Khamis, 6 Disember 2018 | 11:59am

Semangat Maulidur Rasul di UKM, semai cinta

BANGI: Hari keputeraan Nabi Muhammad SAW diraikan penuh bermakna pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2018, sekali gus memberi inspirasi kepada warganya untuk mengikut acuan Baginda dalam segenap aspek kehidupan.

Dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul seawal jam lapan pagi, seramai 2,000 warga UKM mewakili kumpulan kakitangan dan pelajar berarak sambil mengalunkan selawat menuju ke lokasi sambutan, iaitu Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.


Perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Majlis sambutan tahunan bertema Menyantuni Umat Membawa Rahmat itu menunjukkan kesatuan dan kemuafakatan seperti ajaran islam dibawa Rasulullah SAW dalam dakwahnya, sekali gus dipraktikkan apabila semua pengisian berjaya dilaksanakan dengan baik.

Ia acara kemuncak bagi sambutan Maulidur Rasul yang sebelumnya dipenuhi pelbagai program termasuk Festival Kesenian Islam 2018.

Antara acara dipertandingkan sepanjang berlangsung Festival Kesenian Islam 2018 ialah pertandingan hafazan, syarahan, tilawah al-Quran, khat, reka poster infografik, reka cipta video pendek mengenai Rasulullah SAW, nasyid dan esei.

Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata sambutan Maulidur Rasul kali ini diharap menjadi iktibar untuk umat Islam mencontohi akhlak dan mengamalkan sunnah Baginda dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.


BANGI 05 DISEMBER 2018. Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia 1440H/2018M di Universiti Kebangsaan Malaysia. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

“Perutusan Baginda SAW tidak memadai dengan sekadar mengadakan majlis seumpama ini, bahkan kita perlu mengorak langkah lebih jauh lagi dengan membina kekuatan tamadun dan kecemerlangan umat Islam sama ada kekuatan dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik dan kemasyarakatan.

“Semoga dengan kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang ini, kita akan menjadi umat yang kuat, disegani dan mendapat keredhaan Allah SWT,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Noor Azlan turut berpesan kepada kakitangan dan pelajar UKM supaya menjalankan amanah dan tugas harian dengan panduan seperti diberikan Rasulullah SAW.


Noor Azlan (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang perarakan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Jadikanlah perintah Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan utama dalam melaksanakan tugas bagi menjayakan misi dan peranan UKM untuk mendaulatkan amanah negara.

“Mudah-mudahan dengan berpandukan al-Quran dan sunnah, UKM mampu melahirkan kakitangan dan pelajar yang berkualiti sama ada dari segi akhlak, prestasi kerja serta pembelajaran.

“Semangat Maulidur Rasul yang disambut ini juga diharap dapat menyemaikan rasa mahabbah, iaitu kasih dan cinta kita yang berterusan serta berkekalan untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan pentas, termasuk alunan selawat secara berkumpulan oleh kumpulan perarakan mengikut zon masing-masing.


Persembahan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Mengalunkan rangkaian selawat yang berlainan, termasuk Selawat Syafaah, Selawat Fathillah dan Selawat Badariah, ia secara tidak langsung memberikan ilmu baharu kepada khalayak untuk mengamalkan pelbagai jenis selawat.

Syarahan Johan Kategori Perempuan, Pertandingan Syarahan, Festival Kesenian Islam 2018, Nur Najwa Hussein bertajuk Mencintai Rasulullah SAW cukup menimbulkan kerinduan dan keinsafan kepada khalayak supaya tidak terus leka dibuai kemanisan dunia hingga meninggalkan suruhan Allah SWT dan amanat Nabi Muhammad SAW.

“Amat tenat jika dilihat keadaan ummah hari ini yang zikir di bibir tidak lagi berbunyi, solat pula dipinggir sepi.

“Justeru, marilah kita sama-sama beribadah kepada Allah SWT supaya syafaat Rasulullah SAW dapat mengiringi kita.

“Rasulullah tidak lagi bersama kita, tanpa Baginda dunia ini tidak lagi berseri. Lihat sahaja, bencana alam kian menyinggah bumi, media sosial menjadi fitnah duniawi, apatah lagi membabitkan aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT),” katanya.


Persembahan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Turut memberikan suntikan kesedaran dan menjentik emosi khalayak adalah persembahan khas daripada warga Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM dengan drama pendek bertajuk Rasulullah Idolaku.

Ia mengupas permasalahan umat Islam hari ini yang hidupnya serba tidak kena, lalai dan meninggalkan jalan kebenaran kerana Rasulullah SAW tidak dijadikan qudwah hasanah atau suri teladan dalam mengharungi dunia yang serba mencabar.

Antara lain, pentas sambutan Maulidur Rasul UKM disemarakkan lagi dengan persembahan nasyid, termasuk daripada Johan Pertandingan Nasyid, Festival Kesenian Islam 2018, Kumpulan Lasykar Khaleefah yang menyampaikan lagu bertajuk Khalifah.

Sementara itu, Johan Ketua Perbarisan Perarakan Maulidur Rasul kategori kolej kediaman, Eqmal Jamaludin, berkata kemenangan Kolej Dato’ Onn itu tidak disangka-sangka kerana persediaan dilakukan pada saat akhir.

“Kami bersyukur kerana diumumkan sebagai pemenang kerana cuma sempat melakukan persiapan tiga hari sebelum acara berlangsung termasuk membuat sepanduk kreatif, berlatih selawat dan kompang bersama ahli kumpulan lain seramai 60 orang.

“Apatah lagi buat julung kali kategori kolej kediaman dipertandingkan untuk sambutan kali ini, ia sudah tentu memberikan lebih semangat untuk kami melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada majlis sama, akhbar BH turut mengedarkan poster kempen #JomCintaNabi bersempena Maulidur Rasul kali ini, selain ada antara pelajar UKM turut mengambil peluang menyertai Peraduan Jom Selawat iaitu dengan cara memuat naik video selawat secara kreatif di media sosial termasuk Facebook dan Instagram.


Dari kiri, Nur Amalia Mohd Azam, Khairiah Nursaadah Khair Sani dan Wan Nur Etzlin Wan Atzwa memegang poster kempen #JomCintaNabi anjuran BH pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam


Pelajar UKM memegang poster kempen #JomCintaNabi anjuran akhbar BH pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam


Kempen #JomCintaNabi anjuran akhbar BH turut disokong pelajar UKM pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam


Pelajar UKM memegang poster kempen #JomCintaNabi anjuran akhbar BH pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

653 dibaca
Perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1440H/2018M di UKM, Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X