Isnin, 1 Julai 2019 | 2:37pm
Pengarah ISDEV USM, Dr Shahir Akram Hassan menyampaikan cenderamata kepada Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail pada Wacana Tadbir Urus Wakaf Pendidikan Tinggi di USM, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Hidupkan semula wakaf pendidikan, contohi Universiti al-Azhar

SEBAHAGIAN besar institusi pendidikan di Asia Barat sejak dulu menggunakan harta yang diwakafkan untuk pengurusan, perbelanjaan dan pembinaan universiti.

Justeru, tidak hairanlah yuran yang dibayar pelajarnya agak murah dan tidak membebankan, selain memberi manfaat berterusan kepada pewakaf yang mewakafkan harta mereka.

Terdorong dengan fakta itu, Universiti Sains Malaysia (USM) mahu mengembalikan semangat wakaf ke arah pendidikan dalam mengatasi isu berkaitan pelajar antaranya masalah kewangan.

Meskipun USM menerima dana daripada kerajaan, jumlah itu terhad, justeru amalan wakaf dijangka mampu menjadi sumber yang boleh membantu urusan pendidikan dan perkara berkaitan hal-ehwal pelajar.

Pengasas Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM, Prof Dr Muhammad Syukri Salleh. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Pengasas Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) USM, Prof Dr Muhammad Syukri Salleh, berkata wakaf pendidikan bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama diamalkan generasi dahulu yang mewakafkan harta mereka kepada institusi pondok dan sekolah agama.

Bagaimanapun, Muhammad Syukri berkata, amalan itu mula berkurangan pada masa kini bahkan ada yang tidak mengetahui mengenai wakaf pendidikan.

Beliau berkata, dalam kalangan masyarakat, apa yang lebih diketahui adalah wakaf kubur dan masjid semata-mata sedangkan konsep wakaf itu luas selagi boleh memberi manfaat kepada pewakaf.

“Antara sebab amalan ini berkurangan adalah kerana matinya dakwah dan untuk itu kami dalam usaha menyegarkan pengetahuan berkenaan supaya masyarakat memahami dan mengenali semula apa itu wakaf.

“Dakwah ini bukan dengan cara meminta wang sebaliknya mendedahkan kepada mereka untuk mengenali wakaf yang dijanjikan Allah SWT dengan pelbagai manfaat dan pahala yang sentiasa mengalir buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui pada Wacana Tadbir Urus Wakaf Pendidikan Tinggi, di sini.

Wacana yang berlangsung hampir lima jam itu membincangkan pembinaan, pelaksanaan dan kelestarian wakaf dalam pendidikan tinggi.

Jelasnya, USM kini melalui Pejabat Zakat, Wakaf dan Infak (ZAWAIN) membangunkan mesin ATM beras bagi menggalakkan kakitangan mahupun masyarakat sekitar berwakaf dalam membantu mereka yang memerlukan, selain berusaha menaik taraf kemudahan dewan kuliah melalui wakaf.

“Kita mahu mencontohi universiti di luar negara seperti al-Azhar di Mesir dan banyak lagi universiti di Asia Barat yang sudah lama mengamalkan wakaf untuk pendidikan di sana.

“Jadi, kita tidak hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan mahupun zakat semata-mata untuk membangunkan institusi pendidikan sebaliknya melalui wakaf ia dapat membantu sesiapa sahaja yang memerlukan tidak kira dari segi penyelidikan, membiayai pelajar miskin dan sebagainya,” katanya.

Dalam ajaran Islam, Allah SWT menjanjikan pelbagai manfaat apabila seseorang itu berwakaf kerana ia menjadi amalan yang sangat dituntut dalam ajaran Islam.

Amalan wakaf ialah ibadat berbentuk sedekah jariah yang pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah SWT selagi harta diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.

Firman Allah SWT: “Bandingan pahala orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah SWT seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula terdapat seratus biji.” (Al-Baqarah: 261).

Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah SWT, sekali gus tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah, diwarisi dan dipusakai.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Amir Shaharuddin. - Foto Eizairi Shamsudin

Sementara itu, Pengarah ISDEV USM, Dr Shahir Akram Hassan, berkata berdasarkan dalil dan hadis mengenai wakaf, jelas tidak rugi bagi seseorang mewakafkan hartanya ke jalan Allah SWT.

“Jika orang Islam diberikan pilihan sama ada mahu bersedekah atau wakaf, lebih baik memilih wakaf kerana wakaf ini berpanjangan selagi hayat harta yang diwakafkan itu ada dan memberi manfaat, selagi itulah pewakaf mendapat imbalan pahala secara berterusan.

“Oleh itu, pihak universiti melihat wakaf pendidikan adalah pelaburan terbaik dalam membantu pewakaf menguruskan harta yang diwakafkan kerana manfaatnya akan sentiasa mengalir,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya wakaf pendidikan juga ia dapat menampung pihak universiti sekiranya kehabisan dana.

Berita Harian X