Ahad, 17 Februari 2019 | 6:01pm

Kritikan isteri bantu tingkat keyakinan dakwah

PENDEDAHAN terhadap tarbiah atau pendidikan seperti usrah sejak di bangku persekolahan, mencambah minat pendakwah, Mohd Elyas Ismail untuk terus menyalurkan khidmat di jalan dakwah.

Malah, beliau kini antara pendakwah tidak asing dan sering dijemput menyampaikan perkongsian serta ceramah dalam program di saluran televisyen.

“Ketika zaman persekolahan, saya antara pelajar yang tidak akan melepaskan peluang menyertai program pidato atau debat.

“Meskipun tidak pernah menang, saya tidak berputus asa sebaliknya berusaha memantap dan meningkatkan keyakinan diri berdepan dengan khalayak,” katanya.

Asah bakat bidang dakwah

Malah apabila menyambung pengajian pada peringkat Diploma Pengajian Islam al-Quran dan Sunnah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), beliau terus mengasah bakat dalam bidang dakwah.

“Subjek berkaitan dakwah antara yang saya ambil hingga banyak turun ke jalanan dan bertemu masyarakat, sekali gus pendedahan itu mendorong saya ke jalan dakwah lagi.

“Malah ketika melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir, saya bukanlah pelajar ulat buku, sebaliknya banyak menyertai persatuan dan program untuk menambah pengalaman,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian dan mendapat ijazah dalam bidang Usuluddin dan Dakwah, beliau menjadi fasilitator program motivasi.

Ia turut membuka jalan untuk menjadi pendakwah hingga mula menerima undangan menyampaikan ceramah dan tazkirah.

“Dalam satu program ceramah di surau, antara jemaahnya ialah pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) yang kemudian menjemput saya menyampaikan kuliah di Surau Sri Pentas.

“Di situlah bakat saya mula dikesan untuk menjadi penceramah undangan di stesen televisyen seperti program Tanyalah Ustaz, Al-Kuliyyah dan Halaqah,” katanya.

Anak kelahiran Sungai Petani itu berkata, jika diimbas kemunculan awalnya dalam program televisyen, beliau mengakui agak memalukan kerana tidak mesra kamera, selain penyampaian kurang meyakinkan.

“Selain itu, saya pernah ditegur kerana dikatakan terlebih yakin dan syok sendiri ketika berada di depan kamera.

“Isteri, Nurul Amani Mohammad Tain sebenarnya antara ‘pengkritik tetap’ saya setiap kali membuat kemunculan di kaca televisyen.

Terima teguran secara positif

“Bagaimanapun, saya terima teguran itu secara positif untuk memperbetulkan kaedah penyampaian, selain pengalaman juga mematangkan saya untuk lebih memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, penyampaian dakwah yang menggabungkan pengetahuan dan hiburan dengan menyelitkan gurauan sebagai selingan kepada ceramah dapat menarik generasi muda untuk hadir dalam program agama.

Katanya, seiring zaman teknologi berasaskan media sosial, beliau tidak ketinggalan menggunakannya dalam penyampaian ceramah dan tazkirah.

“Apa juga ceramah atau tazkirah, perkara paling penting ialah pendekatan agar perkongsian itu sampai kepada penonton dan jemaah. Walaupun diselitkan dengan gurauan dan lawak jenaka, ia bukan kosong sebaliknya mampu menjentik hati.

“Perkongsian di media sosial walaupun agak terhad, ia menghimpunkan ramai pengguna. Malah apabila berkongsi sesuatu berfaedah dan dikongsikan semula, pahala yang diperoleh juga akan bercambah.

“Tugas dakwah ini bukan terletak di bahu golongan agama sahaja, sebaliknya setiap Muslim mempunyai peranan dalam menyebarkan dakwah dan ajaran Islam,” katanya.

Profil Mohd Elyas Ismail

Asal: Sungai Petani, Kedah

Isteri: Nurul Amani Mohammad Tain

Anak: Tiga orang

Pendidikan: Sarjana Muda Usulluddin dan Dakwah, Universiti Al-Azhar, Mesir dan Diploma Pengajian Islam al-Quran dan Sunah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Pengalaman: Panel Tanyalah Ustaz TV9, Penceramah Al-Kuliyyah TV3, Panel Klinik d’HIJRAH TV Al-Hijrah, Panel Forum Perdana Ehwal Islam TV1.

155 dibaca
Berita Harian X