Isnin, 7 Januari 2019 | 7:00am
Dakwah jalanan dan hari hijab antara kaedah digunakan untuk menyantuni bukan Islam di luar negara. - Gambar hiasan

Contohi Rasulullah santuni bukan Islam

Antara keistimewaan Malaysia jika ditanya kepada mereka di luar negara, antara yang sering disebut tentu kepelbagaian bangsa dan keharmonian masyarakatnya.

Hakikatnya kemajmukan umat manusia bukan hal baharu, malah ia turut disebut dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan serta Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)

Kemajmukan masyarakat menambah keunikan kita sebagai rakyat di negara yang berdaulat, tetapi ada ketikanya kebersamaan yang dimiliki turut diuji dengan pergolakan sama ada disebabkan salah faham, ketamakan atau sifat mementingkan diri.

Banyak formula boleh digunakan untuk memperbaiki perselisihan dan salah faham dalam masyarakat, tetapi menurut Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Munir Md Salleh, kaedah paling baik adalah dengan mengikuti akhlak dan ajaran Rasulullah SAW.

Bagaimanapun apa yang berlaku kini, ajaran Rasulullah SAW tidak lagi ‘dimesrai’ dan dijadikan ikutan dalam kehidupan seharian seperti banyak dilakukan sahabat RA pada zaman salafussoleh.

Didikan Rasulullah

Apabila timbul masalah membabitkan hubungan sesama manusia, kita cenderung mengikut hawa nafsu dan amarah yang seterusnya menyebabkan berlaku pelbagai persengketaan hingga menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Munir berkata, kelompongan hubungan sesama manusia itu tidak akan berlaku jika setiap aspek kehidupan Rasulullah SAW dijadikan panduan kepada seluruh masyarakat termasuk dalam hubungan Baginda sesama manusia.

Kekurangan dalam mengikuti ajaran Rasulullah SAW itu kata Munir, menjadi masalah utama kita hari ini hingga akhirnya ‘menarik’ manusia kepada pelbagai pertelingkahan.

“Cabaran masyarakat berbilang kaum bukan perkara baharu, malah sudah berlangsung sejak zaman Rasulullah SAW, tetapi Baginda menonjolkan kebijaksanaannya dalam memastikan hubungan itu berlangsung dengan aman.

“Bahkan pada ketika itu, Baginda dan umat Islam yang lain dapat berniaga dan diterima bukan Islam yang tentu menarik untuk kita sebagai umatnya renungi serta pelajari pendekatan Baginda dalam aspek hubungan sesama manusia ini.

“Jika kita mengikuti apa yang diajarkan Nabi SAW dalam setiap aspek kehidupan, tentu akhirnya semakin kurang berlaku kepincangan kepada masyarakat hari ini,” katanya kepada BH selepas Majlis Penghargaan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan di Kompleks Pusat Islam, JAWI, di Kuala Lumpur.

Sebagai agensi agama di negara ini, JAWI bersesuaian dengan peranannya, sentiasa cuba menghidupkan ajaran Rasulullah SAW dalam sebarang acara dan kempen yang diadakan termasuk mendekati serta menyantuni masyarakat bukan Islam.

“Selain mendekati masyarakat Orang Asli seperti acara kami baru-baru ini, JAWI juga akan memanjangkan acara mendekati masyarakat bukan Islam melalui penyertaan pada sambutan besar diraikan mereka termasuk Tahun Baharu Cina dan Deepavali, selagi ia tidak melanggar akidah umat Islam.


Dakwah jalanan dan hari hijab antara kaedah digunakan untuk menyantuni bukan Islam di luar negara. - Gambar hiasan

Dekati bukan Islam

“Kita mahu mendekati rakan bukan Islam, sekali gus membolehkan mereka mengenali Islam yang sebenarnya,” katanya.

Munir berkata, JAWI berusaha keras memastikan ajaran Rasulullah SAW sentiasa subur dalam kalangan umat Islam supaya Baginda tidak hanya diingati pada hari tertentu seperti pada sambutan Maulidur Rasul.

Sambutan sebegini sentiasa menjadi keutamaan dalam kalendar aktiviti agensi agama itu dan selain memperluaskan capaiannya melalui kerjasama dengan agensi serta rakan strategik lain, JAWI juga menekankan kepada usaha mendidik umat Islam untuk mencintai ajaran Rasulullah SAW sejak dari awal usia lagi.

Usaha ini antara lainnya turut dilakukan melalui modul praperkahwinan yang diadakan JAWI dengan tumpuan diberikan kepada penekanan usaha mendidik bakal pasangan suami isteri supaya menerapkan ajaran terbaik oleh Rasulullah dalam perkahwinan

“Jika pepatah melentur buluh sering digunakan bagi merujuk kepada didikan awal terhadap anak. kami di JAWI pula merujuknya sebagai keperluan mendidik bakal pasangan suami isteri itu sendiri.

“Kita mahu institusi perkahwinan umat Islam di negara ini dapat ditegakkan melalui asas yang kukuh, sekali gus membolehkan ajaran Islam itu sendiri dititikberatkan dalam kehidupan berkeluarga mereka nanti.

“Dengan cara ini baru kita dapat memastikan meskipun Rasulullah itu sudah terlalu lama kewafatannya, tetapi ajaran Baginda terus menyubur dan hidup dalam kalangan umatnya,” katanya.

500 dibaca
Berita Harian X