Jumaat, 15 March 2019 | 6:15am
Kekuatan iman jadi benteng umat Islam terjebak aktiviti ditegah Yang Maha Esa. -Gambar hiasan

Waspada tindakan menjurus golongan aktiviti maksiat, mungkar

Oleh Zamri Hashim

Hakikat di sebalik kemaksiatan dan kemungkaran ialah manusia berani melakukan sesuatu yang dibenci serta dilarang Allah SWT.

Ada unsur keberanian menentang peraturan Allah SWT dalam diri yang mempunyai banyak faktor tetapi dorongan hawa nafsu dan tewas dengan godaan syaitan adalah lebih dominan.

Selain wajib menjauhkan diri daripada kemaksiatan itu, kita dilarang menggalak, memberi ruang dan menyetujui kemungkaran berkenaan.

Allah SWT melarang kita bekerjasama untuk menjayakan apa-apa juga program atau aktiviti yang boleh mendatang dosa dan permusuhan seperti dalam firman-Nya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa melanggar perintahNya).” (Al-Maidah: 2)

Rasulullah SAW sendiri menjadikan kebencian dalam hati sebagai ‘tindakan’ terhadap kemaksiatan dan kemungkaran apabila tindakan lain menemui jalan buntu. Secara mafhumnya, kita dilarang sama sekali membiarkan apatah lagi menggalak dan memberi ruang kepada kemaksiatan dari terus berlaku.

Dari Abu Said al-Khudri RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya (kekuasaan); jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisannya; jika tidak mampu maka (tolaklah) dengan hatinya dan hal itu adalah selemah-lemahnya iman. (HR Muslim)

Maka kita perlu berhati-hati dengan tindakan kita jangan sampai diketegorikan sebagai membantu dalam perkara kemaksiatan.

Adalah salah kita membantu memberikan peruntukan kewangan mahupun menghulurkan derma ataupun menganjurkan kutipan derma untuk acara kemaksiatan. Kumpulan atau pertubuhan yang diisytiharkan fatwa sebagai sesat tidak sepatutnya mendapat bantuan kewangan.

Meluluskan permit kelulusan untuk berhimpun bagi maksud menzahirkan syiar maksiat dan kemungkaran juga termasuk dalam kategori membantu kemungkaran.

Membenarkan mahupun menyewakan premis untuk tujuan aktiviti dan program kemaksiatan juga dikira bersekongkol dengan kemaksiatan itu.

Penyataan yang meninggalkan kesan meremehkan maksiat dan seolah-olah ada peluang lain untuk melakukannya juga sebenarnya tindakan yang bukan menghentikan perlakuan itu.

Ia sebaliknya memberi ruang baharu untuk meneruskan maksiat seperti ungkapan ‘LGBT ada hak di negara ini, asal bukan secara terbuka’ jelas bertentangan dengan ayat Allah SWT: “Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka lakukan.” (Al-An’am: 120)

467 dibaca
Berita Harian X