Selasa, 23 Julai 2019 | 7:00am
Mereka yang mati dalam husnul khatimah apabila kembali ke tanah akan ‘dihimpit’ oleh tanah seperti pelukan ibu kepada anaknya. - Foto hiasan/Khairunisah Lokman

Iman, amal bezakan himpitan kubur

Kehidupan manusia itu sebenarnya bermula selepas mati. Sebaik saja jenazah dimasukkan ke liang lahad, kubur akan menghimpit dengan tiada sesiapa pun mampu mengelak daripadanya.

Hal ini menjelaskan kehidupan di dunia tidak lain kesenangan memperdayakan seperti firman Allah SWT: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Sesiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan memperdayakan (Ali Imran: 185)

Pendakwah bebas, Ustazah Muzayyanah Abdullah, berkata kematian membawa manusia untuk berdepan dengan himpitan kubur hingga Nabi Muhammad SAW sendiri menegaskan semua manusia akan merasainya.

“Apa dimaksudkan dengan himpitan itu merujuk kepada keadaan manusia sendiri, iaitu berasal daripada tanah dan akan kembali ke tanah juga.

“Dalam hal ini, ulama berpandangan seperti anak yang lahir daripada rahim ibu, kita berpisah lama akhirnya kembali kepada ibunya juga,” katanya.

Muzayyanah berkata, ia bermaksud seseorang yang mati dalam husnul khatimah atau pengakhiran yang baik apabila kembali ke tanah akan ‘dihimpit’ oleh tanah seperti pelukan ibu kepada anaknya, penuh lembut seperti orang kerinduan, lalu menghimpitnya penuh kasih dan sayang.

Sebaliknya kata Muzayyanah, jika mati dalam su’ul khatimah atau pengakhiran buruk, tanah menghimpit si mati dengan kekerasan tegas yang dinamakan sebagai antara azab kubur.

“Himpitan itu menyebabkan tulang rusuk kiri dan kanan bertemu hingga patah riuk seluruh tulang-temulang dan anggota jasad.

“Sakitnya tidak terkata hingga berserakan akan segala tulang. Himpitan yang amat sakit lagi menyakitkan itulah yang akan dilalui oleh setiap manusia sebaik masuk ke alam kubur.

“Buatlah persiapan amal kebaikan sehingga tarikh kita dikembalikan ke tanah. Saat malam pertama di barzakh, biarlah ia menjadi taman syurga, bukannya menempuh himpitan kubur menakutkan,” katanya.

Tegas Muzayyanah, himpitan kubur dilalui semua manusia sedangkan azab kubur dilalui manusia berdosa, melakukan maksiat dan perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta tidak bertaubat atas segala dosanya.

Berdosa kepada Allah SWT, kata Muzayyanah, jauh lebih mudah diselesaikan asal ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam taubatnya tetapi dosa kepada manusia hanya akan selesai dengan memohon kemaafan kepada manusia.

Beliau berkata, himpitan kubur berlaku kerana keingkaran manusia kepada perintah Allah SWT, selain tidak berusaha meninggalkan segala larangan Allah SWT.

“Sifirnya mudah, jadi hamba taat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya serta tinggalkan larangan-Nya, maka terhindarlah daripada azab kubur dan himpitan menyakitkan.

“Malah, kita juga selalu diajar dalam agama, Muslim yang tidak membaca al-Quran ketika hidupnya, akan lebih mudah mendapat azab kubur.

“Al-Quran yang kita baca atas dunia dapat meluaskan kubur yang sempit dan memberikan cahaya dalam kubur yang gelap, malah pembaca al-Quran tidak takut dikebumikan sendirian kerana dia tahu ayat al-Quran akan menjadi teman saat di barzakh kelak,” katanya.

Muzayyanah berkata, selain itu keadaan diri yang tidak bersuci ketika beribadah juga menyebabkan himpitan kubur seperti hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW berjalan di sebelah dua kubur, kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-dua ahli kubur ini sedang diazab, walhal bukan sebab dosa besar mereka. Seorangnya tidak membersihkan kencing dengan sempurna, seorang lagi kerana suka menjajakan cerita. (HR Bukhari)

“Mengapa Rasulullah SAW sebutkan hal ini? Allah SWT Yang Maha Mengetahui hamba-Nya. Sebagai orang Islam, kebersihan itu adalah separuh daripada iman.

“Ia juga memberi ingatan kepada kita terutama kepada orang yang suka kencing berdiri hingga menyebabkan najis mudah terpercik ke pakaian yang kemudiannya dibawa untuk solat.

“Pakaian yang terkena najis menyebabkan solat tidak sah. Jadi kita perlu faham, tegahan kencing berdiri (tanpa uzur) untuk memastikan ibadat solat kita tidak sia-sia,” katanya.

Tegas Muzayyanah, meskipun hadis itu merujuk kepada seorang lelaki tetapi ia juga terpakai kepada sesiapa sahaja yang tidak membersihkan najis dengan sempurna dan ia juga tidak terhad di kemaluan sahaja.

Hal ini menjelaskan, Islam sangat tegas dalam persoalan bersuci kerana tanpanya ibadat akan terjejas.

Muzayyanah berkata, perihal mencuci kemaluan adalah persoalan peribadi yang ada kalanya pasangan sendiri pun tidak mampu menegur dan membetulkan. Justeru individu itu sendiri perlu memahami konsep bersuci dan kaedahnya.

“Misalnya, menyucikan diri daripada najis pertengahan seperti air kencing perlulah dengan air mengalir dan yakin bersih serta suci, barulah kita boleh solat dengan sempurna.

“Ada kala perasaan kita sahaja (tanpa ilmu), ia sudah bersih tetapi sebenarnya ia belum cukup suci, dalam keadaan ini ibadat tetap ditolak,” katanya.

Muzayyanah berkata, wanita yang selalu berhadapan masalah misalnya sentiasa merasa basah di kemaluan, perlu mengatasinya dengan memakai pelapik dan membasuh setiap kali ingin beribadat, sekali gus menukarkannya dengan yang baharu.

Muzayyanah berkata, manusia yang dengan sengaja menangguhkan taubatnya dan mereka yang sangat sukar mensyukuri nikmat yang diberikan Allah SWT juga berhadapan dengan himpitan kubur.

“Namun, setiap orang berhadapan dengan himpitan yang berbeza berdasarkan amalannya termasuk amal jariah. Allah SWT itu Maha Kaya, tidak mungkin balasan kepada orang ingkar dan soleh itu sama,” katanya.

Firman Allah SWT: “(Tidak demikian) bahkan barang siapa yang menyerahkan diri kepada Allah, sedang ia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (al-Baqarah: 112)

Ayat itu kata Muzayyanah bermaksud, Allah SWT membalas setiap kebaikan yang dilakukan hamba-Nya begitu juga jika kita melakukan kejahatan, sekali gus menyebabkan adanya syurga dan neraka.

Justeru setiap orang akan berhadapan dengan himpitan kubur, Muzayyanah berkata, perlu berusaha untuk meringankannya.

Hadis diriwayatkan Saidatina Aisyah RA menyebut, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya kubur itu memiliki himpitan. Kubur ini, jika mayat itu turun berlaku himpitan. Lalu jika ada orang yang terselamat daripada himpitan kubur ini, nescaya Saad ibnu Muadz orang pertama yang terlepas daripada himpitan kubur.”

Muzayyanah berkata, perbahasan ulama menyatakan Saad tetap merasakan himpitan kubur walaupun segera dilepaskan, sedangkan beliau ialah pahlawan Islam yang amat hebat.

“Sejarah mencatatkan Saad sebagai pejuang gagah perkasa dan saat menerima Islam, beliau tidak banyak cakap dan memilih menjadi taat.

“Sebaik sahaja mengenal Islam, beliau turut mengajak pengikutnya menganut agama suci ini dan bayangkan hebatnya manusia seperti itu, tetapi masih dihimpit kubur sedangkan kita ada kala melawan hawa nafsu pun tidak mampu,” katanya.

Namun tegasnya, manusia boleh berusaha supaya himpitan kubur diringankan, jika pun tidak mampu dielakkan.

“Ia boleh dibuat dengan cara bertaubat atas segala dosa dan meneruskan kehidupan dengan amalan kebaikan yang mampu menghapuskan kejahatan yang dilakukan sebelum ini.

“Bersihkan hati dan fokus memburu reda juga kasih sayang Allah SWT. Di situlah lahirnya ikhlas dan hanya amalan sebenar-benar ikhlas diterima Allah SWT,” katanya.

893 dibaca
Berita Harian X