Khamis, 31 Januari 2019 | 8:45pm
Pelajar tahfiz Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman, Selama, menyantuni warga emas pelbagai kaum dan agama di Rumah Seri Kenangan. - Foto BERNAMA

Pelajar tahfiz santuni warga emas pelbagai kaum, agama

TAIPING: Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman, Selama, mencipta kelainan apabila menyantuni golongan warga emas pelbagai kaum dan agama menerusi pelbagai program santai di Rumah Seri Kenangan di sini, hari ini.

Pusat tahfiz dari Kampung Seri Malau Dalam, Selama itu menekankan konsep Blessing For All atau Rahmatan Lil Alamin dengan membabitkan warga emas termasuk kaum Cina dan India.

Mudir Pusat Pengajian Tahfiz Ar-Rahman, Abdullah Aiman Rusydi Abdullah, 27, berkata konsep Blessing For All itu bagi menepis sentimen agama dan perkauman yang sering dikaitkan dengan pusat tahfiz.

“Dalam menceriakan 35 warga emas di sini, kami mengadakan persembahan seperti nasyid, dikir barat dan deklamasi sajak, sekali gus menjadi pusat tahfiz pertama sebegini di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Blessing For All dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Taiping.

Abdullah Aiman berkata, pelajar tahfiz yang mendalami ilmu al-Quran dan sunnah diajar bukan sahaja untuk menjaga keharmonian sesama umat Islam dan agama, bahkan didedahkan tanggungjawab membawa mesej rahmat kepada seluruh manusia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Katanya, semua pengusaha pusat tahfiz perlu membuktikan institusi pengajian mereka dilengkapi silibus pendidikan duniawi dan ukhrawi, mempunyai sistem pengurusan sekolah kukuh dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi serta pihak tertentu. – BERNAMA

178 dibaca
Berita Harian X