik berkemungkinan sesak, jelas lancar dan terkawal, manakala anak tempatan yang dikatakan pesaing hebat, rebah tersungkur di tengah gelanggang.

Namun demikian, ramalan terbesar jelas menjadi kenyataan. Port Dickson, daerah peranginan yang lebih popular dengan singkatan PD mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mandat besar untuk menghantarnya kembali ke Dewan Rakyat berbekalkan 31,016 undi.

Ada apa dengan angka? Keyakinan, kepercayaan dan harapan. Pengundi Port Dickson bukan sekadar memilih Ahli Parlimen baharu, tetapi juga mengesahkan sebelah langkah Ketua Umum PKR itu mengisi kerusi Perdana Menteri kelapan seperti mana disebut dalam hampir setiap ceramah kempennya.

Pelbagai kemungkinan

Bagaimanapun, ada juga suara melihat kemenangan Anwar yang diumumkan secara rasmi sebagai pemenang saingan tujuh penjuru pada jam 9.15 malam kelmarin, sebagai lanjutan episod drama politik baharu di tanah air dengan pelbagai kemungkinan, termasuk sama ada beliau benar-benar akan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad seperti dijanjikan.

Jurang besar memisahkan undi diperoleh Anwar dengan majoriti 23,560 meninggalkan pencabar terdekatnya, tidak mengejutkan kerana selayaknya beliau berada dalam kelas tersendiri dalam berdepan enam pesaing lain.

Apa yang agak memeranjatkan ialah kedudukan calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar di tempat kedua dengan 7,456 undi, manakala bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad yang disebut-sebut sebagai pesaing terdekat Anwar, hanya meraih 4,230 undi dan kehilangan wang deposit.

Selain undi awal dan penyokong sendiri, sokongan diperoleh Mohd Nazari mungkin disumbangkan ahli UMNO atas dasar kerjasama sesama pembangkang yang semakin lunak hasil persefahaman ketuanya, selain menjadi satu-satunya pilihan berparti selain Anwar selaku calon Pakatan Harapan (PH).

Laman sendiri dan sentimen silam nyata tidak mencukupi menjadi modal berbayar bagi Mohd Isa berdiri sebagai calon Bebas - kedudukan yang tidak diyakini untuk mengubah landskap fizikal dan politik Port Dickson serta masa depan anak jatinya.

Malah, kekalahan pertama selepas 10 kali memasuki arena pilihan raya itu wajar dijadikan yang terakhir sebelum berundur secara terhormat daripada politik, sepantas meninggalkan UMNO yang memayungi perjalanan politiknya selama 46 tahun.

Mohd Isa berpegang kepada statusnya sebagai pemimpin masa lampau sedangkan Anwar melonjakkan sahamnya selaku peneraju masa depan. Percaturan itu memudahkan pengundi membuat pilihan.

Pola pengundian turut menyaksikan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu dikuasai Barisan Nasional (BN), iaitu Bagan Pinang dan Linggi - dua kawasan yang menjadi tumpuan kempen Mohd Isa - berpihak kepada PH.

Ia dengan ketara memperlihatkan defisit keyakinan terhadap BN, terutama dalam kedua-dua kerusi DUN itu dikuasai UMNO. UMNO/BN perlu memperhalusi perkembangan itu, sama ada peralihan undi berlaku atas dasar protes atau perubahan sokongan pasca-Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14).

Empat calon Bebas lain - Mohd Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen - yang tampil dengan matlamat tersendiri, dilihat lebih banyak mengutip pengalaman berbanding undi dan sememangnya tiada seorang pun daripada mereka berada dalam kelas setanding Anwar.

Berbanding tiga nama lain, Mohd Saiful Bukhari lebih dikenali atas kes liwat yang mengheret Anwar ke penjara. Walaupun sesekali diasak dengan pertanyaan episod silamnya, usahawan muda berusia 33 tahun yang sentiasa ditemani isterinya itu mengotakan janji untuk tidak menjadikan hal peribadi sebagai modal meraih undi.

Langkah PD menjadi

Langkah PD Anwar menjadi kerana Port Dickson memiliki komposisi pengundi dari segi kaum yang hampir seimbang dalam kalangan Melayu, Cina dan India. Beliau bertuah kerana pengundi Port Dickson meletakkan persamaan mengatasi perbezaan.

Pengundi bandar peranginan itu melihat gambaran lebih besar, iaitu Anwar sebagai Perdana Menteri dan bukan sekadar Ahli Parlimen, dengan harapan undi diberi akan dibalas seperti sewajarnya.

Itu juga cabaran baharu Anwar - memahami dan menjiwai nurani anak Port Dickson. Ada kalanya apa yang lebih diperlukan adalah masa dan perhatian untuk mendengar keluhan berkaitan hal kehidupan biasa, berbanding janji pembangunan mega.

Berita kemenangan Anwar mendapat liputan media seluruh dunia. Taip sahaja ‘Anwar Ibrahim’ di enjin pencari, berita sambutannya laksana wira yang muncul tepat pada masanya.

Tarikan seperti itu memang sedap dibaca, namun Anwar tidak harus sekali-kali melupakan pengorbanan pengundinya. Port Dickson bukan sepah yang boleh sesuka hati dibuang di pinggir jalan selepas madunya habis dinikmati.

Apa yang diimpikan kini kembali dalam genggaman. Mulai hari ini juga, suara anak kelahiran Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam itu akan kembali bergema di Dewan Rakyat bersama blok penyokong kerajaan.

Port Dickson memulakan langkah kanan Anwar dan beliau bertanggungjawab terhadap setiap inci kawasan diwakili ini - sebelum, semasa dan selepas menjadi Perdana Menteri. Soal sama ada beliau akan mempertahankan kerusi P132 pada pilihan raya umum akan datang adalah episod berbeza.

Dengan kemenangan ini, Anwar seharusnya komited untuk mengubah wajah Port Dickson yang menerimanya dengan hati dan tangan terbuka. Tersandung langkah, Port Dickson juga boleh mengubah rentak politiknya.

Sejak sekian lama, bandar Port Dickson sinonim sebagai destinasi percutian singkat. Anwar sudah lama ‘bercuti’, maka harapnya Port Dickson bukan menjadi sekadar persinggahan dalam perjalanan panjangnya.

YB Anwar, ‘dakwat setia’ di jari pengundi harus selamanya tersemat di hati.

Berita Harian X