Isnin, 17 Disember 2018 | 3:59pm
Nur Afiqah Mahmud. - Foto Zunnur Al Shafiq

Nur Afiqah ingin tampil pendakwah Muslimah versatil

KUALA LUMPUR: Lahir daripada sebuah program realiti pencarian pelapis pendakwah muda, Da’i Musim Kelima, Nur Afiqah Mahmud, memanfaatkan pengalaman, peluang dan ilmu yang ada untuk terus bergelar pendakwah profesional.

Anak kelahiran Baling, Kedah berusia 23 tahun itu membuktikan kesungguhannya menerusi penubuhan syarikat memfokuskan kepada latihan dan bimbingan dinamakan Dai Afiqah Resources.

“Syarikat ini ditubuhkan pada Jun tahun ini, selepas memenangi tempat kedua Da’i Musim Kelima.

“Datang daripada latar belakang pendidikan bidang kaunseling, saya lihat ia satu kelebihan kerana saling berkait, khususnya sebagai satu kaedah dakwah.

“Menerusi Dai Afiqah Resources, saya mengatur pelbagai projek, termasuk program Muslimah First Class untuk remaja perempuan,” katanya ketika ditemu bual BH Agama.

Mengulas lanjut, Nur Afiqah berkata program ini sudah menemui remaja di tempat kelahirannya, Baling dengan sambutan diterima juga amat memberangsangkan.

“Syukur kerana lebih 400 peserta mengambil bahagian dan ia satu pengalaman cukup bermakna dan berharga dalam hidup saya.

“Program itu membabitkan remaja berusia 13 hingga 18 tahun dan antara penekanan utama adalah mengenai fekah wanita, termasuk haid, solat dan mandi hadas,” katanya.

Mengakui pengalaman dan pembabitan dalam arena dakwah masih setahun jagung, Nur Afiqah bersyukur ia dipermudahkan berkat sokongan ibu bapanya. Apatah lagi sejak kecil beliau adik-beradik diberi didikan agama yang baik oleh ibu dan ayah.

“Adakalanya ayah membawa kami mengikuti kuliah pengajian di masjid mahupun surau.

“Ketika hujung minggu, keluarga kecil kami sering mengadakan usrah. Ayah yang menjadi naqib dan mengupas topik tertentu,” katanya.

Tambah Nur Afiqah, penghayatan agama seperti solat berjemaah, membaca al-Quran sangat ditekankan dalam keluarganya. Bertitik tolak daripada itu, minatnya dalam bidang agama juga bercambah sehingga mula aktif dalam dunia dakwah ketika menuntut di universiti.

“Di sekolah saya kurang menonjol, tetapi berbeza pula ketika menyambung pengajian di universiti.

“Ketika di kampus, saya banyak terbabit dengan aktiviti kemasyarakatan, bahkan pensyarah membuka ruang untuk membabitkan diri dalam dakwah.

“Saya juga menyertai program Da’i ketika berada pada tahun akhir dan bersyukur masih mampu kekal fokus dan menghabiskan pengajian dengan keputusan cemerlang,” katanya.

Melihat dakwah itu sebagai satu cabang seni, Nur Afiqah ingin tampil sebagai pendakwah Muslimah versatil.

“Alhamdulillah saya diberi ruang menjadi pengacara televisyen, berkongsi ilmu di stesen radio, menulis artikel dan buku serta menganjurkan seminar kepada anak gadis.

“Semestinya masih banyak ruang untuk diperbaiki, apatah lagi dengan cabaran dakwah yang lebih besar bagi golongan Muslimah.

“Kami perlu kreatif dan kritis mengubah dan mengatur kaedah dakwah yang sesuai untuk bersama dengan anak muda,” katanya yang menjadikan pendakwah yang juga juri tetap program Da’i, Mohamad Zarifi Daud sebagai idola dalam bidang dakwah.

Nur Afiqah turut berkongsi cita-citanya untuk membina serta membangunkan sebuah aplikasi khas yang menjawab permasalahan wanita mengenai agama.

“Aplikasi ini boleh menjadi rujukan apa sahaja permasalahan tentang wanita.

“Mudah-mudahan memberi manfaat lebih meluas dan boleh membantu umat Islam yang berada di seluruh dunia,” katanya.

560 dibaca
Berita Harian X