Ahad, 10 Februari 2019 | 3:56pm
Moderator, Setiausaha Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi, Faezal Husni Arshad bersama Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UKM, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff (kiri) pada Forum Media Sosial Mengikut Perspektif Islam di Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi. - Foto Sairien Nafis
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UKM, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff. Foto - Sairien Nafis

Foto lama dedah aurat tetap haram dipamerkan

BANGI: Cabaran 10 tahun atau #10 Years Challenge yang menjadi aliran terkini di media sosial mendorong ramai pengguna media berkenaan berlumba-lumba menyahutnya.

Foto yang pernah dirakam 10 tahun lalu dan foto terkini banyak terpapar di pelbagai media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter dengan umat Islam tidak terkecuali.

Bagaimanapun, apa yang lebih dikesali ada pengguna media sosial beragama Islam secara terang-terangan mengabaikan ketetapan syarak dalam menjaga aurat, sekali gus menyebabkan foto yang mendedahkannya bertebaran.

Malah, ia turut dilakukan oleh wanita Islam yang kini menutup aurat, tetapi tidak segan untuk memaparkan foto mereka sebelum ‘berhijrah’ dahulu.

Lebih menyedihkan tindakan memaparkan kecantikan itu tidak lebih daripada keinginan mendapatkan bilangan like dan komen daripada pengguna media sosial lain.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff, berkata tidak salah untuk mengikuti perkembangan terkini media sosial selagi menjurus ke arah kebaikan.

“Umpamanya jika mengikutinya #10 Years Challenge, membuatkan kita berlumba-lumba ke arah perkara bermanfaat, tentu sahaja tidak salah di sisi Islam.

“Jika 10 tahun lalu, kita agak jahil, tetapi kini berubah dan berhijrah serta melakukan transformasi menjadi orang berilmu, mengapa tidak ia dipaparkan untuk manfaat bersama.

“Kita boleh meletakkan nasihat dalam status di media sosial untuk mengajak orang lain supaya sama-sama melakukan perubahan positif dalam hidup,” katanya pada Forum Media Sosial Mengikut Perspektif Islam di Masjid Al-Umm di sini.

Haram sengaja dedah aurat

Mohd Izhar berkata, tindakan mendedahkan aurat dengan sengaja walaupun menggunakan alasan ketika itu belum berhijrah, hukumnya haram.

“Menutup aurat ialah kewajipan yang tidak wajar dipertikaikan hingga kita perlu menyunting kembali foto berkenaan untuk melindungi anggota tubuh itu.

“Bukan sahaja di media sosial, dalam kehidupan harian terutama di rumah, ramai yang suka meletakkan foto keluarga di ruang tamu.

“Sekiranya ada gambar lama yang dahulunya tidak menutup aurat secara sempurna, ia perlu diturunkan atau dialihkan ke ruangan yang tidak dapat dilihat tetamu seperti bilik tidur,” katanya.

Tambahnya, jika ada kenalan yang tidak menutup aurat dengan sempurna, apa yang boleh kita lakukan adalah menegur dengan cara berhikmah.

“Kita diajar dalam agama untuk menegur, tetapi tidak perlu sehingga tahap memaksa kerana hidayah milik Allah SWT.

“Ini termasuk isu wanita Islam tidak bertudung sama ada di sekeliling atau media sosial, perkara itu hanya terkait antara si pelaku dengan Allah SWT,” katanya.

Pada forum kendalian Setiausaha Masjid Al-Umm, Faezal Husni Arshad itu, Mohd Izhar turut menjawab keluhan dan kebimbangan masyarakat terhadap ledakan media sosial sehingga ada meminta ia diharamkan.

“Hal ini perlu dibincangkan secara ilmiah kerana untuk mengharamkan sesuatu, ia memerlukan sebab, asas dan melihat kemudaratannya.

“Media sosial antara nikmat yang dikurniakan Allah SWT kerana terdapat manfaat jika digunakan cara betul.

“Kita dapat saksikan dakwah berlangsung secara maya seperti melalui FB Live hingga ramai beroleh pahala, termasuk orang berkongsi di laman sosial,” katanya.

Menurut beliau, perkongsian ilmu bermanfaat termasuk dalam wakaf amalan, khususnya golongan yang tidak mampu daripada kewangan, tetapi dapat berbuat demikian dengan mewakafkan ilmu melalui media sosial.

Mohd Izhar berkata, apa yang merosakkan media sosial apabila ia digunakan untuk membuka aib, saling memfitnah dan menjatuhkan orang lain.

“Apabila datang perkhabaran, ia perlu diselidiki sebelum disebarkan. Ramai umat Islam yang rugi akibat fitnah, manakala orang yang menyebarkannya akan dilaknat Allah SWT.

“Ada perniagaannya rugi kerana fitnah manusia sehingga akhirnya tidak mampu lagi mengeluarkan sedekah, wakaf dan zakat.

Minta maaf, bertaubat

“Dalam hadis yang terkandung dalam Sahih Muslim, Nabi Muhammad SAW menyifatkan orang yang menyebarkan fitnah sebagai golongan muflis di akhirat kelak,” katanya.

Beliau berkata, bagi yang pernah menyebarkan fitnah, mereka perlu mengambil tindakan selari dengan impak daripada perbuatannya itu, selain meminta maaf dan bertaubat.

“Fitnah lebih teruk daripada membunuh kerana ia bukan sahaja memberikan kesan kepada si pelaku, tetapi orang di sekelilingnya.

“Saya pernah bertemu seorang hamba Allah yang mengadu datuknya pernah dituduh berzina yang sehingga kini, mereka sekeluarga terus dikecam sebagai keturunan penzina.

“Sekiranya fitnah yang disebarkan itu memberikan impak misalnya kewangan, wajib penyebar fitnah membayar semula kerugian itu supaya tidak beroleh balasan di Padang Mahsyar kelak,” katanya.

Mohd Izhar turut menasihatkan umat Islam supaya mengikut panduan diberikan Imam al-Ghazali supaya menjadi manusia yang sentiasa gembira dengan kebahagiaan orang lain.

“Fitnah tidak akan berleluasa sekiranya kita sentiasa mensyukuri nikmat Allah dan saling mendoakan sesama umat Islam.

“Rasulullah SAW mengajarkan umatnya, apabila melihat orang kaya, maka sunahnya berdoa terus kepada Allah SWT supaya dikurniakan dan beroleh rezeki seperti itu,” katanya.

766 dibaca
Berita Harian X