Sabtu, 2 Februari 2019 | 6:16am
- Gambar hiasan

Lebih afdal anak urus jenazah ibu, bapa

Ilmu pengurusan jenazah sering kali tidak diambil peduli oleh sebahagian masyarakat hingga apabila berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga menyebabkan mereka tidak tahu untuk menguruskan jenazah terbabit.

Tanpa pengetahuan mengenai pengurusan jenazah itu, tanggungjawab terpaksa diserahkan kepada orang lain.

Pendakwah, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, berkata walaupun pengurusan jenazah hukumnya fardu kifayah, kita perlu mengambil tahu dan mempelajarinya seperti bidang lain kerana kematian ialah hakikat yang pasti berlaku.

Katanya, sekiranya berlaku kematian, terutama dalam ahli keluarga, kita perlu tahu tindakan pertama yang perlu dilakukan kepada si mati.

“Kita perlu cermat dalam menguruskan jenazah dan juga perlu tahu perkara yang wajib, sunat serta sekadar adat dalam masyarakat saja.

“Ini bagi mengelakkan perkara yang sekadar adat dianggap sebagai wajib dilakukan dalam menguruskan jenazah.

“Pengurusan jenazah ini sebenarnya mudah dilakukan, tetapi dianggap sukar apabila tidak mempelajari,” katanya.

4 rukun urus jenazah

Muhammad Rafieudin berkata, dalam menguruskan jenazah juga hanya terdapat empat rukun, iaitu memandikan, mengkafan, solat dan mengebumikan.

Katanya, apabila disahkan meninggal dunia, anggota keluarga perlu menyegerakan pengurusan jenazah dengan memandikan, kafan dan solat.

“Pengurusan jenazah sering kali tertangguh disebabkan beberapa halangan dalam urusan pengebumian seperti menunggu ahli keluarga dan waris lain, selain kematian berlaku pada malam hingga urusan pengebumian terpaksa ditangguhkan keesokan harinya.


Temubual Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, 27 di Taman Melati. - Foto Salhani Ibrahim

“Sekiranya jenazah lambat diuruskan, jasad mula mengeras dan membengkak serta mula mengeluarkan bau hingga mungkin boleh mendatangkan aib kepada si mati sedangkan Rasulullah SAW menyuruh kita untuk berkata perkara baik kepada orang yang sudah meninggal dunia.

“Jadi sebaik sahaja disahkan meninggal dunia, sebaiknya terus menguruskan jenazah dengan memandikan, kafan dan solat walaupun terhadap beberapa orang jemaah. Sekiranya ingin melakukan solat jenazah sekali lagi, ia sudah menjadi sunat.

“Urusan pengebumian boleh dilakukan selepas segala urusan termasuk mendapatkan permit kubur diselesaikan,” katanya.

Muhammad Rafieudin berkata, ilmu pengurusan jenazah juga perlu dipelajari sebagai peringatan kepada diri sendiri dalam menghadapi kematian.

Sejak kebelakangan ini, semakin ramai menyedari kepentingannya dan mula mencari ilmu pengurusan jenazah.

“Tidak dinafikan ada kepercayaan khurafat seperti bimbang terkena badi mayat hingga takut terbabit menguruskan jenazah, sedangkan kita perlu percaya dengan kekuasaan Allah SWT dan meletakkan niat baik ketika menguruskan jenazah.

“Pengurusan jenazah juga memerlukan kita berlaku baik dengan menguruskan dengan lembut dan teliti agar tidak menyakiti jasad jenazah terbabit,” katanya yang sudah 15 tahun berpengalaman dalam soal pengurusan jenazah.

Malah Muhammad Rafieudin mengakui berdasarkan pengalamannya menguruskan jenazah, kebanyakan yang terbabit adalah golongan berusia sedangkan lebih baik sekiranya urusan itu dapat dilaksanakan bersama orang muda.

“Kami mahu lebih ramai tenaga mahir dalam mengurus dan mengendalikan jenazah. Sekiranya dilakukan orang muda, tentu sekali ia lebih mudah dan berjalan dengan lebih lancar.

“Seeloknya juga, setiap rumah ada sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga tahu cara menguruskan jenazah.

“Lebih afdal dalam Islam, anak mengendalikan pengurusan jenazah sehingga selesai untuk mengelakkan aib ibu bapa terdedah,” katanya.

Khidmat kemanusiaan

Pengalaman luas dalam menguruskan jenazah juga membuka mata Muhammad Rafieudin untuk menubuhkan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam kerja amal menguruskan jenazah.

Muhammad Rafieudin dan pasukannya sudah banyak terbabit dalam pengurusan jenazah seperti jenazah anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan menguruskan jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Selain itu, SPJM juga baru-baru ke Palu, Indonesia untuk untuk menguruskan mangsa yang terkor-ban dalam bencana tsunami yang berlaku di sana.

Muhammad Rafieudin berkata, penubuhan NGO terbabit sebagai khidmat kemanusiaan tanpa memikirkan keuntungan bagi membantu umat Islam terutamanya yang kurang berkemampuan untuk menguruskan jenazah.

Malah dalam masa yang sama melatih lebih ramai umat Islam untuk terbabit dalam aktiviti kemanusiaan dan kesukarelawanan.

“Dengan peningkatan kos sara hidup menyebabkan ada yang tidak mampu dan kurang kemampuan untuk menguruskan jenazah apabila berlakunya kematian.

“Sebagai solusinya, orang Islam yang boleh mendapatkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma dan membayar mengikut kemampuan.

“Skuad ini juga ditubuhkan sebagai persediaan sekiranya berlakunya bencana kerana amat diperlukan untuk menguruskan mangsa yang terkorban,” katanya.

804 dibaca
Berita Harian X