Selasa, 16 Julai 2019 | 3:06pm
Sifat redha kunci kebahagiaan keluarga. Gambar hiasan. - Foto oleh Muhd Asyraf Sawal

Redha bukan alasan tak tunai nafkah keluarga

SIFAT reda menjadi kunci dalam membina keluarga bahagia yang perlu difahami secara menyeluruh kerana merangkumi pelbagai aspek termasuk keikhlasan kita dalam menerima kurniaan Allah SWT seadanya.

Firman Allah: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (mewah) dan perhiasannya (indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian sagu hati dan aku lepaskan kamu dengan cara sebaik-baiknya.

“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan rasul-Nya serta (nikmat kemewahan) di Akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang yang berbuat baik antara kamu pahala yang besar.” (Al-Ahzab: 28-29)

Penurunan ayat itu memberi isyarat bahawa keredaan sebenar yang dianjurkan Islam tidak hanya menjanjikan kebahagiaan dalam konteks keduniaan, sebaliknya dijanjikan kebahagiaan bersifat kekal abadi, iaitu di akhirat kelak.

Bagaimanapun, golongan suami tidak boleh menjadikan alasan isteri perlu reda untuk tidak menunaikan nafkah kepada keluarga.

Abu Hurairah RA berkata Nabi Muhammad SAW bersabda: Pada setiap pagi ada dua malaikat turun ke bumi; malaikat pertama berkata: “Wahai Allah, bagi sesiapa yang menafkahkan hartanya, gantikanlah apa yang dibelanjakannya itu.” Malaikat kedua pula berkata: “Wahai Allah, bagi sesiapa yang enggan menafkahkan hartanya, hancurkanlah hartanya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Malah Abu Hurairah turut meriwayatkan hadis yang menjelaskan Rasulullah SAW menyebut keutamaan dan pahala besar pada apa yang diberikan kepada keluarga berbanding apa yang dikeluarkan untuk perjuangan pada jalan Allah SWT dan sedekah kepada orang miskin.

Malah, reda juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menyerahkan semua tugas di rumah kepada isteri kerana dalam kehidupan berkeluarga, Rasulullah SAW sebagai insan sempurna tetap melaksanakan tanggungjawab dan melakukan kerja rumah.

Justeru, sifat reda yang diletakkan pada tempat yang sepatutnya dapat membawa keluarga kepada kebahagiaan hakiki yang diredai Allah SWT.

231 dibaca
Berita Harian X