Ahad, 12 Mei 2019 | 6:03pm
Ulama terdahulu menjadikan selawat sebagai antara ucapan antara solat tarawih yang dimulakan oleh bilal dan disambut makmum. - NSTP/Adzlan Sidek

Harus selawat antara tarawih, ungkap rasa cinta Nabi

Selawat antara solat tarawih, mengungkapkan perasaan cinta kepada Rasulullah SAW yang menjadi asbab kepada iman kita, sekali gus dapat beribadat sepanjang Ramadan demi mencari reda Allah SWT.

Suruhan berselawat termaktub dalam al-Quran yang bersifat umum, tanpa dihadkan kepada waktu atau tempat tertentu.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Al-Ahzab: 56)

Oleh itu, ulama terdahulu menjadikan selawat sebagai antara ucapan antara solat tarawih yang dimulakan oleh bilal dan disambut makmum.

Tiada larangan mutlak

Ustaz Muhadir Joll dalam bukunya, Khilafiah: Persoalan & Penjelasan, menjelaskan memang tiada nas al-Quran atau hadis yang menyuruh berselawat dan berdoa secara kuat antara dua rakaat tarawih.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan tiada nas naqli juga yang menegah daripada umat Islam untuk berbuat demikian.

Muhadir turut memetik pandangan bekas Ketua Lajnah Fatwa Universiti al-Azhar, Allahyarham Sheikh Athiyah Saqar dalam kitabnya, Ahsan al-Kalam: “Tidak terdapat nas yang menegah daripada berzikir, berdoa atau membaca al-Quran antara setiap dua rakaat solat tarawih. Dan ia termasuk di bawah perintah yang umum.”

Sheikh Athiyah menjadikan amalan penduduk Makkah suatu ketika dulu yang bertawaf tujuh kali mengelilingi Kaabah antara dua rakaat tarawih sebagai qias kepada zikir yang memisahkan solat tarawih terbabit.

Sebagai ganti tidak dapat bertawaf seperti penduduk Makkah, orang Madinah menambahkan bilangan rakaat tarawih hingga melebihi 20 rakaat.

Oleh itu, Sheikh Athiyah menegaskan ketiadaan larangan mutlak itu, menjadikannya tidak termasuk dalam ruang bidaah tercela.

Bagaimanapun, dalam berselawat antara dua rakaat tarawih itu, kita perlu menyebut selawat itu dengan betul dan bukannya secara sambil lewa hingga salah sebut.

Malah, selawat yang dilafazkan juga perlu terbit daripada hati yang menyintai Rasulullah SAW, sekali gus diungkapkan dengan semangat yang padu.

340 dibaca
Berita Harian X