Rabu, 22 November 2017 | 7:15am
FOTO hiasan.

Pertahan kedaulatan Islam, Raja dalam TN50

TIDAK ramai sedar pengorbanan Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957 yang menurunkan tandatangan perkenan penubuhan sebuah Persekutuan Tanah Melayu walaupun memahami penuh maksud dan kesan penyerahan kuasa tadbir negeri kepada sebuah Persekutuan.

Demikianlah "Wasiat Raja-Raja Melayu" diabadikan dalam Perlembagaan Persekutuan 31 Ogos 1957, sekali gus mewujudkan konsep Raja Berperlembagaan dengan pengekalan kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu, penyimpanan hak milik Tanah Simpanan Melayu, penubuhan Rejimen Askar Melayu, pengisytiharan Islam sebagai Agama Persekutuan, menginstitusikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan memelihara kepentingan sah kaum yang ada.

Sekali lagi tinta emas melakar sejarah apabila wira negara mencatur pembinaan transformasi pertama Tanah Melayu menjadi sebuah Malaysia pada 16 September 1963, hasil gandingan ampuh tiga artikek bangsa dan negarawan ulung: Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambanthan.

Di sinilah sekali lagi institusi Raja-Raja dapat memainkan peranan sebagai payung teduhan rakyat. Sejarah membuktikan bahawa Raja-Raja Melayu yang masih bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri kekal berdaulat di Negeri-Negeri berkenaan sejak diwarisi daripada Kerajaan Melayu Lama walaupun dengan termeterainya perjanjian Raja-Raja Melayu dengan British, bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874 dan berakhir dengan Perjanjian Johor pada 1914.

Fakta yang ramai rakyat jelata juga tidak sedar ialah bahawa perlembagaan negeri adalah bersumberkan Kerajaan Melayu Melaka khususnya dalam agama Islam, kedudukan dan peranan Raja-Raja hari ini adalah penerusan sistem dan kerangka yang terkandung dalam Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.

Barangkali atas konsep kedaulatan Islam yang sama itulah Islam diabadikan sebagai Agama Persekutuan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan dan betapa terang lagi bersuluh Perkara 37 (1) mewajibkan setiap Raja Melayu yang secara bergilir memegang tampuk takhta Ketua Negara sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, mengangkat Sumpah Jawatan dengan lafaz ikrar: Wallahi, Wabillahi, Watallahi "mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam Negeri" (Jadual Keempat, Perkara 37, Perlembagaan Negara).

Kekal elemen utama Islam

Pernyataan jelas ciri-ciri mempertahankan kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ini diperkukuhkan lagi dengan fakta bahawa elemen utama Islam dikekalkan dalam Enakmen Negeri-Negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Demikian halnya juga dengan penghakiman dalam mahkamah oleh barisan hakim pernah memutuskan betapa elemen Islam memainkan peranan sangat penting dan menyeluruh dalam urus tadbir negara berdaulat bernama Malaysia - satu-satunya negara bangsa demokrasi berparlimen moden yang mengekalkan sebuah institusi unik di bawah naungan Raja-Raja Melayu penuh berdaulat.

Kepada generasi muda terutamanya, selamilah setiap detik erti sebuah kemerdekaan dengan perkenan Raja-Raja Melayu dan keringat rakyat. Semoga Titah Ikrar Paduka Seri Sultan Perak pada 5 Ogos 2017 yang lalu bahawa "Raja-Raja Melayu peka dan memahami denyut nadi dan denyut jantung rakyat" benar-benar dapat dijelmakan dengan penuh hikmah lagi bijaksana.

Jangan hendaknya ada di kalangan rakyat cuba merobek asas-asas perpaduan yang telah kita bina pramerdeka. Jangan kita lupa akan leluhur kukuh lagi mantap yang telah kita warisi sejak berzaman. Jangan sekali-kali kita alpa akan tujuh pasak utama yang termeteri sewaktu Raja-Raja berkenan menerima Perlembagaan Persekutuan 1957 oleh Suruhanjaya Reid termasuklah memaktubkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Dalam kegigihan kita mempasakkan lanskap sosio-politik masa depan negara, jangan lupa menilai jejak-jejak lampau yang kita sendiri rentasi dan kejayaan yang kita sendiri perolehi.

Sesungguhnya itulah antara elemen jati diri paling penting yang amat kita perlukan pada masa kini untuk sama-sama kita jadikan bekalan dan panduan menggerakkan negara ke era Transformasi Nasional (TN50) yang sedang kita lakari.

86 dibaca
Berita Harian X