Jumaat, 18 Januari 2019 | 7:42am
MENGHAFAZ al- Quran menjadi rutin wajib pelajar Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Tahfiz Dhiya Ul Islah impian 'sahabat' Syria

• Pergolakan di Syria pada 2010 memaksa ramai pelajar Malaysia yang menuntut ilmu di negara bergolak itu, pulang ke tanah air atas faktor keselamatan.

• Mohd Nazri Abd Rahman, antara yang terbabit situasi itu terpaksa menerima hakikat menyambung pengajian di tanah air. Beliau kini Mudir di Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah di Kampung Semarak di Kuala Lumpur, yang dibangunkan bersama beberapa rakan yang pernah menuntut bersama dengannya di Syria.

• Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah dibangunkan pada 2010 di bekas Surau Al-Ikhlasiah di Kampung Semarak.

• Lokasi asal adalah kawasan setinggan

• Menempatkan kira-kira 50 pelajar tahfiz berusia 13 hingga 18 tahun

• Surau lama dan asrama sekolah agama yang ditinggalkan dibaiki dan menempatkan pelajar

• Selain subjek tahfiz, turut diajar aktiviti memanah, qasidah dan taranum


MAAHAD Tahfiz Dhiya Ul Islah dibina di tapak kawasan setinggan di Kampung Semarak, di Jalan Sultan Yahya Petra. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

SESI berkumpulan menguatkan lagi ukhuwah antara pelajar dan tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Tekad untuk terus mengukuhkan ukhuwah dan persahabatan yang terbina bersama rakan yang sama-sama menuntut di Syria, Mohd Nazri Abd Rahman, menubuhkan Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah.

Menjadikan kawasan bekas setinggan di Kampung Semarak, di sini, sebagai tapak, Mohd Nazri dibantu beberapa rakan membangunkan maahad tahfiz berkenaan sebagai platform untuk mereka bersama-sama menyebar ilmu.

Mohd Nazri berkata, penubuhan pusat pengajian tahfiz terbabit untuk memastikan ilmu diperoleh sepanjang pengajian agama di negara ramai ulama dan wali itu dapat diperturunkan kepada pelajar di sini.

“Terdapat surau lama dan asrama sekolah agama yang ditinggalkan. Jadi kami ambil alih dan baiki kerosakan bangunan terbabit.

“Sepanjang sembilan tahun bertapak di sini, banyak pengubahsuaian dilakukan untuk memberi keselesaan kepada pelajar. Alhamdulillah kita dapat banyak sokongan bukan saja daripada rakan, bahkan ulama daripada Syria,” katanya.

Mohd Nazri berkata, selain guru tempatan beliau turut mengundang atau guru ternama daripada Syria untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar di sini.

“Ia sebenarnya nilai tambah kepada pelajar untuk menceduk ilmu daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan ilmu tinggi.

“Harapan kami besar untuk menghantar pelajar mengikuti pengajian di Syria sekiranya peperangan tamat. Kami mahu melihat pelajar di sini meneruskan impian kami yang tidak kesampaian untuk menamatkan pengajian di Syria,” katanya.


MUDIR Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah, Mohd Nazri Abd Rahman. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

KEDUDUKAN Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah di tengah bandar raya Kuala Lumpur, dianggap sebagai cabaran buat pelajar dan tenaga pengajar. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Cabaran bangunkan tahfiz tengah bandar raya

Mohd Nazri berkata, membangunkan pusat pengajian tahfiz di bandaraya dan dikelilingi pembangunan, bukannya semudah yang disangka.

Tidak hairanlah beliau juga risau dengan masalah disiplin yang mungkin akan membelenggu pelajar tahfiz.

Namun, beliau berbangga apabila sembilan tahun maahad tahfiz dibangunkan, ramai pelajar berjaya dilahirkan dan ada yang dihantar untuk menyambung pengajian di Yaman, Mesir dan Indonesia.

“Kami sentiasa memantau dan memberi nasihat kepada pelajar, tetapi semuanya bergantung kepada pelajar itu sendiri.

“Kami tanam dalam diri mereka supaya memagar diri daripada melakukan perkara yang boleh mengganggu pengajian mereka,” katanya.

Mohd Nazri berkata, pihaknya mahu menjadikan pelajar sebagai ikon kepada rakan sebaya lain yang menetap di kawasan perumahan berhampiran dengan maahad tahfiz.

“Kami mahu masyarakat setempat mesra dengan pihak maahad tahfiz. Jadi kami membuka pintu kepada mereka untuk mendapat maklumat mengenai institusi tahfiz.

“Secara tidak langsung, ia dapat menangkis tanggapan buruk yang dilemparkan kepada institusi tahfiz,” katanya.


MENGHAFAZ al- Quran menjadi rutin wajib pelajar Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

SELAIN menghafaz al-Quran, memanah turut menjadi pengisian buat murid di Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Beliau berkata, selain pengajian al-Quran yang menjadi teras kepada pendidikan di tahfiz, pelajar turut didedahkan dan diselit dengan aktiviti seperti memanah, qasidah serta taranum.

“Pelajar tahfiz juga tidak boleh berdepan seharian dengan hanya membaca dan menghafaz al-Quran, sebaliknya perlu aktiviti yang dapat mengurangkan tekanan mereka.

“Jadi aktiviti sampingan disediakan untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi,” katanya.

Berita Harian X