Rabu, 12 Disember 2018 | 1:42pm
PERTIS menganjurkan program kelas al-Quran braille mengikut peringkat dan kemampuan OKU.

Modul Muqorobun ikut Nabi santuni OKU

TANGGAL 3 Disember lalu diisytiharkan sebagai Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia yang bertemakan Memperkasa dan Memastikan Inklusif serta Kesaksamaan bagi OKU.

Kebanyakan pertubuhan berteraskan OKU akan membuat penilaian semula sejauh mana kemajuan diperoleh berkaitan hak OKU yang dipenuhi atau bergerak ke arah lebih positif berbanding tahun sebelumnya.

Sambutan ini perlu memandangkan OKU dianggarkan 10 hingga 15 peratus daripada penduduk negara ini. Justeru, apakah pemberian hak OKU sudah dipenuhi atau sejauh mana kerajaan dan pihak terbabit melaksanakan serta membuka jalan untuk melestarikan keperluan OKU?

Tidak dinafikan sehingga 2018, banyak kemajuan dicapai dalam usaha memperbaiki tahap atau kualiti kehidupan OKU. Bidang sukan, misalnya menyerlahkan potensi OKU hingga mampu mengharumkan nama negara pada peringkat tertinggi. Namun dalam kebanyakan hal, perkembangan amat perlahan dan tidak memenuhi sasaran ditetapkan pemerintah.

Hak dalam pekerjaan misalnya, peruntukan satu peratus daripada jawatan kakitangan awam yang sepatutnya diperuntukkan kepada OKU masih jauh daripada sasarannya. Ternyata hingga kini cuma 0.22 peratus sahaja daripada kuota berkenaan berjaya dipenuhi.

Begitu juga kemudahan pengangkutan awam. Walaupun dinyatakan sistem pengangkutan awam kita antara terbaik di Asia Tenggara, realitinya saban tahun ada sahaja kes berkaitan OKU terjatuh ketika hendak menaiki kenderaan awam, termasuk transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT).

Golongan kelas kedua

Justeru, apa sebenarnya yang tidak kena kepada sistem kita yang kelihatan sering terlupa dan meminggirkan golongan OKU dalam arus pembangunan negara. Apakah golongan OKU dilihat sebagai golongan kelas kedua hingga hanya simpati dan belas kasihan sahaja layak untuk mereka?

Atas kesedaran dan keprihatinan ini, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) merangka modul OKU Muqorobun. Modul ini menawarkan kebijaksanaan yang konsepnya sudah ditunjukkan pada zaman Rasulullah SAW berserta sahabat RA.

Modul ini memberikan panduan dan saranan bagaimana OKU membina kekuatan jati diri sementara bagi masyarakat dan pihak berkuasa pula dalam menangani kepelbagaian permasalahan OKU menurut garis panduan dalam Islam.

Misalnya, ia memberi panduan kepada pihak berkaitan mengubah persepsi melihat potensi dalam diri OKU itu bukan hanya berasaskan simpati dan belas kasihan, tetapi berpandukan contoh layanan diberikan Rasulullah SAW kepada sahabatnya dalam kalangan OKU.

Sekalung tahniah dan terima kasih diucapkan kepada kerajaan Malaysia atas peruntukan belanjawan baru-baru ini, iaitu peruntukan inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional dalam kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

Pembelajaran al-Quran

Namun, PERTIS sebenarnya terlebih dahulu melangkah ke hadapan dengan merangka dan mengusahakan pelan tindakan memastikan pembelajaran al-Quran sampai kepada setiap masyarakat OKU penglihatan beragama Islam di negara ini.

Pelan Pembangunan Quran Braille ini memastikan setiap OKU Islam didedahkan dengan pembelajaran al-Quran mengikut peringkat dan kemampuan masing-masing melalui program seperti program kelas al-Quran braille, program Majlis Tilawah al-Quran Braille (MTQB), menerbitkan al-Quran braille mashaf Malaysia dan penganjuran seminar al-Quran braille.

Justeru, besar harapan kami supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau majlis agama Islam negeri dan agensi kerajaan lain bekerjasama dengan persatuan kami bagi memastikan matlamat serta objektif program pembangunan al-Quran dan pelaksanaan modul OKU Muqorobun dapat dicapai, sekali gus mengurangkan halangan seperti kekurangan dana.

Jadikan kehidupan bermakna

Masyarakat yang juga sebahagian daripada sistem sokongan perlu memainkan peranan untuk memastikan ketidakupayaan OKU dapat dikurangkan hingga dapat menjadikan kehidupan seseorang OKU lebih bermakna.

Namun, keberanian dan kekuatan serta kemampuan individu OKU dalam menyuarakan dan memperjuangkan hak menjadi pemangkin lebih berkesan bagi sesuatu perubahan kerana hanya OKU sahaja lebih memahami keperluannya.

Tiada apa diharapkan OKU, melainkan kehidupan lebih dihargai, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi serta hidup yang mempunyai maruah diri dalam kalangan masyarakat. Tiadalah erti sambutan Hari OKU Sedunia jika potensi dan kebolehan dimiliki seseorang OKU gagal diketengahkan dan dimanfaatkan.

Akhirnya konsep OKU itu sendiri berkembang atau dengan kata lain, sebelum kita dipanggil mengadap Allah SWT, kemungkinan untuk seseorang itu menjadi OKU akan tetap ada. Mudah-mudahan masyarakat Malaysia suatu hari nanti akan menjadi masyarakat madani dan inklusif yang dalamnya golongan OKU hidup sejahtera.

Penulis adalah Naib Yang Dipertua Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

170 dibaca
Berita Harian X