Rabu, 8 Mei 2019 | 6:26am
Hotel Seri Warisan (JAWHAR-MAIPk) bertaraf tiga bintang dibina atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Berwakaf patut dijadikan budaya hidup

Usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merangka akta wakaf untuk mengawal selia aktiviti wakaf sangat ditunggu-tunggu semua pihak sama ada ahli akademik, pengurusan dan pelaksana wakaf dan masyarakat awam.

Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata akta itu hanya terpakai pada peringkat persekutuan, ia langkah awal dalam menyelaraskan pengurusan dan pembangunan wakaf seluruh negara dengan lebih holistik.

Ia juga mampu menjadi model dan rujukan bagi negeri dalam membangunkan kembali instrumen pertumbuhan serta pembangunan ekonomi umat Islam menerusi wakaf.

Perkembangan aktiviti wakaf yang pesat di seluruh negara perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan. Kewujudan akta itu menjadi instrumen terbaik dalam mengawal dan memantau aktiviti wakaf yang tidak menepati konsep sebenar dan ‘memerangi’ penyelewengan kutipan serta pengurusan dana wakaf oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Di samping aspek penggubalan akta membabitkan undang-undang wakaf, aspek pembangunan hartanah wakaf didukung kerajaan perlu diambil perhatian.

Wakaf irsod atau wakaf bersumberkan dana daripada kerajaan antara cara terbaik menggalakkan wakaf berkembang pesat dan mendidik masyarakat terhadap kepentingan berwakaf.

Sebagai contoh, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) pernah dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras bagi pelaksanaan pembangunan harta wakaf di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dengan peruntukan RM256.5 juta. Peruntukan itu bagi melaksanakan 19 projek fizikal bernilai RM244 juta dan empat projek bukan fizikal (RM12.5 juta).

Pembangunan hartanah wakaf

Peruntukan itu termasuk pembinaan lima hotel wakaf di Melaka, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan. Di bawah peruntukan itu, empat hotel wakaf berjaya dibangunkan, sekali gus menjadi ikon kejayaan pelaksanaan wakaf.

Masyarakat umum menginginkan kewujudan hasil dan manfaat wakaf yang dapat dilihat dan dirasai masyarakat, bukannya angka jutaan ringgit dana wakaf yang berjaya dikumpulkan tanpa kewujudan infrastruktur wakaf yang boleh dimanfaatkan benefisiari wakaf, iaitu orang ramai.

Hasrat itu boleh dicapai menerusi pembangunan hartanah wakaf menerusi wakaf infrastruktur, iaitu konsep pembangunan harta wakaf memfokuskan pembinaan prasarana bagi memenuhi keperluan dan pembangunan masyarakat.

Sumber pembangunan wakaf infrastruktur boleh diperoleh sama ada secara konvensional, iaitu harta tak alih (al-‘aqar) seperti tanah dan bangunan atau wakaf tunai yang ditukarkan menjadi harta tak alih yang bermanfaat dan wujud secara nyata.

Asas wakaf infrastruktur berdasarkan jawapan Rasulullah SAW kepada Umar al-Khattab RA apabila Baginda ditanya terhadap apa perlu dilakukan kepada tanah miliknya di Khaibar. Baginda SAW bersabda: “Tahanlah pokoknya dan bersedekahlah dengannya (iaitu manfaatnya).”

Ulama menyatakannya sebagai konsep asas pelaksanaan ibadat wakaf, iaitu tahbis al-asl bermaksud menahan pokok atau asas harta daripada rosak atau musnah dan tasbil al-thamarah (menyalurkan buah atau manfaat harta kepada penerima wakaf).

Ia berdasarkan analisis hadis wakaf infrastruktur secara tematik. Penelitian secara harfiah dan kontekstual (siyaqiyyah) kepada hadis wakaf infrastruktur dalam kitab berautoriti sangat penting dan menjadi teks praktikal wakaf berdasarkan tekstual hadith (matan) yang berautoriti walaupun bersifat ijtihadi dalam konteks fiqh.

Konteks ijtihadi wakaf menurut fiqh masih perlu merujuk kepada kerangka praktikal wakaf infrastruktur yang terbukti secara tekstual dilaksanakan Rasulullah SAW dan sahabat RA.

Dalam pelaksanaan wakaf infrastruktur, ia perlu menepati konsep asas yang dinyatakan. Bagi memastikannya dapat dilaksanakan, wakaf infrastruktur perlu dirancang teliti dan mengambil kira aspek berkaitan, iaitu tahbis al-asl atau pemilihan kaedah dan jenis pembangunan.

Kaedah pembangunan harta wakaf mesti mengambil kira kriteria pematuhan syarak sepenuhnya (akad dan proses) dalam pelaksanaan projek, manakala jenis pembangunan terbaik ialah pembinaan infrastruktur berdasarkan keutamaan semasa serta setempat dengan kegunaan manfaat menyeluruh.

Seterusnya, mekanisma pengawalan harta daripada rosak atau musnah, iaitu setiap projek pembangunan dijalankan perlu mengambil kira aspek pengawalan daripada kerosakan dan tempoh ketahanan agar manfaat diperoleh untuk masa panjang.

Segala risiko kerosakan dan kemusnahan dalam pembangunan harta wakaf perlu dinilai serta diambil kira semasa proses pelaksanaan pembangunannya.

Kedua, tasbil al-thamarah (penyaluran manfaat harta), iaitu sasaran penerima manfaat. Penentuan sasaran perlu dilakukan sebelum sesuatu projek pembangunan harta wakaf dijalankan kerana sasaran tepat akan memaksimumkan kegunaan, mengelakkan pembaziran sumber dan meluaskan penyebaran manfaat kepada segenap masyarakat.

Seterusnya, jenis manfaat ditentukan berdasarkan sasaran penerima manfaat. Ia akan mempe-ngaruhi jenis pembangunan dipilih dalam membangunkan harta wakaf. Bagi pembangunan wakaf infrastruktur, terdapat empat bidang pembangunan perlu diutamakan.

Ia merangkumi bidang pertama, iaitu keagamaan seperti masjid, tanah perkuburan, pusat zakat dan baitulmal, manakala bidang kedua ialah pendidikan contohnya sekolah, institusi pengajian tinggi serta perpustakaan.

Bidang ketiga ialah kesihatan seperti klinik dan hospital, pusat dialisis serta makmal sains perubatan, manakala bidang keempat membabitkan kemudahan sosial contohnya taman rekreasi dan permainan, pusat sukan, pusat sehenti awam serta kebudayaan.

Wakaf dana awam

Pembangunan skala besar juga boleh dilaksanakan seperti pembinaan lebuh raya atau universiti wakaf tetapi memerlukan perancangan rapi, pengumpulan dana efektif dan telus serta mekanisma pelaksanaan berkesan.

Kerajaan ialah pihak terpenting menentukan pelaksanaan wakaf daripada sudut polisi, akta dan undang-undang serta memantau proses dan pelaksanaannya menerusi agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan.

Kerajaan wajar mengisytiharkan wakaf sebagai sektor ketiga dalam negara bersama-sama sektor kerajaan dan swasta yang berperanan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Wakaf sebagai sektor bersumberkan dana awam mampu membantu kerajaan dalam menyediakan infrastruktur penting dalam negara atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab bersama.

Wakaf mampu memainkan peranan sebagai mekanisma menyediakan kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan wakaf infrastruktur. Ia boleh dilakukan menerusi inisiatif mengurangkan beban rakyat menerusi pengambilalihan kemudahan seperti lebuh raya, universiti dam hospital menggunakan mekanisma wakaf infrastruktur.

Masyarakat umum terutama umat Islam ialah tunjang utama kejayaan pelaksanaan wakaf. Justeru, masyarakat perlu memainkan peranan dalam memartabatkan kembali wakaf sebagai instrumen kewangan Islam paling bermanfaat.

Umat Islam perlu konsisten dalam berwakaf dan menyokong produk wakaf serta menjadikannya sebagai budaya hidup. Pembudayaan wakaf juga saranan Rasulullah SAW dan mendapat jaminan Allah SWT dari sudut kelangsungan kebaikan dan paha-la sepanjang hayat di dunia dan ganjaran di akhirat.

Masyarakat juga perlu menambahkan ilmu pengetahuan sama ada pembacaan, pengajian formal dan tidak formal dan pengalaman agar pelaksanaannya difahami jelas, sekali gus mengelak daripada terbabit dengan penipuan dan penyelewengan atas nama wakaf.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM)

177 dibaca
Berita Harian X