Khamis, 10 Januari 2019 | 12:21pm
Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor pada Tausiyah Khas di Masjid UKM, Bangi. - Foto Aswadi Alias.

Membalas cinta Nabi kepada umat tiada batasan

CINTA luar biasa Nabi Muhammad SAW terhadap umatnya hingga berasa rindu untuk bertemu dan membela kita, menjadi asas penting untuk setiap Mukmin membuktikan keimanan serta kecintaan kepada Baginda.

Walaupun umat selepas kewafatan Rasulullah SAW tidak pernah berjumpa dan melihatnya, Baginda sudah mengungkapkan kerinduan dan kecintaan itu.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersama sahabatnya pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin pada hatiku seandainya dapat melihat saudara kita.”

Sahabat RA bertanya: “Apakah kami ini bukan saudaramu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kamu semua ialah sahabatku, sedangkan saudara kita ialah (orang Mukmin) yang belum muncul (yang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).” (HR Malik, Muslim, Ibn Majah dan Nasa’ie)


Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor pada Tausiyah Khas di Masjid UKM, Bangi. - Foto Aswadi Alias.

Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor, berkata orang Islam perlu berbangga menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana Baginda amat merindui dan ingin berjumpa dengan umatnya selepas kewafatannya.

“Di Padang Mahsyar kelak, Rasulullah SAW akan menjadi tumpuan umat manusia untuk mendapatkan syafaat Baginda.

Manusia dalam kebingungan

“Seluruh umat manusia ketika itu dalam kebingungan dan ketakutan hingga mencari Nabi yang dapat membela mereka di hadapan Allah SWT.

“Akhirnya, mereka mendapatkan pertolongan Rasulullah SAW apabila Baginda memohon kepada Allah SWT untuk menyelesaikan penderitaan yang ditanggung itu,” katanya pada Majlis Tausiyah di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Habib Hasan berkata, malah Rasulullah SAW tidak pernah lekang dalam mendoakan umatnya. Sehingga akhir hayat, Baginda masih lagi mengingati kita.


Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor pada Tausiyah Khas di Masjid UKM, Bangi. - Foto Aswadi Alias.

Beliau memetik kisah Rasulullah SAW yang berada di rumah Aisyah RA dan bangun bermunajat pada malam hari, hingga Ummul Mukminin terjaga dan mendengar Rasulullah SAW berdoa untuknya: “Ya Allah, ampunilah Aisyah daripada dosa lalu, yang akan datang, tersembunyi dan terlihat.”

Mendengar doa itu tentunya membuatkan Aisyah RA gembira kerana Rasulullah SAW mendoakannya secara khusus, tetapi Baginda menjelaskan doa itu bukan saja untuk isterinya, bahkan kepada umatnya yang lain.

“Jadi, melihat kecintaan dan keprihatinan Rasulullah SAW kepada umatnya itu, kita wajib untuk mencintai Baginda sepenuh hati,” katanya.

Habib Hasan turut melontarkan pertanyaan sama ada kecintaan kita boleh mengatasi kecintaan Sahabat RA kepada Baginda kerana mereka sendiri tidak mampu untuk berpisah lama dengan Baginda kerana perasaan cinta dan rindu itu.


Pengasas Yayasan Pondok Pesantren Nurul Oman Kraksan Probolinggo Jawa Timur, Habib Hasan Ismail Al-Muhdor pada Tausiyah Khas di Masjid UKM, Bangi. - Foto Aswadi Alias.

Tak boleh tidur rindu Rasulullah

“Ketika Rasulullah SAW dalam perjalanan dakwah dan sahabat RA sudah tiga hari tidak berjumpa dengan Rasulullah SAW, mereka sudah berasa rindu hingga tidak boleh tidur kerana perasaan yang terlalu mendalam kepada Baginda.

“Wanita soleh, Rabiatul Adawiyah beribadat dan taat kepada Allah SWT, malah dalam munajat kepada Tuhan, beliau bukan ingin masuk syurga ataupun takut masuk neraka, sebaliknya untuk menggembirakan Rasulullah SAW,” katanya.

Justeru, Habib Hasan berkata, sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW kita perlu sentiasa mengingati Baginda dengan memperbanyakkan selawat dan mengamalkan sunah Baginda.

103 dibaca
Berita Harian X