Rabu, 13 March 2019 | 11:17am
Wanita mengandung yang mengalami kontraksi dan sudah keluar tanda bersalin masih wajib berusaha untuk menyempurnakan ibadat solat. - Foto hiasan

Wajib tunai solat walau alami kontraksi, tanda bersalin

SUBANG JAYA: Wanita mengandung yang mengalami kontraksi dan sudah keluar tanda bersalin masih wajib berusaha untuk menyempurnakan ibadat solat tetapi ia mengikut daya dan keupayaan masing-masing.

Pendakwah, Shadiya Abbas, berkata air ketuban atau darah yang keluar melalui kemaluan dikira sebagai darah fasad, iaitu darah rosak dan bakal ibu hanya perlu membersihkannya sebelum menunaikan solat seperti biasa.

Shadiya berkata, darah fasad ialah antara kategori darah yang keluar daripada kemaluan wanita selain haid, nifas dan istihadah.

“Darah fasad ialah darah rosak yang biasanya keluar disebabkan sakit kontraksi kerana ketegangan pada vagina yang juga boleh berlaku kerana penyakit tertentu termasuk kanser hingga menyebabkan pendarahan yang keluar daripadanya.

“Bagi darah haid dan istihadah (penyakit), ada tempoh tertentu mengenal pastinya, manakala darah fasad boleh berlaku bila-bila masa termasuk kepada kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ke bawah yang belum baligh.


Pendakwah bebas, Ustazah Shadiya Abbas. - NSTP/Rohanis Shukri

Kontraksi, kekerapan berbeza

“Dalam situasi ibu yang hendak melahirkan anak sekiranya keluar darah fasad masih boleh solat seperti biasa kerana sakit kontraksi biasanya agak lama dan berlaku dalam kekerapan berbeza seperti sakit setiap sejam atau setengah jam sekali,” katanya selepas Kuliah Dhuha di Masjid al-Falah di sini.

Shadiya berkata, terdapat kelonggaran yang diberikan Islam kepada wanita yang sedang mengalami kontraksi supaya masih mampu melaksanakan solat dan ilmu ini perlu diketahui termasuk suami.

“Misalnya sekiranya sudah turun tanda seperti air ketuban pecah, suami perlu membantu isteri membersihkan diri serta membantunya untuk memakai tuala wanita, baju yang bersih dan sesuai dibawa untuk solat.

“Bagi posisi solat pula, sekiranya tidak boleh berdiri, kita dibenarkan duduk dengan badan ditegakkan.

“Jika masih tidak mampu kerana sakit pinggang atau bahagian belakang, kita dibenarkan mengiring dengan dada mengadap kiblat,” katanya.

Shadiya berkata, dalam keadaan sakit lebih serius termasuk sukar mengangkat tangan, dibenarkan menggantikan anggota solat dengan menggerakkan kepala sahaja.

Beliau berkata, perkara yang paling penting kepada setiap wanita adalah sentiasa melakukan persiapan untuk solat dan mengetahui cara melaksanakannya dalam pelbagai keadaan termasuk ketika sakit serta bermusafir.

“Selama mana seseorang individu itu waras, sedar dan tidak pitam, wajiblah solat dan perlu mencari jalan untuk melaksanakannya.

Persediaan laksana ibadah

“Dalam melakukan kerja seharian, jangan lupa untuk memasukkan perancangan solat misalnya mengetahui persediaan ibadat sekiranya sakit atau membawa persalinan dan baju bersih ketika keluar bersama anak kecil yang dibimbangi terkena muntah atau najis.

“Ia seperti apa yang dimaksudkan dalam doa iftitah yang menyebut hidup dan mati hanya untuk Allah SWT, sekali gus menjadikan amat penting untuk mendahulukan ibadat dengan niat kerana-Nya,” katanya.

Shadiya berkata, wanita yang mementingkan aspek ibadat secara tidak langsung akan berusaha memelihara auratnya supaya dapat melaksanakan solat dalam apa juga keadaan.

“Oleh itu, wanita perlu menerima dan reda apabila Allah SWT memerintahkan kita menutup seluruh tubuh kecuali muka serta tapak tangan.


Shadiya menyampaikan ceramah selepas kuliah dhuha di Masjid al-Falah USJ 9, Subang Jaya. - NSTP/Rohanis Shukri


Antara peserta yang hadir mendengar ceramah daripada pendakwah bebas, Ustazah Shadiya Abbas di Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya. - NSTP/Rohanis Shukri

Pelihara aurat

“Apabila kita reda, besar hikmahnya dalam keadaan tanpa telekung sekali pun, masih mampu menunaikan solat kerana baju dikenakan labuh atau jika mengenakan seluar pun, ia mesti longgar dan menutup punggung supaya tidak kelihatan aurat,” katanya.

Shadiya turut mengulas masalah yang sering membelenggu wanita Islam ketika menerima rawatan di hospital kerana dalam situasi tertentu sukar memelihara aurat dengan sempurna.

Beliau berkata, antara perkara dibangkitkan ialah kehadiran pelawat lelaki di wad hospital yang keluar masuk tanpa kawalan hingga mengganggu pesakit wanita terutama melindungi aurat ketika sedang dalam rawatan.

“Bagi saya, di tempat awam termasuk hospital amat memerlukan kerjasama semua pihak supaya dapat melindungi aurat Muslimat.

“Pihak hospital disarankan membuat petunjuk supaya mendaftarkan kehadiran mereka terutama di wad wanita, sekali gus memudahkan pesakit lain untuk bersedia menutup aurat atau menutup langsir yang memisahkan setiap katil,” katanya.

Berita Harian X