KOTA BHARU: Dua peserta orang kurang upaya (OKU) antara 184 peserta yang bakal memberi saingan dalam Majlis Menghafaz dan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 2019 bermula esok.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Ramli, berkata Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 21, yang mempunyai masalah penglihatan dan Che Aminah Che Awang, 65, OKU fizikal akan bersaing bagi melayakkan diri ke peringkat kebangsaan pada 17 Mac ini.

“Kedua-dua peserta ini membuktikan kekurangan yang ada pada diri mereka bukan penghalang untuk meraih kejayaan.
“Mereka juga mempunyai kekuatan dan pengalaman dalam pertandingan tilawah sebelum ini.
“Selain itu, peserta termuda Puteri Auni Khadijah Mohd Hanif, 11, dan Tokoh Tahfiz 2018, Abdul Rauf Sapuan, 16, juga menjadi antara peserta yang akan bersaing dalam kategori hafazan al-Quran masing-masing,” katanya dalam sidang media Majlis Menghafaz dan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan 2019 di sini, hari ini.
Majlis yang bermula esok hingga Khamis ini akan berlangsung di Dewan Besar Kompleks Islam Darulnaim, Lundang.
Katanya, majlis yang diadakan pada setiap tahun ini dapat mendidik generasi muda agar kasih dan sayang serta celik al-Quran.
“Kita jangkakan seramai 2,000 penonton akan hadir untuk bersama-sama memeriahkan majlis ini,” katanya.
Menurutnya, pihak juri tidak akan mengambil mudah soal penghakiman untuk memastikan hanya yang terbaik layak mewakili negeri ini ke pertandingan peringkat kebangsaan.
“Bagi menentukan pemenang, juri menetapkan standard pemarkahan berkualiti. Antara yang dipilih menjadi juri adalah pemenang tilawah peringkat antarabangsa Abdullah Fahmi Che Nor,” katanya.