Isnin, 4 Februari 2019 | 6:35am
Islam dapat dilihat berkembang pesat di Mexico berikutan ramai wanita mengenakan hijab selain kelas pengajian Islam dan al-Quran bebas diadakan di masjid tempatan. - Gambar hiasan

Islam mula 'tawan' Amerika Latin

Ketika media Barat sering mengaitkan Islam dan penganutnya dengan keganasan hingga mencetuskan kontroversi, ketakutan dan kebencian khususnya Eropah, ramai tidak menyedari kewujudan dan penyebaran syiar Islam di rantau Amerika Latin pada abad ke-21 ini.

Walaupun secara tradisinya, rantau itu dikenali dengan masyarakat beragama Roman Katolik yang kuat, ia juga menjadi tanah air kepada masyarakat Islam yang datang daripada pelbagai latar belakang budaya dan amalan sejak berabad lalu.

Hubungan dunia Islam dengan rantau Amerika Latin dikatakan wujud sejak zaman penjajahan dan penerokaan ‘Dunia Baharu’ oleh kerajaan Sepanyol di benua Amerika pada abad ke-16 yang ketika itu, Sepanyol dan Portugal baru saja mempunyai sejarah dengan pemerintahan Empayar Islam Uthmaniyyah.

Sejarawan Islam berpendapat mungkin ada dalam kalangan pelayar, penterjemah atau hamba abdi dari Afrika yang menyertai pengembaraan bersama Columbus itu, beragama Islam.

Pakar sejarah Islam, Dr Youssef Mroueh, mengatakan Islam mungkin sudah datang jauh lebih awal sebelum ketibaan Columbus, iaitu abad ke-12 berdasarkan bukti kewujudan masjid di kepulauan itu.

Kedatangan pendatang Islam ke rantau itu semakin rancak melalui beberapa gelombang migrasi kaum Arab pada 1920 dan dekad 1960-an, iaitu selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Walaupun sebahagian besar mereka beragama Kristian, terdapat segelintir orang Arab yang beragama Islam turut berada di dalam kelompok itu.

Penduduk Islam cecah 5 juta

Mereka dirujuk sebagai Los Turcos dalam bahasa Sepanyol atau rakyat Turki kerana datang ke negara Amerika Latin menggunakan pasport Turki yang dikeluarkan oleh empayar Uthmaniyyah.

Jumlah terkini penduduk Islam di rantau Latin Amerika dianggarkan mencecah 5 juta daripada jumlah penduduk di Amerika Latin berjumlah 620 juta penduduk.

Walaupun populasi Islam di kebanyakan negara Amerika Latin masih kurang daripada 1 peratus, terdapat beberapa negara di rantau itu yang melebihi paras berkenaan, iaitu antara 1 juta hingga 1.5 juta di Brazil, sekali gus mencatatkan rekod paling tinggi di rantau itu, diikuti dengan Argentina sebanyak 600,000 hingga 700,000 penduduk beragama Islam.

Umat Islam di rantau itu dapat dibahagikan kepada dua kumpulan utama, iaitu pendatang dan saudara baharu. Kebanyakan pendatang berasal dari Lubnan, Syria dan Palestin dengan majoriti ialah usahawan berjaya dan memiliki kedai perniagaan sendiri selepas berhijrah.

Selain monopoli perniagaan, sebahagiannya cukup dikenali dalam dunia politik seperti bekas Presiden Argentina dan bekas Timbalan Presiden Venezuela ke-28, Tareck Zaidan El Aissami Maddah.

Walaupun ramai mengalami asimilasi ke dalam cara hidup Katolik, ada yang setia mengamalkan ajaran Islam. Golongan ini masih menjalani cara hidup Islam sambil menghormati dan mengintegrasikan diri dengan budaya tuan rumah.

Ekoran perkahwinan campur dan pemelukan Islam oleh saudara baharu Latin yang semakin meningkat, Islam menjadi antara agama paling pesat berkembang di Amerika Latin.

Terdapat bukti menunjukkan pendakwah Muslim yang berpusat di Sepanyol dan persatuan komuniti Islam serantau menembusi masyarakat peribumi di kawasan perkampungan yang kurang mendapat perhatian. Dakwah dan kelas terbuka mengenai Islam, al-Quran dan bahasa Arab turut diadakan di masjid tempatan.

Walaupun kemunculan Islam baru dirasai masyarakat Latin melalui percambahan pembinaan masjid di ibu kota dan kawasan luar bandar, perluasan bekalan makanan serta sijil halal, restoran Arab dan wanita berhijab di kota raya, pengaruh Islam sebenarnya wujud dalam kehidupan seharian sejak dahulu tanpa disedari.

Pengaruhi budaya, politik masyarakat Latin

Umat Islam mempunyai pengaruh besar terhadap budaya dan politik masyarakat Latin melalui peninggalan tamadun Islam di Sepanyol.

Oleh itu, kita dapat melihat pengaruh terhadap masyarakat Latin dengan ribuan pinjaman perkataan daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Sepanyol seperti ojala bermaksud jika dikehendaki Allah; arroz (beras); azucar (gula) dan azul (biru).

Selain kosa kata, pengaruh Islam melalui bahasa Arab dapat dilihat dengan jelas pada nama tempat seperti Guadalajara di Mexico.

Bawa unsur estetik

Orang Sepanyol juga membawa unsur estetik mereka yang mempunyai sisa pengaruh Islam ke dunia Latin dari sudut corak, warna dan seni bina terutama gereja yang diinspirasi dari istana Alhambra yang suatu ketika dahulu cukup hebat dan terkenal di Granada, Sepanyol.

Sebagai contoh, antara gereja Katolik di Lima, Peru mempunyai bumbung berbentuk kubah yang menyerupai seni bina Islam bagi sebuah masjid.

Pendatang dari Lubnan yang menetap di Mexico membawa makanan tradisi mereka bersama. Mereka memperkenalkan shawarma, tetapi rakyat Mexico pada waktu itu tidak gemar makan daging lembu, maka terhasilnya satu gabungan resipi Arab dengan cita rasa rakyat Mexico menggunakan daging khinzir yang dinamakan Tacos Arabes. Ia kini menjadi makanan sinonim dengan identiti Mexico.

1771 dibaca
Berita Harian X