Selasa, 5 Februari 2019 | 6:27am
Secara peribadi, selepas memeluk Islam saya semakin rapat dengan ibu dan bapa. Saya berasakan memiliki tanggungjawab yang besar untuk berdakwah kepada mereka supaya lebih mengenali Islam dengan harapan mereka akan dikurniakan hidayah oleh Allah SWT” - Firdaus Wong Wai Hung, Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM)

Tahun Baharu Cina tak halang persaudaraan, kekeluargaan

Bagi masyarakat Cina Muslim, perbezaan agama tidak menghalang mereka daripada meraikan Tahun Baharu Cina selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Malah perayaan yang disambut bagi menandakan kedatangan tahun baru mengikut kalendar Lunar itu turut dijadikan wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan dengan ahli keluarga dan rakan yang masih belum memeluk Islam.

Presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Hung, berkata masyarakat perlu membezakan antara perayaan kebudayaan dan keagamaan, apatah lagi Tahun Baharu Cina itu sendiri lebih bersifat kepada perayaan kebudayaan.

Tambah Firdaus, sekiranya ia adalah perayaan berbentuk kebudayaan, ada sedikit kelonggaran bagi penganut Islam untuk meraikannya bersama ahli keluarga yang masih belum Islam.

“Secara peribadi, selepas memeluk Islam saya semakin rapat dengan ibu dan bapa. Saya berasakan memiliki tanggungjawab yang besar untuk berdakwah kepada mereka supaya lebih mengenali Islam dengan harapan mereka akan dikurniakan hidayah oleh Allah SWT.

“Cuma bezanya selepas memeluk Islam, saya tidak meraikan Tahun Baharu Cina seperti dahulu kerana sebagai Muslim, Aidilfitri dan Aidiladha adalah perayaannya.

Cuba berdakwah

“Dahulu saya mungkin menyambut Tahun Baharu Cina dengan meminum arak dan berjudi bersama saudara mara apabila mereka berkunjung, tetapi sekarang saya lebih banyak berborak dan cuba berdakwah,” katanya.

Tegas Firdaus, sekiranya berpeluang beliau akan membawa ibu bapanya menziarahi rumah saudara mara selain turut sama membeli keperluan untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

“Saya juga berkongsi informasi dengan ibu bapa bahawa sebagai Muslim saya tidak boleh membantu mereka membeli, mengangkut atau membawa arak ke dalam kenderaan saya dan mereka akur.

“Pada peringkat awal memang mereka kurang selesa, tetapi sekarang mereka semakin memahami,” katanya.

Firdaus berkata, sebagai seorang Muslim juga, beliau berasakan ada hikmah besar di sebalik tradisi masyarakat Cina yang akan mengadakan majlis makan besar sehari sebelum menyambut Tahun Baharu Cina.

Katanya, tradisi makan besar bersempena Tahun Baharu Cina adalah hari yang mengumpulkan semua ahli keluarga jauh dan dekat kerana masing-masing akan pulang ke kampung halaman untuk bersama ahli keluarga lain.


Sambutan Tahun Baharu Cina wadah eratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan.- Foto Hazreen Mohamad

Rapatkan silaturahim

“Tradisi seperti ini sebenarnya sangat bersesuaian dengan ajaran Islam yang menggalakkan kita untuk merapatkan silaturahim tanpa mengira masa dan tempat. Malah Tahun Baharu Cina ini juga menjadi peluang untuk bertemu dengan saudara mara dan rakan yang lama berpisah tapi menjadikan hari perayaan itu masa untuk berjumpa dan bertanya khabar,” katanya.

Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Barang siapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim”. (HR. Bukhari dan Muslim).

Pada masa sama, jelas Firdaus tidak ada masalah bagi masyarakat Islam untuk mengucapkan ‘gong xi fai cai’ kerana ia tidak bertentangan dengan Islam malah ia adalah kata-kata yang baik.

“Gong xi dalam bahasa Mandarin bermaksud tahniah manakala fa cai itu boleh difahami sebagai bertambah rezeki atau bertambah tuah. Tiada masalah untuk mengucapkannya, tetapi mungkin sebagai Muslim kita boleh menggunakan ayat yang lebih bermakna seperti semoga Tuhan memberkati kita atau bagi yang ingin mengambil pendekatan berhati-hati, boleh sahaja ucapkan selamat bercuti,” katanya.

Firdaus berkata, walaupun masyarakat Cina mempunyai banyak pantang larang pada waktu perayaan tahun baharu, sebagai seorang Muslim seharusnya lebih percaya kepada kekuasaan Allah SWT.

“Dalam kepercayaan masyarakat Cina banyak pantang larang kerana dibimbangi akan menolak rezeki. Namun kita perlu meletakkan kepercayaan dan kekuasaan kepada Allah SWT sebagai sumber segala rezeki.

“Malah dalam Islam sendiri, Rasulullah SAW mengajar kita kaedah untuk berdepan dengan perkara yang kurang digemari misalnya Baginda akan melakukan perkara yang disukainya dan meninggalkan perkara yang tidak digemari.

“Malah Islam sendiri melarang umatnya untuk melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syariat kerana dibimbangi boleh menyebabkan akidah terpesong,” katanya.

Pada masa sama, jelas Firdaus, beliau mengakui kagum dengan sikap masyarakat Islam hari ini yang terbuka apabila turut sama meraikan Tahun Baharu Cina. Malah, tidak dinafikan juga terdapat masjid yang juga menganjurkan sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina untuk meraikan golongan Cina Muslim dan juga bukan Islam.

“Secara umum tiada masalah andai tujuannya adalah untuk dakwah kerana boleh menarik masyarakat bukan Islam ke masjid dan selain membuka ruang untuk berdakwah kepada mereka.

“Malah jika diadakan jamuan atau majlis, ia boleh diadakan di pekarangan masjid dan pihak masjid juga menyediakan jubah atau kain sarung bagi memudahkan masyarakat belum Muslim menziarahi masjid,” katanya.

946 dibaca
Berita Harian X