Ahad, 19 Mei 2019 | 10:00am

Takaful, sedekah kelas pertama

Ramadan ialah ‘medan tempur’ melatih individu agar tekun melaksanakan ibadat seperti berpuasa, zakat, tadarus al-Quran, solat tarawih, sedekah dan memberi makan orang berpuasa.

Segala amalan baik juga melahirkan insan bertakwa kepada Allah SWT, iaitu orang yang benar-benar beribadah dan menahan nafsu dengan rasa takut. Antara amalan yang digalakkan untuk diperbanyakkan kerana dijanjikan ganjaran berlipat ganda ialah bersedekah.

Bersedekah lambang kesyukuran atas rezeki dikurniakan dan mengukuhkan hubungan sesama manusia. Hakikatnya, harta dimiliki bukan dimiliki seseorang kerana harta sebenar adalah apa yang memberikan nilai dan ganjaran pahala berganda.

Nabi SAW bersabda: Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga, iaitu sedekah jariah, ilmu dimanfaatkan dan anak soleh mendoakan ibu bapanya.

Berdasarkan hadis itu, antara amalan berkekalan dan menjadi harta setelah mati adalah menerusi sikap suka bersedekah yang boleh dilakukan menerusi penyertaan takaful.

Memang benar untuk mengumpul harta bukan mudah, tetapi hati perlu dipujuk untuk berkongsi dan berkorban dengan orang lain demi keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Sebenarnya harta yang diderma dan disedekah, ialah bahagian kita yang akan kekal hingga akhirat. Mana-mana wang dalam simpanan bank atau di tangan, belum tentu menjadi milik kita sepenuhnya.

Bantu orang lain

Ramai tidak menyedari pelan takaful antara pelan sedekah yang dikategorikan sebagai Sedekah Kelas Pertama. Sekiranya peserta menyertai perlindungan takaful, mereka bukan sahaja menabung untuk tabungan perlindungan diri, keluarga dan harta, bahkan untuk tabungan sedekah yang akan digunakan bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.

Sumbangan peserta adalah atas dasar konsep tabaru’, iaitu pemberian tanpa mengharapkan balasan. Konsep ini memberikan kelebihan kepada takaful kerana peserta mengerjakan amalan kebaikan dengan menderma kepada mereka memerlukan.

Kontrak takaful berasaskan kepada tabaru’ (derma) dan taawun (tolong-menolong) yang semua peserta memilih atau menyertai pelan takaful bersetuju untuk tolong-menolong serta jamin-menjamin antara mereka sekiranya ditimpa musibah atau kemalangan.

Tabaru’ ialah derma ikhlas diberikan satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan pihak lain. Semua peserta menyumbang dengan ikhlas untuk saling membantu jika ditimpa musibah.

Dengan konsep tabaru’ dan ta’awun, akan terhapus sikap keakuan, iaitu ‘saya membeli polisi ini untuk diri saya dan bukan untuk orang lain,’ tetapi konsep tabaru’ dan ta’awun. Ini menyemarakkan rasa kasih sayang sesama saudara ketika mereka mengalami kesusahan atau penderitaan.

Menerusi akad tabaru’, sumbangan peserta akan dimasukkan dalam satu Dana Khas yang berfungsi untuk menyumbangkan bantuan sumbangan kepada mana-mana peserta ditimpa musibah. Sumbangan tabaru’ yang disumbangkan tidak boleh ditarik balik peserta kerana sudah didermakan.

Keunikan Dana Tabarru’ adalah berfungsi membantu mana-mana peserta ditimpa musibah seperti dipersetujui.

Dalam aplikasi Takaful, sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara dilindungi, sumbangan tabaru’ berperanan sebagai sumbangan amal jariah sangat istimewa. Tiada istilah ’wang hangus’ diutarakan kerana ia wang derma yang bakal diganjari jika disertakan niat Ikhlas.

Malah saham sedekah juga boleh diperoleh kepada wakil atau ejen Takaful yang terus-menerus mempromosikan konsep tabaru’ ini dan mereka juga bakal mendapat ganjaran seperti sabda Rasulullah SAW: Sesiapa menunjukkan sesuatu kebaikan, baginya ganjaran seperti ganjaran orang mengerjakannya. (HR Muslim)

Dalam pelaksanaan takaful, peserta memberikan sedekah secara sembunyi, ibarat tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Selagi peserta menyumbang ke dalam tabung, selama itulah pahala sedekah berlipat kali ganda terutamanya dalam Ramadan akan mengalir.

Sedekah juga dapat mendekatkan diri kepada keikhlasan dan menjauhkan sifat riak kerana pemberi tidak mengenali siapakah yang akan menerima sedekah.

Oleh itu, perbuatan sedekah dalam takaful bukan sahaja menambahkan bekalan akhirat, bahkan instrumen ‘sedekah kelas pertama’ bersifat fleksibel dan memenuhi keperluan masyarakat. Mukmin terbaik banyak memberi, berbanding menerima.

Semoga kesedaran takaful sebagai Sedekah Kelas pertama akan menambahkan lagi penyertaannya daripada masyarakat, lebih-lebih lagi pada Ramadan seperti hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA: Rasulullah SAW paling dermawan, malah lebih-lebih lagi dalam Ramadan, saat Baginda bertemu Jibril. Jibrail menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin berhembus.

Penulis dari Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Berhad

598 dibaca
Berita Harian X