Jumaat, 26 April 2019 | 6:39am
- Gambar hiasan

Syaaban bulan pererat persaudaraan

Syaaban ialah bulan dipenuhi beberapa kelebihan seperti dinyatakan dalam beberapa hasih sahih. Amalan kita diangkat dan dipersembahkan kepada Allah SWT dalam bulan ini.

Usamah ibnu Zaid RA bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa dalam Syaaban.” Baginda menjawab: “Syaaban itulah satu bulan yang sering diambil lewa kebanyakan manusia yang diapit Rejab dan Ramadan. Dia juga bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka jika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.” (HR Ahmad dan Nasa’i)

Saidatina Aisyah menceritakan Rasulullah SAW melengkapkan puasa penuh sebulan di dalam Ramadan dan sangat banyak sekali berpuasa dalam Syaaban. (HR Bukhari dan Muslim)

Terlebih istimewa dengan adanya satu malam yang dikhaskan Allah SWT dengan tawaran pengampunan daripada Allah SWT. Malam itu dikenali sebagai malam separuh bulan Syaaban atau disebut malam Nisfu Syaaban.

Daripada Mu’az Jabal RA daripada Nabi SAW bersabda: Allah menjenguk hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan mengampuni semua makhluknya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang masih bersengketa dan bertelagah. (HR Ibnu Hibban dan Tabarani)

Seorang sahabat Nabi SAW bernama ‘Ulbah Zaid Harithah RA, tatkala tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan kerana terlalu miskin ketika Nabi SAW menggalakkan sahabat menginfaqkan harta semampu yang ada, beliau mengatakan: Aku hanya mampu bersedekah dengan maruahku yang bermaksud beliau memaafkan semua kesalahan orang lain terhadapnya dan menggugurkan haknya terhadap orang itu. Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah kamu diterima.” (Kitab al-Isobah)

Tawaran pengampunan Allah

Maka apabila ditanya, apakah amalan terbaik pada malam itu? Jawapannya ialah saling maaf-memaafkan, merapatkan saf sesama Islam dan mencari titik perpaduan.

Umat Islam di negara ini wajib merebut tawaran pengampunan Allah SWT itu dengan mengukuhkan perpaduan sesama Islam dan mengusahakan perdamaian serta penyatuan sesama muslimin.

Inilah sunnah Rasulullah SAW. Baginda bersegera menyelesaikan masalah umat Islam hingga perpaduan dapat dikekalkan. Sahl ibnu Said RA menceritakan penduduk Quba’ berselisih faham hingga saling melemparkan batu sesama mereka. Lantas secara pantas Nabi SAW bersabda: “Pergilah kamu bersama-sama kami untuk mendamaikan mereka.” (HR Bukhari)

Pada masa sama, tidak salah menjalin hubungan dengan orang bukan Islam. Penilaian yang sepatutnya jelas di dalam minda umat Islam adalah jika orang Islam boleh menjalin hubungan dengan orang yang menolak Allah SWT sebagai Tuhan dan tidak mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai rasul akhir zaman, apakah alasan untuk tidak boleh berbaik-baik dengan rakan-rakannya yang sama-sama beriman dengan Allah SWT, sama-sama mengakui Rasulullah SAW sebagai utusan Allah bahkan solat mengadap kiblat yang satu.

Mengusahakan penyatuan umat Islam ialah suruhan Allah dalam al-Quran. Firman Allah SWT: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan antara manusia. Dan sesiapa berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (Al-Nisa’: 114)

Perpaduan sesama Islam itu ialah tanda kasih-sayang Allah SWT kepada kita. Rahmatan lil Alamin dijelmakan dalam penyatuan sesama Islam, manakala mereka yang menolaknya, akan turut menolak konsep itu.

Firman Allah SWT yang diakhiri dengan perkataan ‘rahmah’ patut dihayati umat Islam: “Hanya sanya orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan persaudaraan antara saudara kamu, bertakwalah mudah-mudahan kamu dirahmati” (Al-Hujurat :10)

Penulis adalah Timbalan Mufti Perak

Berita Harian X