Jumaat, 8 Februari 2019 | 12:46pm
Keganasan regim Zionis terhadap rakyat Palestin. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Yahudi bukan bangsa terpilih

KEGANASAN Israel terhadap Palestin sejak awal abad ke-19, tidak berkesudahan disebabkan sokongan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) hingga masyarakat dunia seakan-akan tidak boleh bersuara menentang regim Zionis itu.

Sebarang tindakan mengkritik Israel atau Yahudi dituduh sebagai anti-Semitik, iaitu diskriminasi terhadap bangsa itu seperti yang kita saksikan pada keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 berikutan tindakan menghalang kemasukan peserta dari Israel.

Pensyarah, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata Islam tidak menjadikan Yahudi sebagai justifikasi untuk memerangi bangsa atau individu berkenaan, sebaliknya menentang tindakan mereka atas nama negara Israel yang menindas Palestin termasuk membunuh, merampas harta benda dan menduduki tanah Palestin secara haram.

“Hubungan kita dengan Israel perlu tegas kerana tindakan yang melanggar batas kemanusiaan di Palestin. Kita menentang ideologi (Zionis) yang dibawa bukan menentang bangsa itu kerana ada dalam kalangan mereka sendiri menentang tindakan kejam kerajaan Israel terhadap Palestin,” katanya.

Justeru tambah beliau, penegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Israel sangat bermakna dan konsisten sejak dahulu lagi.


Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Akademi Pengajian Islam (API), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor. - Foto Nik Hariff Hassan

Mengimbas sejarah bangsa Yahudi, Mohd Roslan berkata, sebelum menjadi begitu berpengaruh di Barat, Yahudi sebenarnya dilayan sebagai masyarakat kelas ketiga terutama di Jerman dan Eropah Timur.

Antara bukti kebencian Eropah terhadap Yahudi yang masih berbekas ialah peristiwa Holocaust yang menyaksikan jutaan orang Yahudi dibunuh atas arahan pemimpin Jerman, Adolf Hitler.

“Bangsa Yahudi bangkit membuat pembelaan dengan menubuhkan World Zionis Organisation pada 1897 oleh Theodore Hezel.

“Pertubuhan itu bertujuan mendapatkan simpati untuk menubuhkan negara bagi bangsa Yahudi yang kemudiannya diterbitkan dalam bentuk buku bertajuk Der Judenstaat atau The State of Israel,” katanya.

Idea penubuhan Israel disokong Britain menerusi Deklarasi Balfour pada 1917 yang menyebut negara itu akan ditubuhkan di Palestin.

Kononnya bangsa terpilih

Mohd Roslan berkata, bangsa Yahudi pernah mentadbir Baitulmaqdis pada zaman Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS, lalu timbul anggapan bahawa sejarah membenarkan kota itu dijadikan sebagai negara mereka.

“Dalam Islam, kita percaya kepada Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan nabi sebelum itu seperti Nabi Adam AS pernah berada di Baitulmaqdis hingga orang Islam pun berhak menuntut Baitulmaqdis.

“Malah, kita dapati banyak ayat al-Quran menunjukkan orang Yahudi diminta Nabi Musa AS untuk masuk ke Baitulmaqdis tetapi mereka menolak,” katanya.

Antaranya firman Allah SWT: “Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang sudah ditentukan Allah bagimu dan janganlah kamu lari ke belakang (kerana takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang yang rugi. (Al-Maidah: 21)

Bagaimanapun tegas Mohd Roslan, Yahudi ingkar kepada arahan Nabi Musa AS kerana takut kepada kaum yang ketika itu sudah menetap di sana. Firman Allah SWT: “Wahai Musa, sesungguhnya dalam negeri itu ada orang gagah perkasa, sesungguhnya kami sekali-kali tidak akan memasukinya sebelum mereka ke luar daripadanya. Jika mereka ke luar daripadanya, pasti kami akan memasukinya.” (Al-Maidah: 22)

Tambah Mohd Roslan, ini membuktikan pandangan Yahudi yang mengatakan mereka bangsa terpilih tidak tepat kerana mereka mestilah mematuhi arahan nabi, jauh sekali membunuh nabi.

“Kisah orang Yahudi ini banyak disebut dalam al-Quran, misalnya dalam surah al-Baqarah dan al-A’raf yang menceritakan larangan nabi jangan menangkap ikan pada Sabtu namun mereka tetap berbuat demikian,” katanya.

Mohd Roslan berkata, sejarah merekodkan pada 132 Masihi, Yahudi tidak dibenarkan masuk ke Baitulmaqdis pada zaman pemerintahan kerajaan Rom Byzantine disebabkan orang Kristian tidak bersetuju berkongsi kota suci itu dengan mereka.

Ia berlarutan hingga 637 Masihi sebelum Baitulmaqdis diperintah Khilafah Islam pada zaman Saidina Umar Al-Khattab. Berdasarkan fakta itu, ternyata yang membela orang Yahudi dan membenarkan mereka kembali ke Baitulmaqdis ialah orang Islam.

Konflik tanda kiamat

Tambah Mohd Roslan, konflik Israel dan Palestin juga sering dikaitkan dengan kiamat misalnya terdapat beberapa hadis menyebut tidak akan terjadi kiamat hingga kaum Muslimin memerangi kaum Yahudi, lalu membunuh mereka hingga seorang Yahudi bersembunyi di balik batu dan pohon. Bagaimanapun batu dan pohon berkata: “Wahai Muslim! Wahai hamba Allah! Ini Yahudi di belakangku, ke marilah aku, bunuhlah dia!” Kecuali pohon ghorqod kerana ia pohon orang Yahudi.” (HR Muslim).

“Zaman itu nanti apabila batu pun sudah mampu bercakap maknanya sudah sangat hampir dengan kiamat.

“Surah al-Isra ayat satu hingga lapan menjelaskan orang Yahudi akan membuat kerosakan di atas muka bumi ini dua kali sebelum sampai hari akhirat.

“Sebahagian besar ulama tafsir percaya kedua-dua peristiwa itu sudah berlaku, iaitu kerosakan pertama berlaku pada zaman sebelum Islam apabila Rom Byzantine menghalang mereka masuk ke Baitulmaqdis, manakala peristiwa kedua ketika Baginda menghalau mereka keluar dari Madinah kerana membocorkan rahsia pertahanan Madinah kepada musuh, sekali gus mencabuli piagam yang dipersetujui bersama,” katanya.


Keadaan rakyat Palestin selepas diserang tentera Israel. - Foto NSTP

Bagaimanapun, terdapat satu tafsir yang dibuat oleh ulama abad ke-20, Sheikh Said Hawwa yang menyebut hanya satu kerosakan saja sudah berlaku, manakala kerosakan kedua belum berlaku.

“Sebab apa belum berlaku? Ini kerana dalam al-Quran menyebut kerosakan kali kedua berlaku dengan Yahudi yang bersifat sombong, bongkak dan bersama kekuatan.

“Said Hawwa percaya kekuatan itu merujuk peristiwa pada zaman moden dengan persenjataannya, selain sokongan dunia yang akan membuatkan Yahudi angkuh, sombong dan rasa kuat,” katanya.

Mohd Roslan berkata, apa yang paling ditakuti ketika ini ialah kerosakan yang dibuat kepada Masjid al-Aqsa.

“Sekarang mereka sedang giat mengorek dan menggali di bawah tapak Masjid al-Aqsa yang kedudukannya di atas bukit.

“Mereka giat menjalankan kerja ekskavasi di bawah Masjid al-Aqsa untuk mencari bukti kewujudan Haikal Sulaiman, iaitu rumah ibadat pertama orang Yahudi yang kononnya dibina 960 Sebelum Masihi yang malangnya sehingga kini tidak menemukan apa-apa yang signifikan walaupun seketul batu,” katanya.

907 dibaca
Berita Harian X