Isnin, 6 Ogos 2018 | 11:05am
VAN penerangan membuat kempen keluar mengundi mengunakan pembesar suara di sekitar Jalan Kebun pada Pilihanraya Kecil N49 Dun Sungai Kandis. - Foto Syarafiq Abd Samad

Pengajaran daripada PRK Sungai Kandis

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyaksikan penurunan mendadak peratusan keluar mengundi, kedua paling rendah selepas PRK DUN Penanti pada 2009 yang berlangsung setahun selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

Ini menunjukkan, sedikit sebanyak faktor PRU mempengaruhi sentimen keluar mengundi, apatah lagi PRK DUN Sungai Kandis terpaksa diadakan tidak sampai tiga bulan selepas PRU-14.

Bagi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, situasi itu biasa setiap kali PRK, namun membimbangkan apabila peratusan direkod itu terlalu rendah, tidak sampai 50 peratus.

Keputusan kelmarin juga menunjukkan sebahagian besar pengundi atas pagar, mungkin juga golongan muda tidak mengundi, antaranya kerana yakin tiada perubahan kepada keputusan lalu, majoriti terlalu besar diperoleh PKR pada PRU-14 atau pengundi luar tidak pulang.

Faktor lain ialah kegagalan UMNO-PAS membentuk kerjasama padu serta sentimen dibawa Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen. Jika keadaan ini kekal bagi mendepani PRK akan datang, pasti trend serta keputusannya tidak banyak berbeza di DUN Balakong dan DUN Seri Setia.

Justeru, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu meneliti secara mendalam semua faktor berkenaan termasuk tempoh masa berkempen terlalu lama dan hari mengundi pada Sabtu yang juga hari bekerja bagi pengundi di sektor swasta.

Jelas sekali, penurunan peratusan ini sedikit merencatkan proses demokrasi terutama apabila wakil rakyat yang dipilih tidak ditentukan oleh majoriti penduduk dan pengundi di sesuatu kawasan.

Apatah lagi jika terbukti sebahagian besar pengundi Sungai Kandis yang tidak keluar mengundi kelmarin adalah golongan muda. DUN Sungai Kandis sendiri menyaksikan 48 peratus pengundi berusia 21 hingga 39 tahun.

Hilang undi

Oleh kerana peratusan keluar mengundi rendah juga, Pakatan Harapan (PH) kehilangan 8,571 undi atau 35.7 peratus berbanding PRU-14, manakala BN hilang 1,933 undi atau 16.8 peratus.

Kiraan asasnya, PKR dan BN tidak hilang undi daripada pengundi tegar biarpun secara matematiknya, PKR hilang 6,638 undi yang membentuk sokongan majoriti besar diperoleh mereka pada PRU Mei lalu.

Pemimpin BN menyatakan ia mungkin undi protes, tanda pengundi atas pagar tidak lagi berminat menyokong PH. Persoalannya, mengapa protes tidak dizahirkan dengan mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam atau calon Bebas mahupun undi rosak, yang bilangannya kelmarin adalah kecil.

Biarpun sentimen undi protes boleh diteliti dengan lebih mendalam, terutama untuk melihat semula isu nasional diketengahkan BN dan peneriman pengundi, ia masih dilihat tidak mampu membentuk sentimen majoriti.

Jika dilihat secara logiknya juga, kemungkinan pengundi lebih tidak menghiraukan isu dan persepsi dibawa dan dicipta kedua-dua parti. Dalam bahasa mudahnya, pengundi atas pagar mungkin tidak berminat, tidak endah dan tidak peduli dengan isu politik buat masa sekarang.

BN boleh menggunakan dapatan hasil PRK DUN Sungai Kandis sebagai rujukan, sama ada kaedah sama, membawa isu nasional berkaitan kedudukan Islam dan Melayu, boleh diguna pada PRK seterusnya terutama di DUN Seri Setia bagi membantu PAS jika parti itu meletakkan calonnya.

DUN Balakong boleh dikatakan tidak relevan sama sekali jika isu sama dibawa BN kerana majoriti pengundi situ adalah Cina. Ia tidak lebih sekadar memarakkan lagi api permusuhan antara kaum jika modal kempen sama dibawa.

MCA jika sah bertanding di Balakong, janji manifesto PH terutama janji 100 hari mereka boleh menjadi bekalan kerana sudah melepasi tempoh 100 hari. Ia modal cukup besar kepada MCA dan BN untuk menunjukkan kepada rakyat rekod pentadbiran PH.

Pada PRK Sungai Kandis juga, jelas menyaksikan kerjasama PAS dan UMNO belum menghasilkan sesuatu yang lumayan, kelihatannya penyokong PAS seperti mengambil sikap berkecuali.

Sentimen ini boleh didorong dua faktor utama, sikap dan kenyataan pemimpin tertinggi PAS masih tidak sekata serta penerimaan ahli akar umbi terhadap orang UMNO. Jika dilihat kempen di Sungai Kandis, wujud pandangan pelbagai dari pemimpin PAS.

Dari segi sejarah perjuangan PAS juga, doktrin menolak BN sudah tertanam lama dan cukup sebati dengan ahli PAS. Ini menyukarkan kerjasama dibentuk terutama di peringkat akar umbi, proses neuteralisasi ahli PAS mungkin ambil masa.

Berita Harian X