Sabtu, 18 Mei 2019 | 12:51pm
SELAWAT dan salam ke atas Rasulullah SAW dituntut Islam. - Foto Hiasan

Selawat bukti 'balas jasa' Nabi laksana amanah sampaikan Islam

TIADA orang normal cara berfikir akan mempertikaikan kepentingan memberi penghormatan dan mendoakan keselamatan serta kesejahteraan, sekali gus menambahkan kemuliaan kepada seseorang yang berjasa amat besar. Lebih-lebih lagi apabila jasa itu merata ke seluruh alam seperti Rasulullah SAW.

Justeru, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW ialah akhlak mulia dituntut Islam. Ia bukan hanya hormat dan doa kepada Baginda, malah faedah besar kepada Muslim sendiri. Ini kerana selawat dan salam akan beroleh pahala berlipat ganda daripada Allah SWT, selain berpeluang mendapat kedekatan dengan Baginda khususnya di akhirat.

Baginda bersabda lagi: Orang paling dekat kepadaku di akhirat ialah orang paling banyak berselawat untukku. (HR Tirmizi)

Kedudukan hampir dengan Rasulullah SAW di akhirat ialah dambaan setiap Muslim yang benar-benar faham mengenai nilai kehidupan daripada perspektif ajaran Islam. Kebalikan keadaan itu ialah sikap orang Islam yang enggan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW apabila nama Baginda disebut.

Sabda Rasulullah SAW: Orang yang benar-benar bakhil ialah orang disebut namaku di hadapannya, dia tidak mengucap selawat kepadaku. (HR Ahmad dan Tirmizi)

Baginda bersabda lagi: Semoga terkena debu hidung orang yang pada saat namaku disebut dekat dengannya, dia tidak berselawat untukku. (HR Tirmizi)

Muslim yang tidak peka dan cakna berselawat apabila nama Rasulullah SAW disebut - seperti dicatatkan Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya, Akhlaq al-Muslim: ‘Alaqatuhu bi al-Khaliq - sedang terperangkap dalam keadaan mental keruh, jiwa kusut dan niat tidak murni kerana bergelumang dalam maksiat terhadap Allah SWT.

Beliau juga menjelaskan ungkapan ‘semoga terkena debu hidung’ yang merujuk kepada ungkapan majazi atau kiasan yang bermakna ‘kedudukan amat hina dan rugi.’ Justeru, golongan itu sewajarnya faham mereka sedang berada dalam kerugian dan kehilangan manfaat besar.

Perihal selawat dan salam mesti difahami baik serta dihayati secara berterusan kerana ia amat mudah dan tidak membeban atau mengambil masa lama tetapi akan beroleh ganjaran cukup lumayan dan kedudukan cukup tinggi.

Daripada segi etimologi, perkataan al-salah - yang menghasilkan istilah selawat - memberi makna doa, mohon keampunan (istighfar) dan rahmah. Namun daripada penggunaan istilah, ia tertakluk kepada pihak atau siapa yang mengungkapkan selawat.

Justeru, seperti dicatat Muhammad ‘Ali al-Sabuni dalam tulisannya, Rawai’ al-Bayan: Tafsir Ayat al-Ahkam min al-Quran dan al-Ghazali Khalil ‘Aid dalam Tafsir Surah al-Ahzab, apabila selawat diungkapkan Allah SWT kepada Nabi SAW, ia merujuk kepada rahmah dan keredaan. Tidak mungkin ia merujuk kepada doa atau istighfar kerana kepada Allah SWT yang sebenarnya sesuatu doa dan permohonan keampunan itu dituju.

Apabila selawat diungkapkan malaikat, ia bermakna permohonan ampun (istighfar) dan doa, manakala ungkapan orang beriman pula merujuk kepada penghormatan serta doa agar Allah SWT menambahkan kemuliaan dan kehormatan kepada Baginda lagi.

Bagaimanapun, perlu dicatatkan ia tidak sekali-kali bermakna Rasulullah SAW memerlukan doa dan istighfar umat Baginda untuk memperoleh keselamatan dan mendapat tempat paling tinggi di sisi Allah SWT.

Segalanya sudah diperoleh Nabi SAW daripada Allah SWT sekalipun tanpa doa dan istighfar umat Islam. Namun apa lebih utama dalam gesaan ajaran Islam, ia melambangkan bukti penghormatan serta ekspresi jujur sikap penganut setia ajaran dibawa Baginda.

Dalam konteks ajaran Islam yang menggesa dan mewajibkan selawat serta salam ke atas Rasulullah SAW, sesungguhnya terpacak kukuh lambang keutamaan dan kemuliaan Baginda berbanding semua makhluk ciptaan Allah sama ada manusia, malaikat atau jin.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi; wahai orang beriman, berselawatlah kepadanya serta ucapkanlah salam sejatera dengan penghormatan sepenuhnya!” (Al-Ahzab, 56)

Betapa mulia kedudukan Rasulullah SAW di sisi Allah SWT terlambang pada peri hakikat Tuhan sendiri bersama malaikat-Nya mengucapkannya. Allah SWT sendiri memperaku kurniaan rahmat serta redha kepada Baginda, sambil malaikat memohon ampun dan doa buat Baginda.

Makhluk manusia beriman kepada ajaran Islam kemudiannya digesa supaya berdoa untuk menambahkan lagi kemuliaan dan kehormatan Baginda walaupun sudah sedia beroleh apa yang dikurniakan menerusi rahmat dan redha yang terungkap menerusi selawat Allah SWT sendiri.

Demikian hebat Rasulullah SAW di sisi Allah SWT. Dalam keadaan ini, siapa sangatlah manusia Muslim - khususnya umat yang hidup dalam tempoh masa kini - yang berasa angkuh, lalu enggan mengungkap selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW.

Muslim yang hanyut tanpa arah perlu segera menilai diri: kalaulah Allah SWT sendiri dan malaikat boleh mengungkapkan selawat dan salam, mengapa mereka terus sombong dan bongkak hingga tidak berbuat demikian.

Hakikatnya, tiada nabi lain diutus Allah SWT menerima penghargaan dan cinta kasih melebihi apa diberikan kepada Nabi Muhammad SAW. Nama Baginda banyak kali disebut seiringan dengan penyebutan nama Allah SWT sendiri, iaitu dalam syahadah, azan dan tasyahud solat.

Pelbagai perintah taat kepada Allah SWT dalam al-Quran dikemukakan secara beriringan dengan perintah taat kepada Nabi SAW. Selawat juga antara rukun dalam khutbah Jumaat dan dalam ibadat lainnya. Selawat wajib dibaca setiap kali memula dan mengakhiri doa.

Semua itu menggambarkan ketinggian kedudukan Nabi SAW, di samping melambangkan Baginda makhluk istimewa yang begitu setia menjalankan tugas sebagai pesuruh Allah SWT, lantas amat wajar sekali Baginda amat dicintai-Nya. Tiada makhluk lain dapat menyamai Baginda dalam aspek kerapatan hubungan dengan Allah SWT.

Justeru, makhluk yang sebegini hebat di sisi Allah SWT mesti dihormati, disanjung, dikasihi dan diberikan apresiasi sewajarnya oleh Muslimin serta Muslimat yang mengaku menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Kalau tidak, betapa jahil dan bebal kalangan manusia bergelar Muslim itu.

Penghormatan itu tertumpu kepada pengungkapan selawat dan salam yang perlu diluahkan penuh jujur sebagai bukti kesetiaan serta balas jasa Baginda di atas keteguhan dan kejayaan cemerlang melaksanakan amanah dalam menyampaikan ajaran Islam secara sempurna.

INFO

Selawat

- Terbahagi kepada dua, iaitu selawat ma’thur yang berdasarkan hadis dan ghaira ma’thur yang biasanya disusun oleh sahabat Nabi SAW, tabiin, ulama dan aulia.

- Antara selawat yang boleh diamalkan:-

1. Selawat Ibrahimiyah: Selawat yang dibaca dalam tahiyat akhir setiap solat khususnya solat fardu, sekali gus menjadi selawat yang paling afdal.

2. Selawat Tafrijiah/Nariyah: Selawat yang biasa dibaca sekiranya seseorang mempunyai hajat sama ada besar atau kecil. Setiap permintaan dalam selawat itu mempunyai asas daripada sunnah dan sirah Nabi SAW.

3. Selawat Munjiyat: Antara selawat yang biasa diamalkan khususnya di alam Melayu kerana dibaca dalam doa majlis tahlil dan bacaan surah Yasin.

4. Selawat Syifa: Sering dibaca untuk memohon kesihatan dan kesembuhan daripada penyakit kepada Allah SWT.

5. Selawat Imam Shafie: Antara selawat yang popular kerana dibacakan dalam majlis tahlil. Menariknya, teks selawat ini mengungkapkan semoga Allah SWT menganugerahkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW sebanyak bilangan segala yang Dia ketahui dan tinta yang mencatat kalimah-Nya selama masih ada orang yang mengingati atau terlupa kepada Tuhan.

Penulis adalah Penyandang Kursi Sheikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia

126 dibaca
Berita Harian X