Khamis, 9 Mei 2019 | 12:09pm
Membaca al-Quran antara amalan yang dituntut termasuk dalam mengisi Ramadan. Gambar hiasan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Teladani ulama, aulia kerap khatam al-Quran

MEMBACA al-Quran antara amalan yang dituntut termasuk dalam mengisi Ramadan hingga tidak hairanlah ulama dan aulia bukan sahaja melaziminya, bahkan banyak kali mengkhatamkan bacaan kitab suci itu.

Imam Nawawi dalam kitabnya, at-Tibyaan fi Adabi Hamalati al-Quran, menjelaskan generasi terdahulu mengkhatamkan al-Quran daripada lapan kali sehari semalam hingga dua bulan sekali.

Antara sahabat, tabiin (pengikut sahabat) dan pengikut mereka yang mengkhatamkan al-Quran setiap hari ialah Saidina Uthman Affan RA, Tamim ad-Dari RA, Said ibnu Jubair RA, Mujahid RA serta Imam Shafie RA.

Dalam hubungan mengkhatamkan al-Quran dalam Ramadan, Imam Nawawi berkata, Mansur Zaadan daripada kalangan tabiin dan ahli ibadat, berbuat demikian antara waktu Zuhur dengan Asar.

Mansur sekali lagi mengkhatamkan al-Quran pada waktu malam bulan puasa itu antara Maghrib dengan Isyak, iaitu sehingga berlalu satu perempat malam.

Begitu juga Ali al-Azadi yang menghabiskan bacaan al-Quran antara Maghrib dengan Isyak setiap malam Ramadan.

Begitu juga Imam Shafie seperti yang diungkapkan dalam Siyar A’lam al-Nubala karya Imam al-Zahabi, menyelesaikan bacaan al-Quran sebanyak 60 kali sepanjang Ramadan.

Keupayaan individu

Bagaimanapun, Imam Nawawi mengingatkan keupayaan mengkhatamkan al-Quran berbeza mengikut individu.

Sekiranya seseorang itu ingin merenung dan mempelajari al-Quran dengan teliti, kadar bacaan perlu dihadkan supaya memperoleh kefahaman yang baik ketika membacanya.

Apatah lagi andainya pembaca al-Quran juga dalam kalangan golongan yang mempunyai tanggungjawab seperti pendidikan, keagamaan dan kepentingan masyarakat, perlu membuat pertimbangan serta penyesuaian supaya tidak mengabaikan tugas mereka.

Keupayaan mengkhatamkan al-Quran juga sebenarnya berkait dengan barakah yang diberikan Allah SWT dalam kehidupan ulama dan auliya serta karamah yang dianugerahkan kepada mereka.

Oleh itu, Imam Nawawi mengingatkan sekiranya kita belum mencapai tahap yang dimiliki ulama dan auliya yang banyak mengkhatamkan al-Quran, kita perlu membacanya tanpa tergesa-gesa atau menyebabkan cepat terasa jemu.

Tidak hairanlah, sebahagian ulama terdahulu tidak suka dan tidak menggalakkan daripada mengkhatamkan al-Quran dalam masa sehari semalam.

Ini kerana mereka berpandukan hadis yang diriwayatkan Abdullah ibnu Amru ibnu Al-As yang berkata Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah orang membaca (mengkhatamkan) al-Quran dalam waktu kurang daripada tiga hari. (HR Abu Daud, Tirmizi dan Nasa’i)

Justeru, Imam Ghazali RA dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin, menjelaskan golongan ahli ibadat yang menjalani latihan kerohanian dalam bentuk amalan, tidak harus mengurangkan khatam al-Quran dua kali dalam seminggu.

Bagi salik yang menjalani latihan kerohanian dalam konteks urusan hati dan pemikiran serta sibuk dalam penyebaran ilmu, boleh mengkhatamkan al-Quran sekali seminggu.

Khatam sekali sebulan

Bagaimanapun, individu yang terbabit dalam penafsiran al-Quran yang memerlukan kajian dan renungan ilmiah, cukup dengan mengkhatamkan al-Quran sekali sebulan.

Secara umumnya, orang awam yang mahu mengkhatamkan al-Quran boleh menjadikan hadis yang diriwayatkan Abdullah ibnu Umar RA yang membawa perbualan beliau dengan Rasulullah SAW sebagai panduan.

Ibnu Umar berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, dalam tempoh berapa lama, saya boleh mengkhatamkan al-Quran?” Baginda menjawab: “Khatamkan sekali sebulan.” Aku berkata: “Saya masih mampu lebih daripada itu.”

Lalu soal jawab itu berlangsung hingga Rasulullah SAW mengurangkannya kepada 25 hari; 15 hari, 10 hari dan akhirnya lima hari. Apabila Ibnu Umar mengatakan masih mampu, Rasulullah SAW tidak memberikan keringanan lagi. (HR Baihaqi)

Sempena Ramadan, sebaik-baiknya kita dapat mengkhatamkan al-Quran sekali dan menjadikannya sebagai pembakar semangat untuk menyelesaikan bacaan kitab suci itu dengan lebih kerap lagi.

* Penulis ialah Pengarang Sastera & Agama

253 dibaca
Berita Harian X