Khamis, 6 Disember 2018 | 10:53pm
MUHAMMAD Fiqry mengambil masa enam tahun mempelajari teknik bacaan al-Quran Braille. - NSTP/ Hafiz Sohaimi

Mata buta, hati celik al-Quran

• Di sebalik kekurangan, setiap insan memiliki kelebihan tersendiri termasuklah mereka yang diuji dengan kecacatan pancaindera.

• Bagi Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi, 23, cacat penglihatan bukan halangan, sebaliknya minat mendalam terhadap al-Quran mendorong dirinya mendalami teknik bacaan al-Quran braille sehingga dinobat Johan Qari dalam Majlis Tilawah al-Quran Braille (MTQB) 2018.


MUHAMMAD Fiqry mengambil masa enam tahun mempelajari teknik bacaan al-Quran Braille. - NSTP/ Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Mempelajari teknik membaca al-Quran braille bukan suatu yang mudah, malah Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi mengakui mengambil masa enam tahun untuk menguasainya.

Beliau berkata, teknik bacaan al-Quran braille itu dipelajarinya ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bahru.

“Pada awalnya saya mengalami kesukaran membaca al-Quran braille kerana perlu terlebih dulu menghafaz titik braille yang mewakili huruf.

“Bagaimanapun kelas pengajian al-Quran yang diikuti membolehkan saya menguasainya dengan lebih mudah.

“Pada saya tiada beza jika individu itu normal atau OKU. Selagi dalam diri ada kesungguhan dan terus istiqamah untuk membaca al-Quran, pasti ia lebih mudah untuk dikuasai,” katanya yang kini sudah menghafaz dua juzuk al-Quran.

Muhammad Fiqry berkata, tanpa deria penglihatan dia perlu memiliki kekuatan daya ingatan yang tinggi untuk membaca al-Quran.

“Apabila berjaya menguasai al-Quran, titik braille hanya menjadi rujukan ketika membaca. Di sini memerlukan daya ingatan yang kuat untuk saya menghafaz al-Quran. Saya bersyukur kerana kekurangan dimiliki diganti dengan daya ingatan yang kuat.

“Namun masih banyak yang perlu dikuasai dalam mendalami bacaan al-Quran terutamanya daripada sudut tajwid dan makhraj untuk mendapatkan bacaan yang tepat,” katanya yang turut bertugas sebagai bilal di Masjid Bandaraya Likas di Kota Kinabalu.


APABILA menguasai al-Quran, titik braille hanya menjadi rujukan ketika membaca. - NSTP/ Hafiz Sohaimi

Berkongsi ilmu dengan golongan senasib

Kelebihan dan pengalaman dimiliki Muhammad Fiqry tidak disimpan untuk dirinya sendiri, sebaliknya dikongsi dengan menawarkan kelas pengajian al-Quran di kampung halamannya di Tuaran, Sabah.

“Saya akan terus mempelajari ilmu al-Quran dan pada masa sama, menggunakan peluang yang ada untuk berdakwah dalam kalangan OKU serta mengajar rakan senasib untuk mendalami bacaan al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Mohammad Faizal Che Yusof, mengakui banyak cabaran terpaksa dilalui untuk menarik minat golongan OKU penglihatan mendalami ilmu al-Quran.

“Pihak kami tidak mahu sekadar memberi al-Quran braille kepada OKU, sebaliknya perlu disusuli kelas pengajian khusus supaya peserta dapat menguasai ilmu al-Quran dan juga bacaan secara taranum.

“Kita tidak mahu mereka sekadar berada pada satu peringkat saja. Menerusi kesungguhan dan minat yang ada dalam diri, membuatkan mereka mampu pergi jauh dalam bidang al-Quran.

“Malah kita mahu melihat ada golongan OKU penglihatan suatu hari nanti mewakili negara ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada MTQB 2018 di sini.


YANG Dipertua PERTIS Malaysia, Mohammad Faizal Che Yusof. - NSTP/ Hafiz Sohaimi

Tarik pembabitan OKU penglihatan dewasa

Mohammad Faizal berkata, menjadi sasaran PERTIS untuk menarik golongan OKU penglihatan dewasa untuk turut sama dalam program pembangunan al-Quran yang dilaksanakan, namun soal kemampuan hidup mereka perlu diambil kira.

“Kebanyakan golongan OKU penglihatan ini tidak mempunyai pendapatan tetap dan berdepan dengan cabaran kewangan.

“Jadi untuk membolehkan mereka mengikuti kelas al-Quran dijalankan, kita perlu memikirkan kos yang perlu ditanggung dan bagi meringankan kos sara diri, kita meminta bantuan daripada majlis agama Islam negeri,” katanya.

Mohammad Faizal berkata, kekurangan guru al-Quran yang dapat menguasai al-Quran braille juga mencetus kekangan apabila menyukarkan pengajian disampaikan kepada OKU penglihatan.

“Kita mahu memperbanyakkan kelas, tetapi kekurangan tenaga pengajar mencetus kekangan. Namun Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) antara yang ke depan dengan menganjurkan kursus al-Quran braille.

“Kita juga berhasrat mengumpul sukarelawan dalam kalangan masyarakat yang menguasai braille supaya dapat masuk ke kawasan kampung untuk mencari OKU penglihatan untuk diadakan kelas al-Quran,” katanya.


JOHAN Qari MTQB 2018, Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi (tengah) selepas menerima sijil disampaikan Imam Besar Masjid Putra, Datuk Abd Manaf Mat (dua dari kanan). - NSTP/ Hafiz Sohaimi

Lahir generasi OKU mahir al-Quran

Mohammad Faizal berkata, PERTIS kini merangka program Muallim OKU untuk melahirkan generasi OKU yang berkemahiran tinggi dalam al-Quran.

“Jika dilihat di Asia Barat seperti Mesir dan Arab Saudi, terdapat golongan OKU penglihatan yang menjadi guru al-Quran yang mengajar di masjid. Jadi kita juga mahu mewujudkan suasana itu dalam kalangan OKU penglihatan yang berkemahiran.

“Jadi kita mahu meletakkan golongan OKU ini dalam institusi masjid untuk menjadi guru kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, menerusi program Pemerkasaan OKU Muqarabun pula, PERTIS membina modul untuk membawa golongan ini ke dalam institusi bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai OKU.

“Untuk permulaan, ia akan membabitkan 20 aktivis OKU penglihatan dan kita akan lakukan saringan untuk melahirkan 30 aktivis di seluruh negara. Mereka ini akan digerakkan ke institusi Islam seperti masjid dan surau,” katanya.

Berita Harian X