Khamis, 18 Julai 2019 | 6:52am
Seorang penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi menerima rawatan kesihatan sebelum suntikan vaksin daripada petugas khas Jabatan Kesihatan Gua Musang. - Foto Ramli Ibrahim

Hukum guna vaksin berdasar syariat, maslahat manusia

Vaksin dan imunisasi perlu dilihat dalam konteks rawatan kesihatan serta langkah pencegahan kepada penyakit kritikal, sekali gus tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.

Dakwaan mengaitkan kandungan vaksi dengan bahan tidak halal dan meragukan, tidak sepatutnya terus diperbesarkan kerana Islam menyediakan panduan langkah pencegahan penyakit yang bukan bersifat semberono, sebaliknya berdasarkan al-Quran dan sunnah.

Malah, keputusan dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menjelaskan hukum harus bagi penggunaan vaksin perlu diterima kerana selari dengan kaedah pencegahan dianjurkan Islam.

Ini kerana ia bukan hanya ditentukan pakar perubatan, sebaliknya menimbang tara pandangan pakar hukum syarak untuk menentukan sesuatu vaksin itu boleh digunakan atau sebaliknya.

Hal itu tidak boleh dipandang ringan kerana terdapat kes kematian di negara ini yang dilaporkan akibat tidak melalui program vaksinasi hingga memudahkan tersebarnya penyakit berjangkit khususnya yang berbahaya.

Antara yang menggemparkan negara ialah kes demam campak membabitkan penduduk Orang Asli suku Batek di Hulu Terengganu pada penghujung Jun lalu yang mengakibatkan empat daripadanya meninggal dunia.

Ini disebabkan peratusan liputan imunisasi dalam kalangan masyarakat itu yang begitu rendah sehingga mudah wabak penyakit menular.

Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata syarak mengetengahkan konsep pencegahan penyakit sebagai langkah awal kesihatan dan kewajipan mendapatkan rawatan bagi mengekalkan kesejahteraan tubuh badan.

Pencegahan ialah wajib untuk kemaslahatan umum seperti hadis: Apabila kalian mendengar wabak taun di suatu tempat, janganlah kalian pergi ke situ dan sekiranya ia merebak di kawasan kalian, janganlah keluar melarikan diri. (HR Bukhari & Muslim),”

“Orang Arab Badwi pernah bertanya kepada Rasulullah SAW sama ada boleh atau tidak mereka berubat apabila ditimpa penyakit.

“Baginda menjawab: Wahai hamba Allah sekalian, berubatlah! Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan bersamanya penawar (HR Tirmizi),” katanya.

Beliau berkata, ramai keliru dalam hal membabitkan perbezaan pandangan fuqaha berkaitan hukum berubat atau menerima rawatan.

“Secara umumnya, sebahagian ulama menyatakan hukum harus, selain ada berpandangan afdal atau lebih utama berubat, manakala tidak kurang mengaitkan afdal tidak berubat dengan bertawakal kepada Allah SWT. “Bagaimanapun, perbezaan pendapat dalam kalangan ulama itu, merujuk kepada keadaan penyakit biasa yang bukan kritikal atau berbahaya serta boleh sembuh sendiri.

“Bagaimanapun, dalam kes darurat dan kritikal seperti polio, tetanus serta virus papiloma manusia (HPV), semua fuqaha menegaskan hukum merawat sebagai wajib kerana menjaga keselamatan nyawa (hifz al-nafs) yang menjadi antara elemen maqasid (tujuan) syariah,” katanya......

Sebarang pengenalan vaksin baharu khususnya di tanah air, perlu mendapat kelulusan hukum pihak berkuasa agama seperti Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Dalam isu halal-haram membabitkan penggunaan vaksin, ia dilakukan dengan teliti seperti vaksin meningococcal meningitis untuk penyakit meningitis, iaitu keradangan selaput otak dan saraf tunjang.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-53 yang bersidang pada 27 November 2002 membincangkan suntikan pelalian vaksin itu.

“Muzakarah memutuskan hukum menggunakan pelalian Meningococcal meningitis mencevax yang diambil daripada sumber lembu adalah harus, manakala meningococcal miningitis momumune yang mengandungi unsur daripada babi diharamkan,” katanya.

Mohd Hapiz yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan perlu mengambil langkah mewajibkan pengambilan vaksin demi kepentingan umum, manakala rakyat wajib mematuhi keputusan waliyyul amr, iaitu pemerintah.

Beliau menambah, kesedaran hal itu kepada golongan anti-vaksin perlu diperluaskan supaya dapat membuka minda golongan itu, sekali gus mengelakkan mereka terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit yang kritikal.

“Golongan ini terkhilaf kerana seolah-olah melihat isu ini seperti pengambilan makanan yang boleh dipilih sesuka hati.

“Dalam perspektif makanan, pengguna ada hak memilih tetapi kita perlu sedar kerajaan masih berhak mengawal dan menetapkan jenis makanan yang terbaik serta selamat untuk orang ramai.

“Dalam asas syariah, ada disebut kelonggaran menggunakan sumber haram dalam rawatan dalam kes darurat termasuk boleh mengakibatkan kematian dan keadaan kronik disebabkan ketiadaan sumber halal, sukar untuk akses dan keberkesanannya untuk memulihkan sesuatu penyakit,” katanya.

225 dibaca
Berita Harian X