Rabu, 5 Disember 2018 | 1:54pm
MEMPERBANYAK selawat ke atas Rasulullah SAW dan mengamalkan sunnah bukti mengenal dan cinta kepada Baginda. - Foto hiasan

Selawat, sunnah manifestasi cinta Nabi

SELAWAT barangkali dianggap ucapan yang mudah untuk disebut meskipun ia sebenarnya manifestasi kerinduan umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Menjadi kewajipan kepada setiap orang beriman untuk sentiasa mengucapkannya sebagai tanda kasih kepada Nabi Muhammad SAW.

Malah, kekuatan selawat hanya dapat diketahui dan dirasai oleh Muslim yang mengamalkannya secara konsisten hingga pelajar sentiasa digalakkan untuk mengucapkan selawat kerana amalan itu menjadi sebab kepada kefahaman dan keupayaan mengingati sesuatu ilmu.

Kaum ibu pula digalakkan untuk sentiasa berselawat, termasuk ketika menyediakan juadah makanan untuk keluarga.

Pendakwah bebas, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, berkata masih ramai dalam masyarakat yang tidak merasai nikmat mengucapkan selawat, sekali gus menjadi isyarat kita belum mengenali Baginda dengan lebih mendalam.

“Selawat sebenarnya ganti kepada ungkapan ‘Saya sayang awak’ seperti yang dipesan oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya supaya memberitahu perasaan itu kepada saudara sekiranya mengasihi mereka dengan niat semata-mata kerana Allah SWT.

“Itu antara cara memupuk cinta dan silaturahim yang berpanjangan hingga ada antara kita yang meletakkan pelekat kereta tertera I Love You Rasulullah.

“Ini cara amat baik supaya dapat mengingatkan diri dan orang lain, sekali gus mendorong mereka untuk memandu dengan cara berhemah sejajar dengan penampilan dan akhlak Baginda,” katanya pada Ceramah Maulidur Rasul di Balai Berita The News Straits Times Press (NSTP), Kuala Lumpur.

Syed Mohd Norhisyam berkata, tidak ada cara lain yang lebih baik untuk mengetahui, mengenal dan mencintai Rasulullah SAW selain memperbanyakkan selawat.

“Bayangkan dalam pelbagai ibadat yang diwajibkan, selawat ialah satu-satunya dilakukan Allah SWT, manakala malaikat turut berselawat ke atas Baginda.

“Apabila kita banyak berselawat, hubungan perkenalan kita akan bertambah kepada Baginda, manakala kualiti kasih sayang turut meningkat,” katanya.

Amal sunnah Nabi

Beliau berkata, umat Islam juga dianjurkan supaya sentiasa berusaha meningkatkan kasih sayang kepada Nabi Muhammad SAW dengan mengamalkan sunnah Baginda.

“Antaranya solat berjemaah di masjid atau surau bagi lelaki dan melazimkan bacaan doa yang diamalkan Rasulullah SAW dalam perjalanan ke rumah ibadat itu,” katanya.

Ibnu Abbas RA melihat Rasulullah SAW membaca doa bermaksud: “Ya Allah ciptakanlah cahaya di hatiku, lisanku, pendengaranku dan penglihatanku, dari belakangku, depanku, atasku serta bawahku. Ya Allah, berilah aku cahaya.” (HR Muslim)

Syed Mohd Norhisyam berkata, kasih sayang terhadap Rasulullah SAW banyak tingkatannya dan menjadi kewajipan untuk memperbaharui, memperbaiki serta mempertingkatkan amalan sama ada perbuatan atau lisan.

Bukti kecintaan Rasulullah

Mengungkap, mengamal dan melakukan sunnah Rasulullah SAW secara berterusan menjadi bukti paling kukuh bagi setiap umat Islam untuk mengakui kecintaan terhadap Baginda.

“Ada yang mengatakan, Nabi SAW itu sifatnya maksum dan bagaimana mencintai Baginda sedangkan tidak pernah berkesempatan berjumpa dengannya.

“Terpisah dengan Rasulullah yang hidup 1,400 tahun lampau bukan halangan mengenal Baginda. Apa lebih penting, lakukanlah yang kita mampu untuk laksanakan daripada tidak berbuat apa-apa.

“Sebagai contoh, kita tahu Rasulullah SAW suka umatnya solat pada awal waktu, maka janganlah pula sengaja melengahkan ibadat hanya kerana terlalu memfokuskan urusan dunia,” katanya.

Justeru, Syed Mohd Norhisyam turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa menghadirkan diri dalam pelbagai majlis ilmu yang bermanfaat.

Ia antara kunci untuk menambahkan pengetahuan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW, sekali gus menjadi jalan mendapat kebahagiaan di dunia serta akhirat kelak.

442 dibaca
Berita Harian X