Ahad, 30 Disember 2018 | 10:47am
Masyarakat memerlukan bimbingan ulama yang dapat menghuraikan permasalahan dalam agama yang dihadapi. Gambar hiasan. - Foto Mohd Yusni Ariffin

'Empat tahun tidak cukup jadi alim'

TERDAPAT banyak isu semasa berlaku dalam masyarakat yang memerlukan jawapan dengan menggunakan pendekatan kontemporari.

Ia menjadi cabaran kepada ilmuwan Islam terutama kepada kelompok muda untuk ke hadapan dalam memberi huraian dan hujahan, sekali gus memberi kefahaman kepada masyarakat.

Namun terdapat kelompongan dalam melahirkan ilmuwan muda yang berdaya saing apabila disifatkan tidak menonjolkan ciri-ciri sebagai ilmuwan dan agamawan yang disegani.


Dr Muhammad Ayman Al-Akiti. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pendakwah muda, Dr Muhammad Ayman al-Akiti, berkata dalam bidang agama, ulama terdahulu sudah meletakkan syarat untuk menjadi ustaz atau ilmuwan perlu terlebih dulu menguasai ilmu alat seperti bahasa Arab yang merangkumi nahu, sorof dan sastera balaghah yang menjadi kunci untuk memahami ilmu agama yang lain.

Katanya, seseorang agamawan yang lemah ilmu alat dikhuatiri akan turut lemah dalam ilmu yang lain tetapi sekiranya berjaya menguasai ilmu alat, maka penguasaan ilmu lain juga akan berada di atas landasan yang kukuh.

“Sebagai contoh, seseorang ustaz yang ingin membahaskan isu hadis perlu melalui pendidikan disiplin itu walaupun perkara asas.

“Ini kerana dalam membahaskan perkara berkaitan akidah juga memerlukan rujukan daripada hadis.

“Jadi apabila membahaskannya, akan ada istilah dalam bidang hadis. Jadi jangan sampai buta istilah hingga memberikan tafsiran dan kefahaman yang salah,” katanya kepada BH di sini.


Dr Muhammad Ayman Al-Akiti. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Muhammad Ayman berkata, masalah yang berlaku dalam kalangan ilmuwan muda hari ini ialah bersikap tergesa-gesa.

Beliau berkata, mereka belum cukup dewasa berdepan dengan khilaf ulama dan perbezaan pandangan dalam kalangan ilmuwan hingga ada yang cepat memberi hukuman walaupun fakta diutarakan mungkin silap atau terpesong.

“Jadi mereka mensia-siakan waktu dan adab untuk membela. Walaupun mengakui ada kesilapan, mereka sanggup kehilangan adab untuk tidak menerima perbezaan itu,” katanya.


Ulama dan ilmuwan sebenar dapat berfikiran terbuka dalam berinteraksi dengan perbezaan pendapatan. Gambar hiasan. - Foto Aizuddin Saad

Mengambil contoh di Barat, Muhammad Ayman berkata, walaupun wujud perbezaan pendapat, ilmuwan bersikap dewasa dan berfikiran terbuka dalam menerima pendapat masing-masing.

“Ada dalam kalangan ilmuwan muda ini, mereka berdarah panas hingga tidak boleh menerima perbezaan daripada orang lain hingga sanggup memburuk-buruk yang sebenarnya ialah budaya tidak sihat dalam tradisi ilmu.

“Di Indonesia, saya melihat perkara berkaitan khilaf atau perbezaan pendapat ini lebih banyak berlaku namun ilmuwan agama mereka masih boleh duduk bersama untuk berbincang,” katanya yang berkelulusan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi.

Selain itu, Muhammad Ayman berkata, ilmuwan muda tidak boleh cepat berpuas hati dengan ilmu yang dimiliki sebaliknya perlu terus menggali ilmu.


ilmu tidak boleh diperoleh secara pantas sebaliknya memerlukan waktu yang panjang melalui pengajian daurah dan talaqqi (berguru). Gambar hiasan. - Foto Salhani Ibrahim

Baginya, ilmu tidak boleh diperoleh secara pantas sebaliknya memerlukan waktu yang panjang melalui pengajian daurah dan talaqqi (berguru).

Katanya, seseorang itu tidak boleh menganggap apabila habis satu kitab bermakna pengajian sudah selesai, sebaliknya tradisi ilmu yang ditinggalkan ulama terdahulu tidak boleh diabaikan.

“Tempoh pengajian empat tahun tidak boleh dianggap sudah cukup untuk menjadi alim, sebaliknya dalam pengkaderan yang bagus, seseorang perlu fokus dalam pengajiannya yang mungkin memakan masa hingga 10 hingga 15 tahun.

“Saya melihat pengajian agama di universiti awam kita tidak menekankan ilmu alat, sebaliknya pelajar terus kepada kajian ilmiah dalam keadaan bahasa Arab dan hafazan yang masih lemah.

“Mereka perlu menguasai ilmu hingga apabila diberikan hadis, mereka tahu perawinya dan apabila diberikan kitab, mampu untuk membaca dan bercerita,” katanya.

Beliau berkata, pengajian di sekolah agama masih berputar untuk berjaya dalam peperiksaan dan bukannya apabila tamat pengajian, sudah boleh membaca kitab bahasa Arab.

Malah berbeza dengan sistem pendidikan pondok atau madrasah yang pelajar lulusannya tamat pengajian sudah boleh membaca kitab itu dengan baik.

“Kebanyakannya, apabila tamat pengajian sekolah menengah, mereka baru hendak belajar dan didedahkan dengan kitab turath. Jadi apabila masuk ke universiti, mereka masih berlatih membaca kitab.

“Di negara Arab sebagai contohnya, apabila memasuki alam universiti, pelajar sudah mampu untuk melahirkan karya dan kajian ilmiah menulis artikel serta menguraikan masalah namun ia kurang di negara ini,” katanya.

1614 dibaca
Berita Harian X