Selasa, 29 Januari 2019 | 3:17pm
Penolong Pengurus Unit Syariah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abdul Rahman (kanan). - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Simpanan kanak-kanak lebih RM13,968 wajib zakat

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu mengeluarkan zakat simpanan bagi harta anak yang melebihi nisab atau had minimum ditetapkan.

Penolong Pengurus Unit Syariah Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Husni Abdul Rahman, berkata ini kerana syarat wajib zakat tidak menetapkan syarat baligh atau berkaitan umur.

“Syarat wajib zakat mestilah Islam, merdeka, memiliki harta dan cukup haul, iaitu tempoh setahun serta sampai kepada nisab atau paras minimum yang menentukan kewajipan zakat itu dikeluarkan.

“Tidak kira sesiapa termasuk kanak-kanak, hatta orang yang tidak siuman sekalipun sekiranya memiliki harta melebihi nisab, ia tetap tertakluk kepada tuntutan zakat.

“Ini termasuk bayi sekiranya sejumlah wang disimpan selepas kelahirannya, wali atau penjaga yang bertanggungjawab ke atas harta perlu menunaikannya apabila cukup haul,” katanya ketika ditemui dalam Wawancara Khas Zakat Simpanan di PPZ-MAIWP di sini, hari ini.

Ahmad Husni berkata, ramai ibu bapa yang sedar kewajipan menunaikan zakat simpanan tetapi terlupa harta anak-anak juga dituntut kewajipan itu jika memenuhi syarat wajib zakat.

“Setakat ini, kebanyakan penyumbang bagi zakat simpanan ialah golongan berusia 50 tahun ke atas, bekerja dan mempunyai simpanan sendiri.

“PPZ-MAIWP melancarkan tabung Didik Zakat yang bertujuan melatih anak kecil supaya ada kesedaran pada awal usia mengenai kewajipan berzakat.

“Tujuan tabungan ini bukan hanya untuk memelihara dan memperbanyakkan harta, bahkan memberi kesedaran kepada mereka dalam menunaikan ibadat zakat,” katanya.

Simpanan melebihi nilai nisab perlu membayar zakat mengikut kadar 2.5 peratus, iaitu mengikut kiraan terkini bersamaan dengan 85 gram emas atau RM13,968.

1849 dibaca
Berita Harian X