Jumaat, 28 September 2018 | 11:31am
FOTO hiasan

Parti mahu beri pilihan kepada rakyat

Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang segala yang mungkar; dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. (Ali-Imran: 104)

Keputusan PAS untuk bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson mengundang pelbagai reaksi dan dibuat setelah mengambil kira pertimbangan demografi dan demokrasi.

Secara demografi, Port Dickson bukanlah kerusi selamat untuk PAS. Kawasan Parlimen ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus pengundi Cina, 22 peratus pengundi India dan 2 peratus lain-lain bangsa, menjadikannya kerusi campuran yang didominasi pengundi bukan Melayu.

Di samping itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi, iaitu 68,486 pengundi biasa (90.3 peratus), 7,268 pengundi awal (9.6 peratus) dan 16 pengundi luar negara, menjadikannya kerusi dengan jumlah undi tentera agak signifikan.

Ada lima kawasan DUN

Ada lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Port Dickson, iaitu Chuah dan Lukut dengan majoriti pengundi Cina, Sri Tanjung iaitu kerusi pengundi campuran dan kawasan perindustrian.

Dua lagi, Bagan Pinang dan Linggi menempatkan majoriti pengundi Melayu dan kem tentera serta kawasan pelancongan.

Rekod pilihan raya menyaksikan kerusi ini dianggap kubu kuat BN dan MIC sejak 1970-an, sehinggalah ditawan PKR pada PRU 2008 dengan majoriti 2,804 undi.

PKR kekal di situ pada PRU 2013 dengan majoriti 1,579 undi dan PRU 2018 dengan majoriti 17,710 undi serta penguasaan 58 peratus undi popular. Melihat angka-angka ini, cabaran menanti PAS bukan mudah, namun PAS memilih tidak memberi laluan mudah.

Apabila ditanya wartawan mengenai potensi PAS pada PRK ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjawab: “Tidak mustahil boleh menang, namun tidak mudah untuk menang”.

Secara demokrasi, keputusan diambil PAS adalah untuk menghidupkan proses demokrasi dan berpolitik secara matang di Malaysia.

Ia juga bagi memberi pilihan kepada rakyat yang mahu menghantar isyarat penolakan terhadap kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta signal penolakan ‘politik keperibadian’ dengan pelbagai langkah tidak berkesudahan.

Menariknya, keputusan PAS untuk bertanding menyerlahkan jati diri parti ini yang bebas menentukan sikap dan pendirian politik secara tersendiri, dalam konteks hubungan kerjasama politik sesama parti pembangkang seperti UMNO dan MIC di atas prinsip ‘ta’awun siyasi’ yang fleksibel dalam perkara kebaikan.

Jati diri dan konsistensi parti

Maka penyertaan PAS di Port Dickson jelas menunjukkan jati diri dan konsistensi parti ini atas prinsip kebenaran serta menyerlahkan kesungguhan menghidupkan proses demokrasi ke arah budaya politik berprinsip, matang dan sejahtera dalam negara.

Inilah mesej besar dibawa PAS, sebagaimana diperintahkan Allah di dalam al-Quran supaya perlu ada suatu golongan (ummah) yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh segala yang baik serta melarang segala yang mungkar.

Inilah sifat golongan yang berjaya di sisi Tuhan. Di atas jati diri ini, Port Dickson kami datang!

Penulis adalah Pengarah Strategi Dewan Pemuda Pas Malaysia

Berita Harian X