Jumaat, 24 November 2017 | 10:00am
- Gambar hiasan/Foto Fathil Asri

Banyak 'A' bukan ukuran cemerlang

Sudah tiba masa bagi semua lapisan masyarakat negara ini khususnya ibu bapa supaya tidak lagi melihat pencapaian anak masing-masing berdasarkan berapa banyak A yang mereka peroleh dalam peperiksaan yang diduduki.

Minda yang berorientasikan peperiksaan dalam menentukan pencapaian seorang murid di sekolah rendah sewajarnya diubah pada masa ini kerana apa yang lebih penting pembangunan karektor murid secara menyeluruh sepanjang enam tahun persekolahan mereka.

UPSR satu daripada empat komponen PPSR

Pelbagai pandangan diterima apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya akan menjadi satu daripada empat komponen Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) dalam menentukan prestasi seseorang murid berbanding sebelum ini.

Ada yang bersetuju, tidak kurang juga sebaliknya. Namun kebanyakan pandangan yang diterima amat positif kerana tiga lagi komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD); Pendidikan Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) akan memberi tumpuan kepada perkembangan sahsiah setiap murid.

Ada berpendapat format baharu jejas prestasi calon

2017 adalah tahun kedua kohort murid yang terbabit dalam pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KKSR), manakala UPSR pada 2015 adalah kohort terakhir kumpulan murid yang menggunakan format Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

KSSR mula dilaksanakan pada 2011 membabitkan murid Tahun Satu yang menduduki UPSR pada 2016.

Susulan daripada itu, keputusan peperiksaan pada tahun lalu menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat kerana ada yang memberi pendapat bahawa format baharu itu 'menjejaskan' prestasi calon.

Pada ketika itu, hanya 4,896 calon atau 1.11 peratus daripada 452,721 calon memperoleh A dalam semua subjek.

Selain itu, pencapaian dalam kebanyakan subjek juga dilihat rendah. Pada tahun ini pula, seramai 8,958 calon UPSR mendapat A dalam semua subjek iaitu 2.1 peratus daripada keseluruhan pelajar seramai 443,794.

Ibu bapa perlu fahami pembaharuan

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senan, dipetik sebagai berkata bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan negara tidak lagi memfokuskan kecemerlangan murid berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata.

Apa yang perlu ialah mereka turut melihat pencapaian murid secara holistik sebagai seorang insan.

"Setiap murid memiliki keunikan tersendiri dan potensi mereka tidak hanya semata-mata sebanyak mana mereka meraih A dalam peperiksaan.

"Selain pencapaian akademik yang lebih penting adalah pembangunan karakter, memperkasa pendidikan sejati dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di sekolah," katanya.

Pendekatan boleh kurangkan tekanan

PPSR memberi penekanan kepada kemenjadian murid secara holistik dan meningkatkan jumlah murid yang menguasai tahap minimum sepanjang persekolahan mereka di sekolah rendah.

Yang jelas pendekatan yang diperkenalkan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan bukan sahaja kepada pihak sekolah, tetapi juga ibu bapa yang terlalu mengharap anak mereka meraih semua A dalam setiap subjek yang diambil kepada satu bentuk persaingan yang lebih sihat.

Penulis adalah Pengarang Berita Unit Pendidikan BH

Berita Harian X