Isnin, 11 Februari 2019 | 10:48am
Antara majlis selawat yang diadakan di negara ini, iaitu Program Malam Munajat Kolej Islam - Sejuta Selawat di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang. - Foto Faiz Anuar

Gema selawat, jadi doa lindungi Malaysia

ADAKALANYA reaksi sebahagian masyarakat termasuk netizen terhadap penganjuran majlis selawat khususnya secara perdana atau besar-besaran, bukan saja mengecewakan, bahkan memperlihatkan kejahilan terhadap hakikat selawat dalam hubungan kita dengan Nabi Muhammad SAW.

Ada yang menganggap sudah cukup selawat yang diucapkan dalam solat lima waktu, manakala sebahagian pula menuduhnya sebagai aktiviti yang membazir, malah lebih dahsyat apabila ada yang menganggap ia sebagai amalan mengagung-agungkan yang dibantah oleh Rasulullah SAW sendiri.

Apatah lagi majlis selawat di Nusantara termasuk di negara ini, bukan hanya diadakan dalam bulan Rabiul Awal atau musim Maulidurasul, sebaliknya diadakan sepanjang tahun sama ada di tempat awam mahupun masjid, surau dan rumah kediaman.

Biasanya mereka menggunakan hadis yang diriwayatkan oleh Umar ibnu al-Khattab RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kalian melampau-lampau memujiku seperti golongan Nasrani melampau-lampau memuji Isa ibnu Maryam AS. Sebaliknya, katakanlah hamba Allah dan Rasul-Nya. (HR Imam Malik, Ahmad, Bukhari, Tayalisi, Hamidi, Darami, Tirmizi, Abu Ya’la, Ibnu Hibban dan Abdur-Razzaq)

Orang yang berhujahkan hadis itu untuk mengkritik majlis selawat atau karangan selawat oleh ulama silam bagaikan terlepas pandang dengan kata kunci ‘seperti’ yang bermaksud larangan melampaui batas itu sampai ke tahap mendakwa Nabi Isa AS sebagai anak Tuhan.


Selawat juga boleh digemakan ketika berarak seperti sambutan Maulidurrasul oleh Sekolah Kebangsaan Sri Keledang di Kampung Sri Keledang, Slim River. - Foto Rosman Shamsudin

Imam al-Busiri dalam karya agungnya, al-Kawakib ad-Durriyah fi Madḥi Khair al-Bariyah atau lebih terkenal dengan nama Burdahnya memberikan jawapan yang sama.

Tinggalkanlah apa diperlakukan Nasrani pada nabi mereka.

Dan pujilah Nabi dengan apa-apa sahaja yang kalian suka.

Selawat sebenarnya menduduki kedudukan sangat agung hingga ia menjadi satu-satunya perintah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang dizahirkan sendiri dan dilakukan oleh malaikat seperti dalam firman-Nya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)

Perintah selawat yang berlaku sepanjang masa dan tanpa mengira tempat itu menunjukkan hubungan antara Nabi Muhammad SAW dengan umatnya tidak pernah terputus.


Ulama berlumba-lumba mengarang selawat yang terbaik dengan mengikuti perbuatan sahabat RA. Gambar hiasan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Ulama mengarang selawat

Tidak hairan banyak ulama berlumba-lumba mengarang selawat yang terbaik yang sebenarnya menjadi sunnah sahabat Baginda seperti Saidina Ali ibnu Abi Talib atau menghasilkan syair madhi atau pujian umpamanya Ka’ab ibnu Zuhair RA.

Setiap selawat dan salam yang diucapkan oleh umat Nabi Muhammad SAW, akan disampaikan kepada roh Baginda yang akan dibalas kembali.

Bayangkan bagaimana keadaannya apabila sebahagian masyarakat mengadakan majlis yang menggemakan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW sama ada dari padang, dataran dan stadium hingga masjid, surau serta kediaman, lalu Baginda membalasnya dengan doa yang sudah tentu jauh lebih baik, malah tidak dapat dibandingkan?


Antara majlis selawat yang diadakan di negara ini, iaitu Program Sayangi Malaysiaku Qasidah dan Selawat di Bulatan Meru, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

Sudah tentu bukan saja umat Islam yang menggemakan selawat itu mendapat kerahmatan dan keberkatan, bahkan kawasan, daerah serta negerinya akan turut sama menerimanya.

Apatah lagi setiap selawat mempunyai khasiat atau manfaat tersendiri berdasarkan pengalaman ulama yang benar dan golongan arifin, iaitu orang yang mendapat makrifat daripada Allah SWT.

Majlis selawat yang mengalunkan pelbagai selawat dan disertai oleh pelbagai jenis manusia termasuk individu yang mustajab doanya, tidak mustahil menjadi antara sebab yang ditentukan Allah SWT sebagai penghalang kepada kerosakan besar-besaran seperti bencana alam serta permusuhan manusia.

261 dibaca
Berita Harian X