Ahad, 6 Januari 2019 | 4:20pm
Nicholas Sylvester. - Grafik BH

Nicholas Sylvester terus santuni ibu bapa lain agama

KUALA LUMPUR: Ketika berusia 12 tahun, Nicholas Sylvester, 52, pernah dibaptiskan malah dipilih sebagai Soldiers of Jesus Christ. Keluarganya pula kuat mengamalkan ajaran Kristian dengan bapanya sendiri mengajar di gereja, manakala ibu menjadi penggerak kepada kaum wanita.

Namun, sifat mencari kebenaran dan pemerhatian yang dilakukan menyebabkan Nicholas mengambil keputusan untuk memeluk Islam pada 1985 ketika melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang juga Pengerusi Hidayah Center Foundation (HCF) berkata, hatinya tertarik untuk mendekati Islam ketika bersekolah di Sekolah Tinggi Batu Pahat kerana melihat kehidupan pelajar Islam yang patuh kepada ajaran agama.


Nicholas Sylvester. - Foto Eizairi Shamsudin

“Ketika bersekolah dan menetap di asrama, saya melihat kehidupan orang Islam dengan lebih dekat. Saya hairan kerana orang Islam masih melaksanakan ajaran kitabnya sedangkan orang Kristian sudah meninggalkannya.

“Soal ibadat solat contohnya, orang Kristian tidak pernah sujud dalam gereja tetapi orang Islam melakukannya dalam solat. Begitu juga nabi sehingga Nabi Isa AS bersujud.

“Timbul persoalan dalam diri ketika itu, siapa yang Nabi AS sembah? Malah baginda pernah ditanya, siapa yang Baginda sembah dan jawapannya adalah Tuhan yang satu dan dari situ, saya menemukan Islam,” katanya dalam pertemuan di pejabat Hidayah Centre Foundation (HCF), Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur.

Nicholas berkata, keputusan memeluk Islam bukan mudah dilakukan tetapi mengambil sabda Nabi Isa AS, iaitu: “Apabila mencari kebenaran dan ia akan melepaskan kamu,” beliau mengambil keputusan mengucap syahadah.

“Saya melihat hikmah memeluk Islam ketika di AS kerana mempunyai banyak masa sebelum mengisytiharkan diri menjadi Muslim, sekali gus berpeluang mendalami agama dengan rakan di sana.

“Bagaimanapun, apabila keluarga mengetahui saya memeluk Islam, ia mendapat tentangan keluarga hingga saya dimarahi dan hampir ditumbuk.

“Namun, Islam mengajar saya supaya tidak berkasar dan melawan ibu bapa. Cuma dalam tempoh itu, saya pernah beberapa kali melarikan diri daripada rumah untuk mengelakkan pergaduhan dan pulang apabila keadaan agak reda,” katanya.


Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Nicholas Slyvester ditemubual di Hidayah Centre Foundation, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias.

Nicholas berkata, sikap yang terus menyantuni keluarga walaupun berlainan agama akhirnya menjadikan ibu bapanya boleh menerima agama Islam yang menjadi pegangannya.

“Walaupun mereka tertekan, mereka masih menerima kehadiran saya dalam keluarga. Ditambah apabila ada ahli keluarga lain juga memeluk Islam.

“Malah apabila saya berkahwin dan mempunyai cahaya mata, tentu sekali cucu itu menjadi pelembut hati mereka.

“Malah anak saya pernah mengajukan soalan kepada datuknya mengenai bilakah mereka ingin memeluk Islam tetapi beliau tidak pernah marah,” katanya.

Nicholas berkata, beliau sentiasa mengajak ibu bapanya untuk memeluk Islam dan dakwah itu tidak pernah terhenti, sekali gus berharap mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata, melihat kepada latar belakang keluarga dan saudara terdekatnya yang masih belum kembali kepada Islam juga menyentuh hatinya untuk terus berdakwah kepada mereka.

Katanya, Hidayah Centre Foundation (HCF) bertujuan membolehkan gerakan dakwah kepada bukan Islam digerakkan dengan lebih terancang dan sistematik.


Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Nicholas Slyvester ditemubual di Hidayah Centre Foundation, Pusat Bandar Melawati, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias.

“Saya risau sekiranya di akhirat nanti, saya ditanya Allah SWT mengenai apa yang saya lakukan dengan kelebihan dan pendidikan.

“Jadi saya perlu memperbetulkan keadaan dan menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat serta keluarga yang masih belum memeluk Islam.

“Malah sebagai anak kepada ibu bapa yang sedemikian, ia memberikan motivasi supaya mereka menerima agama ini dan rasa berdosa sekiranya tidak melakukan sesuatu mengajak mereka kepada Islam,” katanya.

Katanya, selain meneruskan dakwah kepada bukan Muslim, masyarakat Islam juga tidak pernah sesekali dilupakan.

“Saya merasakan usaha dakwah yang dilakukan tidak mencukupi hingga keputusan diambil untuk mewujudkan gabungan badan dan pertubuhan Islam lain yang akhirnya membawa kepada penubuhan Gabungan Dakwah Malaysia (GDM).

“Gabungan ini bukan saja menumpukan dakwah kepada masyarakat bukan Muslim, bahkan dengan

pendekatan lebih meluas, iaitu kepada Orang Asli dan masyarakat bandar,” katanya.

Nicholas berkata, pengalaman berharga itu turut dikongsi dengan pertubuhan Islam antarabangsa lain kerana kejayaan dakwah di negara masyarakat majmuk boleh menjadi contoh dan teladan,” katanya.

INFO

Nama: Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester

Tarikh Lahir: 8 Disember 1966

Tempat Lahir: Papar, Sabah

Pendidikan:

1. Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian di Arkansas State University, Amerika Syarikat

2. Ijazah Sarjana Pemasaran Strategik di University of Hull, United Kingdom

Jawatan: Pengerusi Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) dan Pengerusi Hidayah Centre Foundation

572 dibaca
Berita Harian X