Khamis, 21 Februari 2019 | 8:52pm
Bentuk bumi bulat disepakati ijmak ulama.
Pensyarah Kanan, Pusat Kelestarian Turath Islami, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ahmad Irfan Ikmal Hisham.

Dakwa bumi mendatar akibat salah faham al-Quran, hadis

KELOMPOK yang mendakwa bumi mendatar biasanya cuba menegakkan benang basah dengan menggunakan ayat al-Quran dan hujah agama.

Bagaimanapun mereka biasanya tersilap dalam memahami al-Quran kerana merujuk terjemahan dalam bahasa Melayu, sekali gus meminggirkan tafsiran ulama silam yang menguasai pelbagai disiplin ilmu termasuk bahasa Arab.

Pensyarah Kanan, Pusat Kelestarian Turath Islami, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah, berkata tidak ada satu pun ayat al-Quran menceritakan bentuk muka bumi sebagai rata.

Ini termasuk ayat yang sering dimanipulasi kelompok yang membuat dakwaan itu seperti firman Allah SWT: “Dan bumi Kami bentangkan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang serta Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu yang tertentu timbangannya,” (Al-Hijr: 19)

“Maksud ayat ini bukan dalam konteks kejadian bumi secara fizikal, sebaliknya mengenai kehidupan di bumi.

“Perkataan bentangkan atau hamparan dalam ayat ini tidak boleh dipegang daripada sudut bahasa semata-mata kerana kita tidak mampu menjelaskan bentuknya sama ada bulat, empat segi atau memanjang,” katanya kepada Ibrah di pejabatnya di UKM, Bangi.

Wan Nasyrudin berkata, gabungan ayat itu menyebut gunung-ganang dan tumbuh-tumbuhan menggambarkan kehidupan kita tersusun dan sistematik dengan setiap ciptaaan itu ada fungsinya.

“Bukit bukau menjadikan bumi lebih stabil, manakala tumbuhan pula sumber asas makanan kepada segenap makhluk,” katanya.

Antara ayat lain menjurus penceritaan kehidupan dan tiada kena-mengena dengan konteks penciptaan bumi ialah firman Allah SWT: “Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya dan makanlah daripada rezeki dikurniakan Allah dan (ingatlah) kepada Allah jua kamu dibangkitkan hidup semula.” (Al-Mulk: 15)

Mengupas lanjut, Wan Nasyrudin berkata, terdapat isyarat dalam al-Quran yang menjelaskan bentuk muka bumi sebagai bulat.

Antaranya firman Allah SWT: “Matahari tidak mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang kerana masing-masing beredar di tempat edarannya.” (Yasin: 40)

“Petikan ayat ini menceritakan pergerakan bulan dan matahari dalam sistem cakerawala, sekali gus terdapat juga konteks sama dalam ayat ke-5 surah az- Zumar.

“Jika diterjemah secara literal, ia akan difahami sebagai matahari tidak sama sekali dapat berkumpul dengan bulan, iaitu tidak bertemu kerana berjalan di atas paksi dan orbit berbeza.

“Bagaimanapun, mengikut tafsiran ulama perkataan ‘tudrik’ yang asal maknanya mengatasi, dapat mengejar atau menguasai itu merujuk kepada terdapat had yang akan menghentikannya,” katanya.

Beliau berkata, ulama melihat satu masa nanti, matahari akan dapat mengatasi bulan dan pada ketika ini, akan berlaku kiamat.

“Oleh itu, umat Islam yang beranggapan bumi mendatar perlu kembali kepada prinsip asal dengan tidak menyamakan al-Quran sebagai buku sains.

“Al-Quran ialah perlembagaan hidup mengandungi panduan tetapi untuk mengetahui secara terperinci apa dimaksudkan kitab suci itu, umat Islam perlu merujuk hadis dan tafsiran ulama,” katanya.

Wan Nasyrudin menegaskan pendirian bentuk muka bumi bulat disepakati sebagai ijmak ulama hingga ia tidak timbul sebarang keraguan terhadap fakta itu.

“Ulama termasuk Ibnu Taimiyah, Ibnu Al-Munaadi dan Ibnu Hazim umpamanya menyatakan bumi bulat, manakala Sheikh Al-Uthaimin berkata, bumi ini tidak dapat dirasakan bulat kerana ia terlampau besar,” katanya.

Beliau berkata, perintis peta yang juga ulama Islam, al-Idrisi turut mereka bentuk bulat dalam peta dunia terawal yang dihasilkannya pada 1154.

“Walaupun meyakini bumi itu mendatar memang tidak menyebabkan terjejasnya akidah tetapi ia jelas perbuatan tidak berfaedah, malah perbincangan (mendakwa bumi mendatar) lebih kepada membuang masa,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ahmad Irfan Ikmal Hisham, berkata pendapat kelompok pendakwa bumi mendatar boleh dipatahkan dengan kaedah pembuktian yang mudah seperti proses cerapan.

Ahmad Irfan berkata, kejadian gerhana bulan penuh bukti paling jelas bumi berbentuk sfera kerana ia berlaku apabila bulan melalui sebahagian bayang-bayang bumi.

“Kejadian ini cuma boleh berlaku ketika bulan purnama apabila matahari, bumi dan bulan berada dalam kedudukan sejajar pada satu barisan sama atau sangat hampir.

“Bayang bumi yang jatuh pada permukaan bulan berbentuk melengkung menjadi bukti bumi sfera dan andai mendatar, bayang-bayang akan kelihatan seperti satu garisan lurus tanpa lengkungan.

“Imam al-Qazwaini menyatakan antara bukti bumi sfera ialah semasa gerhana bulan, ia boleh dilihat di satu kawasan dan tidak di kawasan lain dalam masa sama kerana bulan terbit dan tenggelam berlaku pada waktu berbeza,” katanya.

Ahmad Irfan berkata, bumi sfera dapat dibuktikan menerusi cerapan garisan ufuk atau garisan horizan yang menjadi garis batasan pandangan manusia.

“Secara teori, lebih tinggi altitud seseorang pencerap, lebih besar potensinya untuk melihat garis ufuk sama ada rata atau melengkung kerana bentuk bumi sfera.

“Menerusi tinjauan dengan sejumlah juruterbang komersial, ada yang nampak lengkungan pada ufuk sebagai bukti bumi sfera pada altitud berbeza berdasarkan pada pandangan mata mereka, sekali gus konsisten fakta angkasawan negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor,” katanya.

Beliau berkata, pada zaman Rasulullah SAW, sahabat dididik mengetahui waktu solat berdasarkan pergerakan dan fenomena jasad samawi, khasnya matahari yang akhirnya berkembang kepada hitungan matematik berasaskan trigonometri sfera.

Rasulullah SAW bersabda: “Jibril AS mengimamiku di sisi Baitullah dua kali. Jibril solat Zohor bersamaku tatkala matahari tergelincir (condong) ke barat sepanjang tali sandal.” (HR Abu Daud)

Begitu juga hitungan carian arah kiblat, keterbatasan manusia dalam ilmu matematik dan geografi menyebabkan umat Islam berpegang kepada sabda Rasulullah SAW: “Mana-mana kawasan yang terletak antara timur dan barat, adanya Kiblat.” (HR Tarmizi)

Perkembangan dalam matematik menyaksikan sarjana Muslim memperkenalkan teori trigonometri sfera untuk memudahkan hitungan carian arah kiblat dengan mengambil kira bentuk bumi yang sfera dan bukannya mendatar.

“Pada zaman Rasulullah SAW, hadis ini betul daripada sudut pemahaman literal kerana dalam banyak keadaan, pergerakan Baginda terhad di Semenanjung Tanah Arab.

“Justeru kiblat memang terletak antara kawasan utara atau selatan tetapi selepas perkembangan Islam ke luar wilayah itu, hadis ini tidak boleh difahami secara tekstual semata-mata.

“Malah dalam pengiraan waktu solat, untuk mengetahui waktu tergelincir matahari dari timur ke barat, pencerap secara tradisionalnya akan melihat bayang-bayang objek pada waktu tengah hari, membabitkan waktu istiwa atau rembang dan waktu Zohor,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan matematik, fenomena itu hanya boleh diukur dengan menggunakan trigonometri sfera dan data efemeris matahari.

Beliau meminta kelompok pendakwa bumi mendatar supaya dapat mengeluarkan kaedah boleh digunakan dengan mengambil konsep bumi mendatar dalam pengiraan atau hitungan waktu solat dan carian arah kiblat.

“Golongan ini menzalimi diri kerana mempercayai konsep yang tidak mempedulikan aspek ibadat terpenting bagi umat Islam.

“Perjuangan mereka mencerminkan sikap obses kepada perkara remeh-temeh dalam kehidupan dan sikap terpengaruh terhadap teori konspirasi,” katanya.

Berita Harian X