Rabu, 17 Julai 2019 | 6:44am
Wan Mohd Nor (tengah) pada Seminar Restoration of Adab on Imam Abdullah Alwi al-Hadad di UTM, baru-baru ini. - Foto Azhar Ramli

Ketinggian adab cerminan peribadi mulia individu

Istilah adab dalam kefahaman umum, cenderung ditakrif sebagai perilaku baik, termasuk kesopanan dan kesusilaan yang menjadi amalan sehari-hari yang perlu diikuti umat Islam.

Bagaimanapun, makna sebenarnya sangat besar kerana ketinggian adab ialah cerminan peribadi individu dengan Islam menekankan pendidikan yang sempurna.

Ilmuwan terkemuka, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas memperincikan takrif dan memperjelaskannya secara sistematik adab mempunyai hubung kait dengan konsep Islam dalam semua bidang termasuk ontologi, epistemologi, pendidikan serta etika hingga estetika dan ekologi.

Penyandang Kerusi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, berkata adab jelas sekali berhubung kait kepada perkara pokok lain dalam pandangan dunia Islam dan etika seperti realiti kebenaran atau haqq; bijaksana (hikmah) dan adil (adl).

Wan Mohd Nor berkata, realiti dan kebenaran diterangkan sebagai dua perkara saling berkait rapat dengan kedudukan betul dan sesuai.

“Adab terhadap Tuhan adalah dengan memahami secara tepat akan nama, sifat dan perbuatan tanpa perlu mengetahui Zat-Nya; tidak menyamakan-Nya dengan yang lain; mengamalkan agama-Nya dalam cara betul seperti diajar Rasul-Nya; meninggalkan segala dilarang serta sentiasa mencari petunjuk dan keampunan-Nya.

“Juga adab kepada Tuhan adalah tidak menafikan kewujudan-Nya dengan tuhan yang disembah penganut agama lain,” katanya pada Seminar Restoration of Adab on Imam Abdullah Alwi al-Hadad di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofia (RZS-CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Wan Mohd Nor berkata, adab dalam konteks spiritual ialah pengiktirafan dan perakuan kepada darjah keluhuran kepada kedudukan dunia roh berasaskan ketakwaan dan kepatuhan.

“Sementara, adab terhadap diri sendiri bermula apabila seseorang memperakui sifat dwi-naluri dalam dirinya - rasional dan haiwan.

“Apabila rasional yang utama mengatasi (sifat) haiwan yang di bawahnya dan menjadikannya terkawal, barulah seseorang berjaya meletakkan kedua-duanya di tempat sepatutnya, sekali gus menempatkan diri di kedudukan betul.

“Seandainya gagal, seseorang tidak adil kepada diri sendiri. Apabila adab dirujuk dalam konteks hubungan manusia, ia bermaksud nilai etika diaplikasi dalam sifat sosial akan mematuhi ketetapan tertentu berpandukan pendirian seseorang, keluarga dan masyarakat sekelilingnya,” katanya.

Tambah Wan Mohd Nor, pendirian seseorang tidak ditentukan mengikut kriteria manusia dalam aspek kuasa, kekayaan dan keturunan, tetapi ilmu pengetahuan, kebijaksanaan serta nilai ditetapkan al-Quran.

Beliau berkata, sekiranya seseorang menunjukkan sikap rendah diri, kasih sayang, hormat-menghormati, ambil berat, kebajikan kepada ibu bapa, orang tua, kanak-kanak, jiran tetangga serta pemimpin komuniti, ia menunjukkan tahu akan kedudukannya sebenar berpandukan status hubungan bersama mereka.

“Adab terhadap Nabi Muhammad SAW adalah dengan benar-benar memahami kedudukan metafizik dan status moral Baginda yang tinggi, menyayangi Baginda melebihi diri kita sendiri, mengikuti sunnah dan memuliakan ahli keluarga Rasulullah SAW secara sepatutnya, selain sahabat dan cendekiawan Islam.

“Adab terhadap pemimpin adalah dengan berpandangan baik terhadap mereka dan keluarga, menyokong polisi baik dan menasihati secara ikhlas, tidak menyokong dalam perkara bertentangan agama, ketidakadilan serta apa yang bertentangan undang-undang.

“Adab terhadap negara adalah dengan betul-betul memahami sejarah, mempertahankan integriti serta kedaulatan dan dalam kepentingan lebih besar tidak menindas atau mengancam orang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berpandukan ruang lingkup ilmu, adab membawa maksud ketertiban budi mengiktiraf dan memperakui hierarki ilmu pengetahuan berdasarkan kriteria tahap keluhuran dan keutamaan.

“Sebagai contoh ilmu berasaskan wahyu diiktiraf dan diperakui sebagai paling sempurna dan berkedudukan paling tinggi berbanding ilmu berasaskan intelek; fardu ain lebih tinggi daripada fardu kifayah serta mereka yang memberi hidayah lebih mulia daripada yang menggunakannya secara amali.

“Adab terhadap ilmu akan membawa kepada kaedah pembelajaran betul dan pengalaman bidang berbeza. Dalam hal ini, hormat terhadap cendekiawan dan guru antara manifestasi adab terhadap ilmu.

“Matlamat akhir mencari ilmu dan pendidikan adalah untuk mencapai kebahagiaan di dunia serta akhirat,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata, hakikat hubung kait adab dalam kehidupan manusia cukup besar dan turut mencakupi adab dalam konteks terhadap alam semesta, alam semula jadi, bahasa, seni, muzik serta masa.

Beliau berkata, ringkasnya adab ialah inti pati makrifah yakni ilmu pengetahuan utama yang menghalang daripada melakukan segala kesalahan. Tidak hairan adab menjadi cerminan kepada keadilan (adl) yang jelasnya dipancarkan kebijaksanaan (hikmah).

“Maka benar dan sempurna sekali pendidikan dalam Islam adalah semaian daripada adab (ta’dib) meliputi matlamat utama, kandungan serta kaedah pendidikan.

“Prof al-Attas menerangkannya sebagai pengiktirafan dan perakuan ditetapkan secara berperingkat kepada manusia serta mengenai kedudukan betul sesuatu perkara dalam aturan ciptaan-Nya.

“Ia menunjukkan pengiktirafan dan perakuan Allah SWT dalam menyusun atur makhluk dan ciptaan-Nya. Segala-gala perkara khususnya agama, intelektual dan moral perlu diletakkan di tempat sewajarnya,” katanya.

Wan Mohd Nor berkata, jika tidak, ia akan mewujudkan ketidakadilan cukup besar, kacau-bilau dan anarki dalam diri serta masyarakat yang impaknya cukup besar buat kita, sedangkan hidup hanya sementara,” katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab untuk kita mendidik pemimpin alaf ini agar mengiktiraf dan memperakui perbezaan pandangan dalam agama dan tradisi intelek, selain tidak boleh mengehadkan kebenaran hanya berasaskan penilaian sempit segelintir cerdik pandai dalam satu-satu bidang tertentu sahaja.

“Contohnya dalam konteks hadis, tidak boleh menolak atau mengutuk pandangan banyak cendekiawan memiliki kredibiliti dalam bidang sama atau daripada bidang yang lebih luas seperti usul fiqh, kalam atau tasawuf.

“Malah, kita juga perlu mendidik pemimpin dalam semua bidang untuk benar-benar memahami cabaran serius yang ditimbulkan falsafah moden yang dominan dari Barat dan Timur.

“Sama ada untuk menerima, menceduk atau menolak, kita tidak boleh lari daripada mengamalkan konsep adab dalam semua ini,” katanya.

607 dibaca
Berita Harian X