Rabu, 20 Februari 2019 | 1:32pm
Masjid perlu cakna alam sekitar dan menerapkan konsep Amalan Hijau termasuk mempunyai pokok atau tumbuhan hijau di persekitaran. Gambar hiasan. - Foto Saifullizan Tamadi

Masjid perlu tunjuk imej harmoni, Amalan Hijau

KUALA LUMPUR: Masjid yang menjadi institusi penting umat Islam dan syiar agung kepada agama, perlu memainkan peranan sebagai simbol perpaduan serta kejayaan ummah termasuk imej baik kepada golongan bukan Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail, berkata masjid menjadi simbol perpaduan masyarakat majmuk di negara ini, sekali gus menunjukkan imej agama kepada masyarakat bukan Islam dan pelancong antarabangsa.


Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail. - Foto Amirudin Sahib

Mohd Ajib berkata, masjid di negara ini perlu lebih terkehadapan, sekali gus selari dengan pemodenan negara.

“Sebagai pusat tumpuan dan berkumpul kepada masyarakat, masjid perlu bersifat universal hingga umat Islam tidak boleh terlalu lengah dalam membangunkan institusi penting itu.

“Umat Islam perlu keluar daripada zon selesa dengan membuka mata dan fikiran untuk melihat dunia dari sisi berbeza, sekali gus bertindak lebih progresif,” katanya pada acara Dari Hati Pengarah JAWI di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini.

Mohd Ajib berkata, bersesuaian dengan moto JAWI, Menyebarkan Salam, Menyantuni Ummah dan Melangkah Sederap Bersama, masjid perlu diusahakan supaya menjadi pusat tumpuan serta rujukan masyarakat tidak mengira agama dan bangsa.

Katanya, JAWI yang berperanan sebagai pelaksana dasar, program dan projek yang diluluskan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bertanggungjawab kepada seluruh penduduk Wilayah Persekutuan.

“Terdapat dua juta penduduk di Wilayah Persekutuan sama ada Islam dan bukan Islam. JAWI tidak hanya menjaga kebajikan orang Islam, bahkan juga bukan Islam,” katanya.


Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail. - Foto Amirudin Sahib

Mohd Ajib berkata, masjid perlu menerapkan konsep rahmah yang dibina berdasarkan sifat ramah, aman, harmoni, mesra pelanggan, alamiah atau Go Green dan hormat hingga menjadi langkah ke arah institusi yang dipandang tinggi.

“Masjid perlu bersifat ramah terhadap semua lapisan masyarakat dan menjadi sebuah tempat yang senang untuk didekati, selain bebas daripada sebarang ajaran yang tidak sepatutnya atau unsur politik.

Perlu bersifat harmoni

“Institusi itu juga perlu bersifat harmoni yang setiap individu hormat-menghormati antara satu sama lain dan hidup secara aman meskipun berbeza agama, bangsa dan budaya.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak beribadat seperti kau beribadat. Dan kamu juga tidak mahu beribadat seperti aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.” (Al-Kafirun: 1-6)


Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail. - Foto Amirudin Sahib

Mohd Ajib berkata, masjid juga perlu cakna terhadap alam sekitar dan bersifat alam dengan konsep Go Green atau Amalan Hijau sebagai alternatif terbaik seperti perlu mempunyai pokok atau tumbuhan hijau di persekitaran.

“Menggunakan lampu LED juga langkah bijak, selain memberi penekanan kepada mengambil wuduk selari dengan sunnah Rasulullah SAW yang menegah umat Islam mengamalkan sikap membazir.

Mengenai tanggungjawab imam, Mohd Ajib berkata, individu yang dilantik perlu mempunyai kredibiliti, berketrampilan, mempunyai kekuatan dan kehebatan sebagai pemimpin.

“Imam tidak boleh menjalankan urusan peribadi ketika bertugas atau mengambil peluang untuk berniaga.

“Ini kerana imam dilantik menjalankan tugas hakiki sebagai ketua pentadbir masjid. Sekiranya, imam tidak menjalankan tugas yang diamanahkan, masjid tidak mampu berfungsi dengan sebaiknya,” katanya.

119 dibaca
Berita Harian X