Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:51pm
Golongan wanita perlu mencontohi sirah Hajar sebagai isteri kepada Nabi Ibrahim AS dan ibu kepada Nabi Ismail AS. Gambar hiasan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Isteri, ibu perlu contohi pengorbanan Hajar

KISAH Nabi Ibrahim AS banyak dicatatkan dalam al-Quran termasuk sirah antara paling mencabar apabila wahyu Allah SWT memerintahkan Baginda mengorbankan puteranya, Nabi Ismail AS.

Di sebalik ibrah atau pengajaran bagaimana Nabi Ibrahim AS menerima dan melaksanakan arahan itu dengan redha, kita juga wajar mengenang dan mencontohi individu penting yang turut berkorban, iaitu Hajar AS yang melaksanakan peranan sebagai isteri dan ibu kepada pesuruh Allah SWT.

Nama Hajar tidak disebut secara harfiah dalam al-Quran, tetapi ayat kisahnya tetap diungkapkan dalam doa Nabi Ibrahim AS: “Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya aku menempatkan sebahagian zuriat keturunanku di sebuah lembah (Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakan rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibrahim: 37)

Doa itu menjadi sumber kekuatan Hajar apabila ditinggalkan bersama Nabi Ismail AS yang masih kecil. Allah SWT memakbulkannya dan kemunculan air istimewa, iaitu Zamzam yang dikenang sempena perjuangan Hajar yang redha ditinggalkan di bumi gersang Makkah. Malah, larian Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah dan sebaliknya menjadi antara rukun penting dalam ibadat haji.

“Adakah Allah SWT yang memerintahkan tuan melakukannya?” Soalan itu menjadi kemuncak penerimaan Hajar kepada keputusan diambil Nabi Ibrahim AS. Baginda tidak marah, sebaliknya bersikap rasional dengan bersangka baik terhadap suaminya. Tiada isteri sanggup ditinggalkan begitu sahaja, apatah lagi dengan anak masih bayi.

Namun, Hajar meletakkan kebergantungan hidup semata-mata kepada Allah SWT. Baginda percaya, jika ia perintah Allah SWT, maka Tuhan sahaja yang akan mencipta kesenangan di sebalik kesusahan kerana bantuan-Nya akan sentiasa tiba apabila putus segala pengharapan kepada manusia.

Keimanan Hajar diuji lagi apabila Nabi Ibrahim AS mendapat perintah mengorbankan anak tunggal mereka. Namun, Hajar sentiasa percaya suaminya tidak akan membuat suatu keputusan di luar kemahuan sekiranya tiada penggerak lebih agung berbanding wahyu.

Malah, jawapan Nabi Ismail AS memberi kekuatan luar biasa kepada Nabi Ibrahim AS dan Hajar untuk melaksanakan perintah itu. Nabi Ismail AS bersabda dalam firman Allah SWT: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati aku daripada orang sabar.” (Al-Saffat: 102)

Hati ibu pasti bagai dirobek apabila anaknya perlu dikorbankan. Sekali lagi, Hajar meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT dan ujian berkenaan akhirnya bertukar menjadi iktibar gembira. Tempat Nabi Ismail AS ditukar kepada kibas, manakala daging kambing itu yang dikorbankan diagihkan kepada penduduk di sekitar Tanah Haram.

Firman Allah SWT menjelaskan perintah itu sebagai ujian nyata dan Dia akan membalas usaha mereka dalam mengerjakan kebaikan serta kesabaran.

Wanita yang bernama Hajar itu meninggalkan impak besar dalam aspek ibadat dan sejarah. Setiap individu tidak kira lelaki mahupun wanita perlu mengambil ibrah kisah itu terhadap kesusahan dilalui dengan ketabahan dan kesabaran yang diamalkan, manakala pengorbanan Baginda tidak boleh dijual-beli.

Hajar berkorban bukan semata-mata status sebagai isteri dan ibu kepada rasul. Ini kerana sirah merakam ada isteri nabi yang tidak beriman dan mengingkari perintah Tuhan serta suami. Sebaliknya, Hajar berkorban kerana Baginda percaya semua kesusahan hanya akan berakhir dengan kesenangan sekiranya mempunyai keimanan tinggi kepada Allah SWT.

Iman bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi meyakini dalam hati, mengucapkan dengan lisan dan menterjemahkannya dengan tindakan. Iman akan meningkat dengan ketaatan kepada Tuhan dan setiap ketaatan pasti akan diuji dengan pengorbanan.

Pengorbanan tidak memerlukan status tertentu. Ia bukan hanya dengan berlari di atas padang pasir sahaja, malah berjalan di dalam dewan berhawa dingin tetap memerlukan pengorbanan. Namun, hanya pengorbanan berpanjikan nama Tuhan sahaja akan diberi balasan dan ganjaran. Nilai pengorbanan di sisi Allah SWT sangat besar kerana hanya orang terpilih yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Biarpun Nabi Ismail AS yang dipilih menjadi ‘korban’, berkat ketabahan Hajar menjaga anak sejak kecil dengan penuh kesukaran adalah pengorbanan yang tiada tolak tandingnya. Beruntunglah Hajar kerana tidak mengeluh, malah redha dengan ketetapan dan ujian Tuhan. Beruntunglah Hajar kerana hingga kini namanya dikenang di atas pengorbanan Baginda sebagai isteri dan ibu.

Justeru, berlapang dadalah dengan ujian dan kesukaran. Bertahanlah selagi mampu untuk melakukan pengorbanan untuk kebaikan mendatang. Seseorang dimuliakan bukan disebabkan apa dimilikinya, sebaliknya pengorbanannya untuk memberikan manfaat kepada orang lain.

* Penulis ialah Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan EXCO Biro Kajian Islam dan Hadis, Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)

116 dibaca
Berita Harian X